Langgan

Filem Kita Laku, Tapi Kita Ke Mana?

Mencari jalan tengah untuk filem kita berkembang ke luar negara.
3 minit untuk membaca
Published: August 22, 2025

Pasaran filem tempatan semakin melejit dengan jumlah tayangan dan kutipan pecah panggung. Tapi ke mana kita seterusnya?

‘Blood Brothers: Bara Naga’ arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menjadi filem kita yang terlaris tahun ini. Berbekal kutipan melebihi RM73 Juta diikuti dengan ‘Ejen Ali The Movie 2’ yang berjaya mengutip keuntungan melebihi RM55 Juta. Nilai komersial yang tinggi pada penceritaan kedua-dua filem ini berjaya membawa penonton ke panggung. Ia juga sebetulnya beriring strategi pemasaran yang tepat untuk ia benar-benar mencuri perhatian penonton. 

Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 37 filem tempatan sudah ditayangkan dengan melangkaui batas genre, latar bahasa dan jalan cerita. ‘Mencari Ramlee’ menutup bulan Jun sebagai the most anticipated movie tahun ini gagal mencuri perhatian penonton dengan kutipan tiket di bawah RM100 ribu.

Biarpun ia dipenuhi dengan pelakon kelas satu tempatan seperti Mimi Lana dan Sofia Jane sebagai peneraju utama - filem ini gagal mendorong penonton ke panggung dalam riuh pengkritik filem memuji hal-hal baik yang ada pada filem ini.

Tiga buah lagi filem Melayu yang turut diberi perhatian penonton tahun ini adalah ‘Gayong’, ‘Keluang Man’ dan ‘Telaga Suriram’ biarpun tidak mendapat kutipan tiket melebihi RM10 Juta namun masih menjadi antara yang diperkatakan.

Keberadaan kesemua filem-filem ini menjadi bukti bahawa filem kita maju dengan peningkatan jumlah filem dan kutipan tiket yang tinggi. Namun persoalan utamanya ke mana sebetulnya arah filem Malaysia? Adakah ia masih akan kekal sebagai legasi sendiri?

Pemasaran Filem Kita ke Mancanegara

Sekali lagi untuk tahun ini hanya ‘Blood Brothers’ yang berjaya memasarkan filem tempatan ke luar negara. Filem lakonan Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya ini berjaya menembusi pasaran filem Thailand, Kemboja dan Indonesia dengan mendapat slot tayangan di ketiga-tiga negara.

Langkah membesarkan filem-filem tempatan ke luar negara seharusnya beriring dengan satu sokongan pemasaran yang kuat daripada agensi kerajaan terutamanya. Hal ini penting untuk memastikan kelangsungan pemasaran filem tempatan ke luar negara itu memiliki peluang cerah.

Dana pemasaran filem disediakan namun masih perlu diperkemas dengan membuka satu lagi dana bagi pemasaran filem tempatan ke luar Malaysia pula bagi filem-filem yang ada potensi besar untuk diraikan masyarakat luar.
Hal ini penting untuk memberi peluang filem-filem berkualiti tetapi kurang sambutannya di sini mencuba nasib dengan mencuri perhatian penonton luar pula.

Filem seperti ‘Mencari Ramlee’ dan ‘Kulit Wayang’ datang dengan idea dan execution berbeza dalam penghasilan filem tetapi dipandang sepi penonton tempatan. Namun sebetulnya kedua-dua filem ini ada potensi besar untuk ditayangkan ke pasaran sekitar Asia terutamanya kerana tema, jalan cerita dan pendekatannya berbeza dengan apa yang ada pada budaya luar.

Peranan Festival Filem

Filem-filem tempatan yang mendapat perhatian pengkritik filem dunia seperti ‘Abang Adik’ arahan Jin Ong dan ‘Tiger Stripes’ arahan Amanda Nell Eu yang datang sebagai kejutan manis perfileman tempatan. ‘Tiger Stripes’ persembahan filem berpaksi pada sebuah satira berbanding naratif menjadi sesuatu yang baru buat penonton filem tempatan.

Namun ia datang dengan risiko pemahaman pengalaman sinema penonton. Ramai yang menonton tidak memahami visi filem tersebut tetapi ia berbalik pada kemahuan kita sebagai penonton mahu faham atau sekadar memandang sepi sahaja penghasilannya.

Pemahaman akan filem sebetulnya berbalik cara kita memberi apresiasi pada budaya dan seni yang membentuk pemikiran. Sokongan terhadap pembikin filem yang mahu keluar daripada penceritaan tipikal seram dan gangster seharusnya seiring.

Mereka tidak harus dipinggirkan dan kerana adanya pengkarya seperti Zahir Omar, Amanda Nel Eu, Muzzamer Rahman, Megat Sharizal dan beberapa lagi filem kita bergerak dalam satu landskap yang berbeza.

Filem tempatan harus menemukan titik tengah untuk mendapatkan satu keseimbangan yang boleh diraikan semua secara menyeluruh. Pemasaran filem harus lebih meluas untuk capaian yang lebih besar di luar negara pula. Sayang kerana banyak filem yang bagus tetapi tidak memiliki hayat yang panjang kerana sepi daripada sambutan dalam negara sendiri. 

Benar, hal ini menuntut kos tinggi dan hal-hal lain yang harus difikirkan. Namun itu tidak seharusnya menjadi kekangan kerana cabaran dalam pemasaran akan sentiasa ada dan cara untuk mengatasi setiap cabaran itu juga akan sentiasa ada.

Sokongan daripada pelbagai pihak akan menjadikan pemasaran filem tempatan tidak hanya akan terus juara di negara sendiri tetapi budayanya dapat dikongsi penonton mancanegara.

*Baca artikel lengkap menerusi ELLE edisi Ogos 2025

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down