
Pasaran filem tempatan menemukan satu nadi baru di tangan pengarah muda yang menjadi pelapis story teller sedia ada. Zulaikha Zakaria satu daripadanya yang mencuri pandangan sejak 'Projek High Council' diperkenalkan. Menempatkan diri sebagai pengarah wanita dalam dunia sinema yang didominasi lelaki hari ini membentuk satu landskap baru yang mencabar keberadaan pengarah sedia ada. Hadir dengan visi yang berbeza, Zulaikah berkongsi cerita dan pengalaman bersama ELLE Malaysia.
ELLE: Boleh ceritakan bagaimana proses kreatif ‘Kudrat 1968: High Council’ dihasilkan?
Zulaikha Zakaria: Keseluruhan proses pembikinan skrip 'Kudrat 1968' mengambil masa kira-kira lapan bulan. Bermula daripada proses ideation, kemudian kami pitch kepada Astro Shaw sebelum dibawa ke Writer’s Room. Di situ, kami membuat research, mengupas tema utama cerita, membangunkan karakter dan membentuk kesemuanya menjadi sebuah skrip yang lengkap. Bagi saya, proses ini penting kerana kami bukan sekadar membina sebuah cerita, tetapi juga memastikan setiap watak, konflik dan persoalan yang diketengahkan mempunyai asas yang kuat.
E: Kebanyakan pengarah wanita akan lebih cenderung dengan idea belegar isu feminisme. Anda memilih untuk memilih cerita tentang dunia lelaki. Jadi adakah ‘Kudrat 1968’ dibentuk daripada pengalaman atau pengamatan?
ZZ: Kedua-duanya. Pengalaman saya sepanjang pembikinan 'Projek: High Council' membuka mata saya kepada dunia lelaki dan membuatkan saya lebih tertarik untuk memahami mereka. Daripada situ, saya mula melihat pelbagai sisi yang menarik untuk diterok. Persoalan bagaimana mereka membentuk identiti, berdepan dengan tekanan persekitaran, persahabatan dan bergelut antara kesetiaan, ego dan prinsip sendiri.
Bagi saya, dunia lelaki juga mempunyai sisi yang kompleks, terutamanya apabila melibatkan persoalan tentang maskuliniti, kuasa dan keperluan untuk membuktikan diri. Ada perkara yang mungkin tidak diluahkan secara terbuka tetapi dapat dilihat melalui tindakan, cara mereka berinteraksi dan bagaimana mereka melayan satu sama lain.
Semua ini membuatkan saya tertanya-tanya tentang apa yang membentuk seseorang lelaki dan sejauh mana persekitaran serta didikan mempengaruhi pilihan yang dibuat. Daripada pengamatan dan persoalan itulah timbul keinginan untuk meneroka dunia ini dengan lebih mendalam menerusi 'Kudrat 1968'.

E: Filem ini digerakkan dengan sangat banyak watak dan perwatakan. Bagaimana cara anda memastikan setiap pelakon yang ada diberi justice sebaiknya agar bakat yang ada digunakan sebaiknya?
ZZ: Saya percaya proses casting sangat penting, terutamanya untuk filem yang mempunyai ramai watak dengan perwatakan dengan latar belakang yang berbeza. Tiga fasa dalam proses casting dibuat berpandukan skrip dan karakter yang telah dibina untuk cerita tersebut sehingga saya benar-benar yakin dengan setiap pemilihan pelakon yang dibuat.
Fasa yang paling penting adalah sesi akhir untuk bertemu dengan calon pelakon. Saya percaya pada working dynamic yang membolehkan pelakon berasa selamat untuk bereksperimen, membawa interpretasi mereka sendiri dan memberikan sesuatu yang mungkin tidak saya jangkakan pada awalnya.
Saya tidak mahu mereka sekadar mengikut arahan tetapi memahami jiwa watak dan berani memberikan pendapat mereka sendiri. Daripada situ, saya dapat melihat siapa yang paling dekat dengan karakter yang telah saya bayangkan dan tuliskan, serta siapa yang mampu memberikan dimensi tambahan kepada watak tersebut.
Apabila di set, saya mahu semua orang mempunyai pemahaman yang sama tentang cerita dan watak masing-masing. Jadi, saya boleh memberikan ruang kepada pelakon untuk menghidupkan watak tanpa perlu terlalu mengawal setiap pergerakan atau emosi.
Bagi saya, doing justice kepada setiap watak bukan sekadar memastikan setiap pelakon mendapat masa di skrin tetapi memastikan setiap watak mempunyai tujuan, identiti dan sumbangan tersendiri kepada keseluruhan cerita. Dengan cara itu, setiap pelakon berpeluang memberikan yang terbaik dan setiap watak terasa penting dalam dunia yang dibina.

