
Ketika 'Talentime' ditayangkan pada tahun 2009, Yasmin Ahmad mengemudi sebuah harmoni dalam penulisan filem cereka yang cukup menyentuh. Ia lengkap sebagai sebuah naskhah filem bersifat kritikan sosial untuk kita sebagai penonton membuka ruang fikir menyerap pesan dengan kritis.
Filem ini bergerak dalam premis coming-of-age yang berlegar di sebuah sekolah dan isinya adalah kisah watak-watak yang ada di dalamnya. Kepelbagaian bangsa diraikan secukupnya seorang Yasmin Ahmad yang tahu bagaimana filem in a way mampu menyatukan kita sebagai masyarakat majmuk.
Melur dan Mahesh dipertemukan sebagai bahan cerita utama Yasmin di filem ini menerusi satu pertandingan talentime yang diadakan di sekolah mereka. Di sini cerita dikembangkan menjadi satu landskap yang berkait rapat dengan budaya, pemikiran dan cara hidup. Kisah kekeluargaan yang sentiasa menjadi intipati filem-filem Yasmin diterapkan menjadi filem ini naskhah sempurna untuk tontonan semua.

Suara Harmoni 'Talentime'
Keharmonian menjadi kunci pada penceritaan Yasmin. Dia bijak dalam menyatukan kepelbagaian tidak hanya pada bangsa tetapi keupayaan. Watak Mahesh disifatkan sebagai serba kekurangan - dilahirkan bisu dalam keluarga yang sedikit kekurangan dan konvensional.
Antonim pada watak Melur yang mewakili gadis sempurna, dikeliingi keluarga yang penuh kasih sayang dan cukup moden. Dua kehidupan ini ibarat Yin & Yang yang diceritakan secara berlapis dan menuntut sedikit pemikiran dan pemahaman.
Filem ini pada dasarnya mungkin dilihat sebagai the happy movie. Namun ia sebenarnya bernadi dengan babak-babak yang menekan watak-wataknya mengeluarkan emosi yang tepat. Temponya sederhana dengan tona filem yang kelam, runut bunyi mellow - namun ia menyatu sebagai sesuatu yang cukup harmoni.
Yasmin menggugah perasaan, kecelaruan dan juga konflik masyarakat. Matanya tajam dalam melihat dan ia ditafsir sebaiknya menerusi lakon layar filem ini. Dia melihat Melayu, Cina dan India sebagai wacana yang majmuk namun harmoni dalam setiap kecelaruan yang ada.

Panggilan Realiti
Konflik dihadirkan bagi memberi satu siren yang membentuk kesaksamaan tanpa mengira apa juga bangsa pada kad pengenalan kita juga fitrah manusia dan Yasmin melihat hal ini sebagai satu. Melayu sering dikaitkan dengan sifat dengki tetapi Yasmin meramu sebaliknya dengan perwatakan Kahoe sebagai budak Cina yang ada rasa dengki pada Hafiz lakonan Syafie Naswip.
Yasmin seperti filem-filem sebelumnya sangat suka meramu interracial love story yang sering dilihat kompleks tetapi mengubahnya menjadi sesuatu yang indah. Mahesh dan Melur meneruskan ilham Orked dan Jason di filem sebelumnya. Dan seperti filem-filem sebelumnya juga Yasmin menelusuri cukup dalam pada kepelbagaian budaya dan kepercayaan bangsa.
Hal ini jelas dalam satu babak ritual yang dipanggil bathing ceremony di awal cerita. Latar kuil dirakam sempurna membawa penonton pada kepelbagaian dalam kepercayaan yang ada. Babak pengembumian diatur dengan cara sebaiknya untuk kita memahami dan menghargai kepelbagaian yang ada.

'Talentime' sehingga hari ini masih ditonton dan diraikan sebagai sebuah naskhah filem yang meraikan diversity yang ada pada kita semua sebagai masyarakat majmuk. Ketika ia ditayangkan, filem ini tidak begitu diraikan dengan kutipan tiket filem tidak sampai setengah juta. Namun biar sehingga hari ini ia masih ditonton, diraikan dan diperkatakan.
Yasmin Ahmad menerusi filem ini meraikan kesaksamaan dalam kisah yang dicerekakan penuh lestari dan berkait rapat dengan setiap kita sebagai masyarakat Malaysia. Menontonnya kembali setelah lebih 15 tahun ia ditayangkan masih melekat rasa-rasa yang mahu Yasmin tinggalkan pada kita setelah menontonnya.
Filem ini jika ditelaah ia mampu meresap semangat kesatuan yang membawa pada satu pemikiran untuk kita menerima terbuka kepelbagaian dan perbezaan yang ada antara kaum. Yasmin secara harafiah seorang yang peka dan sensitif. Pendekatannya lembut, bersulam pula gaya bahasa visual yang disokong sekuatnya runut bunyi dan perwatakan yang meyakinkan menjadikan karya-karya akan sentiasa diingati.

