
Pesona Aina Abdul sebagai penghibur Pop tempatan diperakui dengan kemampuan berpentasnya dalam menyampaikan rangkaian lagu-lagu yang sudah diiktiraf di acara Anugerah Juara Lagu. Acara prestij muzik ini menjadi lapangan buatnya mempersembahkan segala bentuk kreativiti tidak hanya nyanyian namun persembahan pentas.
Dan di pentas AJL 40 baru-baru ini menjadi detik istimewa buat Aina apabila dia membawa pulang dua trofi kemenangan termasuk Persembahan Terbaik AJL40 menerusi lagu Kamu dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee menerusi undian peminat.
Kamu merupakan single keempat daripada album sulung Aina, Imaji, yang menggabungkan elemen Pop R&B. Di sebalik melodinya, lagu ini membawa kisah yang jauh lebih berat, tentang seseorang yang pernah menjadi tempat paling tenang dalam hidup sebelum berubah menjadi kenangan yang paling pahit.
Daripada pengiktirafan yang diterima pada malam tersebut, Aina kini meneruskan langkah ke Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas dipilih sebagai wakil Malaysia berdasarkan keputusan juri profesional, selaras dengan mekanisme pemilihan yang ditetapkan.
Pertandingan ini bakal menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam. Dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU), Eurovision telah berlangsung secara tahunan sejak 1956 ini bertumbuh daripada sebuah pertandingan muzik Eropah sehingga menjadi fenomena global.
Pemilihan Aina yang sinonim dengan persembahan unik, penuh dengan makna tersurat dan tersirat serta kreativiti dalam komposisi muzik, busana dan elemen visual dijangka memberi kelebihan buat Malaysia di pentas antarabangsa.
Penyertaan ini juga membuka ruang buat Aina memperkenalkan bakat dan identitinya sebagai penghibur kepada penonton di seluruh rantau Asia, selepas mencipta momen tersendiri menerusi persembahan 'Kamu' di pentas AJL40.
Eurovision Song Contest Asia 2026 akan berlangsung pada 14 November 2026, Sabtu, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.

