Langgan

Wanita Arus Perubahan - Ain Husniza

Uprising woman bersama Ain Husniza
3 minit untuk membaca
Published: January 27, 2026

Setiap wanita mempunyai falsafah hidup tersendiri. Bagi Ain Husniza, memperjuangkan hak kewanitaan di usia muda merupakan satu misi yang dekat di hatinya. Ain membuktikan bahawa setiap insan berhak bersuara dan dihormati serta tampil sebagai salah seorang gadis berani. Ain memilih untuk melantangkan suara, demi mewakili diri sendiri, wanita dan kanak-kanak.

E: Apakah yang mendorong Ain untuk bersuara pada usia yang muda?
AH
: Segala yang saya lakukan bermula daripada pengalaman sendiri. Apabila saya menjadi mangsa, saya tengok macam mana orang dewasa dan institusi memberi reaksi dengan diam. Memandang ringan dan menyalahkan mangsa, dari situ saya sedar bahawa sistem lebih cenderung melindungi reputasi mereka daripada melindungi pelajar.

Pada usia itu, saya tidak tahu untuk memperjuangkan hak tetapi saya tahu rasa ketidakadilan itu sangat nyata. Bersuara bukan tentang keberanian tetapi tentang bertahan dan menolak untuk menerima bahawa penderitaan adalah sesuatu yang biasa. Dari situ, lahir satu komitmen dalam diri saya iaitu memastikan apa yang saya lalui ini tidak terus berulang kepada orang lain.

E: Faktor yang menyokong Ain dalam memulakan #makeschoolasaferplace?
AH
: #MakeSchoolASaferPlace bermula apabila saya sedar yang apa dilalui ini selalu terjadi. Semakin hari semakin ramai pelajar dan mangsa tampil berkongsi cerita mereka. Jelas bahawa ini bukan kejadian biasa tetapi sebaliknya satu masalah sistemik yang berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa.

Apa yang saya lakukan ini menjadi cara saya untuk mengubah ‘kesakitan’ menjadi ‘satu tujuan’. Ia menjadi platform untuk menuntut mekanisme laporan yang lebih selamat.

E: Bagaimana pengalaman lalu membentuk cara Ain berfikir dan melihat isu keselamatan hari ini?

AH: Pengalaman lama membentuk kefahaman saya bahawa keselamatan bukan sekadar ketiadaan kecederaan fizikal tetapi adanya kepercayaan dan sistem yang berfungsi. Sebaliknya, saya mengalami kegagalan daripada sistem yang sepatutnya melindungi saya.

Inilah sebabnya mengapa fokus kerja saya kini tertumpu kepada pendidikan, khususnya Pendidikan Seksualiti Komprehensif (CSE). Melalui Pocket of Pink dan program seperti Express to Empower, saya telah menyaksikan bagaimana bahasa, autonomi tubuh dan literasi emosi dapat mengubah cara mereka memahami sempadan diri dan mencari bantuan.

E: Menurut Ain, mengapakah isu ini perlu sentiasa diberi perhatian?

AH: Bagi saya process itu fragile. Apabila perhatian berkurang, tahap akauntabiliti juga lemah. Melalui pengalaman saya dalam kerja advokasi, saya belajar bahawa perubahan dasar dan janji institusi tidak banyak ertinya tanpa tekanan berterusan daripada masyarakat. Menjaga isu ini agar sentiasa mendapat perhatian memastikan para mangsa tidak terpinggir, data terus dikumpul dan reformasi tidak dibatalkan secara senyap.

Saya sendiri pernah mengalami bagaimana kurangnya kesedaran dan perhatian di media sosial membuat institusi kurang mengambil serius suara kami. Ia juga menghantar mesej yang sangat kuat kepada golongan muda bahawa keselamatan mereka penting dan bahawa bersuara boleh membawa perubahan dan bukannya hukuman.

E: Bagaimanakah wanita masa kini boleh membina keyakinan untuk bersuara dan memperjuangkan hak mereka?

AH: Keyakinan dibina melalui ilmu, komuniti dan amalan. Saya bersama golongan wanita muda, menyaksikan bagaimana memahami tentang persetujuan, hak dan norma jantina memberi mereka kepastian dan kepastian itu membina keberanian. Menemui ruang yang menyokong, sama ada melalui program belia, bengkel berasaskan seni, atau komuniti rakan sebaya, juga amat penting.

E: Pada pandangan Ain, apakah cara terbaik badan berwajib dapat menyokong wanita yang menghadapi gangguan atau keganasan?

AH: Sokongan mestilah fokus kepada mangsa, bukan reputasi institusi. Institusi memerlukan mekanisme laporan yang jelas dan mudah diakses, perlindungan daripada sebarang balasan, serta tindak balas yang berlandaskan pemahaman trauma. Melalui penglibatan saya dengan sekolah, NGO dan pembuat dasar, saya sedar bahawa pendidikan sama pentingnya dengan penguatkuasaan.

Latihan wajib mengenai persetujuan, dinamik kuasa dan sensitiviti jantina tidak sepatutnya bersifat optional. Institusi juga perlu bersedia mendengar mangsa sebagai pakar terhadap pengalaman mereka sendiri serta bertindak dengan telus apabila berlaku kemudaratan.

E: Apakah nasihat Ain kepada wanita yang ingin mencipta perubahan tetapi masih tidak pasti bagaimana untuk bermula?

AH: Mulakan dengan apa yang benar-benar anda pedulikan. Saya tidak mula dengan sebuah gerakan. Saya mula dengan suara dan tidak mahu untuk berdiam diri. Perubahan boleh bermula dengan belajar, berkongsi cerita, menyumbang melalui sukarelawan atau bahkan mencipta seni dan perbualan yang menentang norma-norma yang tidak memudaratkan.


E: Apakah harapan Ain terhadap masa depan keselamatan pelajar atau generasi muda dan wanita di luar sana?
AH: Saya berharap untuk masa depan di mana keselamatan menjadi sebahagian daripada sistem kita, bukan sesuatu yang hanya dituntut melalui protes. Masa depan di mana sekolah menjadi ruang penuh perhatian dan maruah, di mana Pendidikan Seksualiti Menyeluruh menjadi perkara biasa dan institusi bertindak sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Saya berharap generasi muda membesar dengan penuh keyakinan bahawa tubuh mereka milik mereka sendiri, suara mereka didengar dan bantuan akan diberikan dengan penuh empati. Akhir sekali saya berharap kita beralih daripada budaya berdiam diri kepada budaya bertanggungjawab, prihatin dan saling menjaga antara satu sama lain.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down