Langgan

Mise-en-Scene Conclave: Apabila Busana Menjadi Simbol Kuasa

Siluet dramatik, rona merah ikonik dan inspirasi haute couture Balenciaga menjadikan busana Conclave (2024) sebuah pernyataan fesyen yang sarat dengan simbolisme kuasa.
3 minit untuk membaca
Published: October 23, 2026

Filem Conclave (2024), filem bergenre thriller arahan Edward Berger bersama pereka kostum Lisy Christl, berjaya mencuri perhatian industri fesyen menerusi rekaan busananya yang bukan sahaja autentik, malah sarat dengan nilai artistik. Setiap helaian kostum keagamaan ditampilkan dengan estetika yang elegan dan dramatik. Menjadikan simbol kekuasaan serta menghidupkan identiti setiap watak.

conclave constume

Pengarah Edward Berger dan pelakon Ralph Fiennes di set Conclave, terbitan Focus Features.

Sentuhan Lisy Christl

Pereka kostum Lisy Christl, Pemenang Costume Designers Guild (CDG) Awards menerusi filem ini telah membentuk identiti visual melalui ketelitian dalam pemilihan fabrik, potongan dan palet warna. Bagi Christl, setiap helaian busana perlu menterjemahkan visi pengarah Edward Berger ke layar perak, menjadikan kostum bukan sekadar pelengkap watak, tetapi elemen penting yang menghidupkan naratif filem.

conclave costume

Gambar Ihsan Diocese of Westminster

Di sebalik jubah merah ikonik yang mencuri perhatian, tersimpan proses penghasilan yang cukup teliti. Keseluruhan kostum dihasilkan dari awal tanpa sebarang pembelian atau penyewaan, melibatkan 20 hingga 25 tenaga kerja dalaman termasuk pemotong fabrik dan tukang jahit, serta beberapa bengkel tambahan di Itali. Sebanyak 3,500 ela fabrik ditenun dan diwarnakan khas di Prato, Itali, manakala aksesori seperti rantai salib, topi dan tali pinggang turut dihasilkan secara khusus bagi menyempurnakan setiap perincian busana.

Busana keagamaan abad ke-15 dan ke-16 ini mengetengahkan siluet labuh, lapisan fabrik bertekstur dan potongan berstruktur menghasilkan estetika yang klasik namun dramatik. Menariknya, berlaku salah faham ketika penghasilan kot Cardinal Bellini apabila tukang jahit menyangka rekaan tersebut sepatutnya berbentuk cassock, iaitu jubah panjang paderi. Namun, kesilapan itu menjadi penemuan kreatif apabila rekaan itu disarungkan. Terlihat karakter Bellini sebagai seorang kardinal yang berimej lebih moden. Peristiwa ini menonjolkan bagaimana sesuatu yang dianggap bercanggah berjaya sebuah busana yang hangat diperkatakan.

Merah, Siluet dan Balenciaga

Setelah sekian lama mencari inspirasi, pertunjukan haute couture Balenciaga akhirnya menjadi salah satu titik rujukan visual bagi rekaan kostum Conclave. Persamaan dari segi siluet dramatik dan struktur busana membuka perspektif baru kepada Christl dalam menterjemahkan estetika keagamaan melalui pendekatan fesyen kontemporari. Pengaruh Balenciaga ini membuktikan bahawa busana tradisional mampu diolah dengan sentuhan haute couture tanpa menghilangkan identiti asalnya.

conclave costume

Lakaran awal busana Conclave oleh pereka kostum Lisy Christl (Gambar Ihsan Jolie Bobine)

Selain siluet dan struktur, pemilihan palet warna turut diberikan perhatian. Tidak hanya tertumpu pada rona hitam dan putih yang sinonim dengan pakaian keagamaan, Christl memilih merah gelap sebagai warna dominan kostum kardinal. Rona ini bukan sahaja melambangkan autoriti, tradisi, pengorbanan dan hierarki, malah menyerlahkan kemewahan visual serta membangkitkan suasana sinematik yang penuh ketegangan. Setiap helaian busana akhirnya menjadi simbol kekuasaan yang berbicara melalui warna dan perincian.

Mise-en-Scรจne: Apabila Fesyen Menguasai Visual

conclave costume
conclave costume
conclave costume

Gambar Ihsan Kinolime

Apa yang lebih menarik ialah individualiti yang ditonjolkan melalui setiap karakter. Meskipun tampil dalam busana keagamaan yang hampir seragam, perbezaan aksesori, potongan dan cara pemakaian memperlihatkan identiti tersendiri bagi setiap watak. Perincian kecil ini bukan sekadar melengkapkan penampilan, malah menjadi bahasa visual yang mencerminkan personaliti, kedudukan dan pengaruh mereka dalam hierarki keagamaan.

Keindahan kostum ini turut diperkukuh menerusi sinematografi yang teliti. Rona merah pada jubah kardinal tampil menyerlah apabila dipadankan dengan kemegahan seni bina Vatican, permukaan marmar dan pencahayaan yang dramatik. Setiap pergerakan, susunan serta kedudukan watak di hadapan kamera dirancang untuk menghasilkan komposisi visual yang seimbang dan memukau. Gabungan siluet, warna dan ruang ini menjadikan setiap babak seolah-olah sebuah editorial fesyen yang hidup, membuktikan bahawa ketelitian mise-en-scรจne mampu mengangkat busana menjadi karya seni sinematik.

Lisy Christl berjaya mengangkat busana keagamaan melangkaui fungsi asalnya menerusi gabungan pengaruh sejarah, sentuhan haute couture dan simbolisme yang mendalam. Kehebatan Conclave bukan hanya terletak pada kekuatan skrip dan dialog, tetapi juga pada perincian visual yang sering terlepas daripada pandangan penonton. Filem ini membuka perspektif baharu bahawa fesyen bukan sekadar pelengkap watak, malah mampu menjadi bahasa penceritaan yang menggambarkan perebutan kuasa tanpa perlu diungkapkan melalui kata-kata.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down