E: Perkara paling mencabar dalam proses menyiapkan filem ini?
ZZ: Keseluruhan proses ada cabarannya. 'Kudrat 1968' datang dengan format yang belum pernah dibuat, iaitu empat episod berdurasi panjang ditayangkan secara back to back dan diakhiri dengan sebuah filem. Daripada sudut produksi cabarannya memang besar kerana kami perlu menguruskan proses persediaan awal, penggambaran dan penyuntingan dalam timeline yang sama. Selain itu bagi saya untuk memastikan semua bahagian ini bergerak seiring. Apabila kita bekerja dengan skala produksi seperti ini, komunikasi dan kepercayaan sangat penting. Semua orang perlu memahami visi yang sama dan tahu apa yang ingin kami capai.
E: Perkara terbesar yang anda belajar along the way menyiapkan naskhah ini?
ZZ: Saya belajar bahawa perkara yang kita tak pernah buat sebelum ini sebenarnya boleh dilakukan, asalkan kita sanggup mencuba dan belajar sepanjang proses itu. Melalui 'Kudrat 1968', saya sedar yang saya sebenarnya enjoy mengarah filem aksi. Sebelum ini, saya tak tahu sejauh mana saya boleh pergi dengan genre ini tetapi apabila diberi peluang, saya seronok dengan cabaran yang datang dalam proses tersebut.
Daripada segi blocking, pergerakan kamera, koreografi dan bagaimana aksi itu boleh membantu penceritaan. Semuanya membuka ruang untuk saya belajar sesuatu yang baru. Saya rasa pengalaman ini membuatkan saya lebih terbuka untuk mencuba perkara yang di luar kebiasaan saya. Bukan bermaksud saya sudah tahu semuanya tetapi sekarang saya tahu ini adalah sesuatu yang saya ingin terus terokai dalam karya-karya saya akan datang.

E: Filem ini mengangkat persoalan hierarki, darjat dan kuasa. Pada pandangan anda sendiri sebagai pengarah, ia bergerak sebuah kritikan sosial atau sekadar sebuah refleksi masyarakat semata?
ZZ: Bagi saya, kedua-duanya sekali. Kritikan sosial tak mungkin wujud tanpa pemerhatian dan kesedaran terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun ceritanya berlatarbelakang tahun 1968, saya rasa persoalan-persoalan tentang hierarki, darjat dan kuasa masih wujud sehingga hari ini cuma mungkin dalam bentuk yang berbeza.
Sebab itu, bagi saya, 'Kudrat 1968' bukan sekadar refleksi terhadap masyarakat pada zaman tersebut tetapi juga sebuah cerita yang mengajak kita melihat semula masyarakat kita hari ini. Filem ini tak semestinya mahu memberikan jawapan kepada semua persoalan itu tetapi saya berharap ia boleh membuatkan penonton berfikir dan membentuk pandangan mereka sendiri.
E: Your all time favorite movie?
ZZ: 'Mean Girls'. Saya rasa saya takkan pernah jemu menonton filem ini. Ia antara filem yang saya boleh ulang tonton pada bila-bila masa dan tetap rasa terhibur. Bagi saya, filem ini memang ikonik and honestly, never gets old for me.
E: Filem tempatan yang semua orang kita harus tonton dan mengapa?
ZZ: Saya rasa 'Pendekar Bujang Lapok'. Saya sebenarnya baru betul-betul mendalami karya P. Ramlee melalui research untuk 'Kudrat 1968' dan saya sangat kagum melihat betapa grounded dan bersahajanya penceritaan beliau. Cara beliau menggambarkan kehidupan, sikat manusia dan masyarakat kita terasa begitu dekat dan jujur.
Apa yang menarik bagi saya adalah cara beliau boleh menyampaikan situasi harian dan humor tanpa perlu menjadikannya terlalu dramatik. Dalam kelucuan ada pemerhatian tajam tentang masyarakat dan cara hidup pada waktu itu. Saya rasa filem-filem seperti ini penting untuk kita tonton semula kerana ia bukan sekadar hiburan atau nostalgia tetapi juga satu cara untuk kita mengenal asal-usul, memahami masyarakat dan menghargai identiti kita.
Gambar: Daily Dose Films

