Langgan

Ulasan Filem The Roses

All’s fair when love is war
2 minit untuk membaca
Published: October 3, 2025

Dua pelakon hebat, Olivia Colman dan Benedict Cumberbatch, digandingkan dalam sebuah filem komedi gelap arahan Jay Roach. Hasilnya memang sesuatu yang sukar dijangka.

The Roses (2025) bukan sekadar cerita tentang rumah tangga yang dilanda pasang surut. Ia hadir sebagai refleksi tajam tentang bagaimana cinta yang pernah mekar boleh bertukar menjadi gelanggang persaingan, dipenuhi sindiran halus dan amarah yang membara. Namun, di sebalik ketegangan itu, filem ini tetap menyelitkan humor yang menjadikannya begitu menghiburkan untuk ditonton.

Sinopsis Ringkas

The Roses membawa kita menyelami kisah pasangan suami isteri, Ivy Rose (Olivia Colman) dan Theo Rose (Benedict Cumberbatch) yang pada awalnya kelihatan memiliki kehidupan sempurna seperti rumah besar, dua anak dan kerjaya yang cemerlang. Theo seorang arkitek yang bercita-cita tinggi dengan projek muziumnya manakala Ivy pula mengusahakan sebuah kafe kecil di tepi pantai.

Namun, nasib mereka berubah dalam satu malam hanya dengan satu cuaca yang tidak baik menyebabkan impian kedua  pasangan itu berpaling arah. Projek Theo musnah akibat ribut, manakala restoran Ivy tiba-tiba dipenuhi pelanggan kerana menjadi tempat perlindungan daripada cuaca tersebut. Dari situlah rezeki Ivy mula melimpah, menjadikan restorannya semakin berkembang, sementara Theo berdepan tekanan kerana reputasinya tercalar.

Ketidakseimbangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati. Ivy semakin yakin dengan kejayaannya, Theo pula semakin tercabar kerana kehilangan kedudukan sebagai kepala keluarga. Pertengkaran kecil mula berulang, terapi rumah tangga tidak membantu dan percutian romantik juga gagal menyelamatkan hubungan mereka. Apa yang bermula dengan sindiran dan ejekan bertukar menjadi ‘perang’ besar dalam rumah tangga penuh dengan adegan yang tidak disangka-sangka.

Jalan Cerita yang Ingin Disampaikan 

Di sebalik jenaka dan adegan yang dramatik, filem ini sebenarnya ingin menunjukkan bagaimana cinta boleh berubah menjadi persaingan bila ego dan rasa iri hati menguasai. Ia juga menyingkap isu peranan suami isteri didalam rumah tangga, bagaimana kejayaan seorang pasangan kadang-kadang dianggap sebagai ancaman, bukan sokongan. Akhirnya, mesejnya jelas: bila hubungan hanya dipenuhi dengan perebutan kuasa, tiada siapa yang benar-benar menang.

Gaya Penceritaan yang Dibawa Pelakon

Colman dan Cumberbatch membawa watak mereka dengan penuh intensiti. Keserasian mereka membuat penonton berasa dekat dengan realiti; ketawa pada satu saat, lalu terasa peritnya pada saat yang lain.

Visual rumah moden yang besar dan cantik menjadi simbol indah di luar tetapi retak dan kosong di dalam. Adegan dalam rumah kaca yang penuh drama, hingga detik Ivy berdepan Theo dalam suasana tegang, semuanya menguatkan rasa dark comedy yang mengikat filem ini.

Tambahan pula, kehadiran pelakon sokongan seperti Andy Samberg, Kate McKinnon, Ncuti Gatwa serta barisan pelakon yang lain memberi lapisan humor tambahan, menjadikan cerita ini lebih menarik dan tidak terlalu berat untuk penonton yang inginkan cerita komedi.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down