
Tiga dekad dilalui penuh dedikasi, Fan Bingbing melalui pesona layar lebar dan skrin televisyen tanpa mahu menemukan titik noktah.
Pengalaman pertama saya menonton Fan Bingbing lewat naskhah filem adalah menerusi ‘Lost in Beijing’ yang menyatukan dia bersama hero prolifik Hong Kong, Tony Leung. Melodrama dalam penggayaan cerita slow pace dan persembahan keseluruhan filem itu memberi satu intensiti dalam lakonan Fan Bingbing yang sehingga hari ini menjadi ia sebagai karya penting dalam kembara seni lakonnya.
Itu breakthrough buatnya di layar perak untuk dilihat sebagai aktres pelapis Hong Kong yang punya potensi besar. Namun sebetulnya dia lebih awal mencuri perhatian penonton siri drama Mandarin menerusi siri televisyen ‘My Fair Princess’ di penghujung 90-an. Setelah itu aktres ini melalui satu kelangsungan karier yang cukup tersusun dan berskala. Daripada bintang televisyen dia melangkah sebagai bintang filem dan hari ini dilihat sebagai ikon yang bersinar terang.
Perjalanan ini pastinya dilalui dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Naik turun dalam bidang showbiz yang sentiasa berganti muka-muka baru yang mendepani gemerlap dunia glamor tidak sesekali membuatkan kilau bintangnya buram. Menambah cerita bahagia dan prestijnya sebagai aktres terulung, tahun ini menerusi filem penerbitan Malaysia, ‘Mother Bhumi’ Fan Bingbing diberi satu lagi penganugerahan Aktres Terbaik di acara Golden Horse Awards ke-62.
Teguh terus untuk bernadi penuh relevan di pasaran perfileman globa, Fan Bingbing hari ini stabil dalam melewati perjalanan karier bagi satu lagi perjalanan yang lebih panjang dan beragam ceriteranya. ELLE mendekati her current state of mind.


ELLE: Lebih tiga dekad melewati perjalanan dalam bidang showbiz, adakah anda merasakan kerjaya anda menjadi pentafsiran siapa diri anda yang sebenarnya?
FAN BINGBING: Saya percaya pengalaman membentuk siapa diri saya yang sebenarnya. Lakonan menjadi karier yang saya pilih kerana saya sangat menyukainya. Namun saya percaya perjalanan hidup itu sendiri yang menjadi refleksi diri yang menginspirasikan dan membentuk siapa diri saya. Sebelum saya menjadi seorang aktres dan menjadi tumpuan mata dunia, saya sudah jelas siapa diri saya yang sebenarnya.
E: Sepanjang berkarier dalam dunia televisyen dan perfileman, projek yang mana menurut anda memberi impak besar dalam karier?
FB: Bagi saya setiap projek memberi makna yang tersendiri. Setiap satunya memiliki impak yang tersendiri dan jika dilihat balik sebenarnya setiap projek yang saya jayakan membentuk diri saya sebagai pelakon di fasa hidup yang berbeza. Menghidupkan setiap karakter ke skrin televisyen mahupun filem adalah satu proses pencarian diri yang membolehkan saya meneroka lebih lagi potensi serta menongkah satu lagi batas berbeza dalam proses yang dilalui.

E: ‘Mother Bhumi’ menjadi salah satu filem Malaysia yang begitu diraikan tahun ini. Apa yang membuatkan anda menerima tawaran berlakon dalam filem ini?
FB: Apa yang menarik perhatian saya ketika pertama kali ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana perwatakan Hong Im. Dia seorang wanita yang memiliki kekuatan dalaman dalam diam dan jalan cerita filem ini sendiri memiliki memiliki satu emosi yang cukup berat menarik perhatian saya. Namun ada satu hal lain yang begitu membuatkan saya begitu teruja melibatkan diri dalam projek ini adalah kerana mahu bekerjasama dengan individu berbeza dengan cara kerja serta budaya yang berbeza. Ia menjadi satu pengalaman yang cukup bernilai buat saya.
E: Sebagai seorang selebriti, adakah dunia glamor dan kemewahan mengubah diri anda sebagai seorang individu?
FB: Dunia glamor dan kemewahan pada saya hanya sekadar satu gambaran yang orang luar lihat. Saya percaya kemewahan sebenar dalam hidup terletak pada jiwa yang bebas untuk memilih cara hidup tanpa terikat tekanan luar. Bebas memilih watak yang benar-benar saya mahu lakonkan dan pada masa yang sama memberi sepenuh jiwa pada perwatakan tersebut. Hari ini terus terang saya lebih menghargai kualiti, pengisian dan ekspresi diri berbanding gambaran luar semata-mata.


E: Saya pasti di fasa yang sekarang anda tidak perlu lagi membuktikan apa-apa pada semua orang. Namun jika boleh saya tahu, apa erti sebuah cita-cita untuk anda sekarang?
FB: Saya hanya berharap agar saya dapat terus melakukan apa yang saya lakukan sekarang. Pada masa yang sama fokus saya adalah untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam kerjaya dan mendapatkan skrip yang bagus. Saya mahu memberikan yang sebaik mungkin yang saya mampu dalam membentuk karakter yang diberikan dan pada masa yang sama saya mahu terus meneroka kebarangkalian baru tanpa membataskan potensi yang ada.
E: Sebagai selebriti takkan terlepas daripada pandangan serta respons orang luar baik tentang karier mahupun hal-hal personal. Untuk satu perjalanan panjang sebagai selebriti hari ini, pandangan siapa yang penting untuk anda hari ini?
FB: Saya sentiasa percaya atas apa jua keputusan yang dibuat, hal yang penting adalah untuk saya percaya pada kata hati dan kekal pada jati diri. Selain tu, semestinya keluarga dan rakan terdekat. Namun saya tetap mendengar suara dan pandangan peminat kerana mereka yang menyokong juga mendorong perjalanan karier saya sehingga hari ini. Mereka mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup saya.

Apa yang dikisahkan sepanjang karier lakonannya menjadi satu refleksi kematangan Fan Bingbing sebagai selebriti berpengalaman. Dunia glamor dan gemerlap bintang sehingga barisan anugerah yang dikecap tidak membuatkan dia mahu bersenang-senang. Masih ada banyak yang mahu direncanakan sebagai sebuah kelangsungan karier.
Hari ini tiada lagi belenggu dalam membuktikan kemampuannya dalam menghidupkan watak yang diberi atau keresahan terhadap bakat baru yang datang silih berganti. Semuanya dilalui dengan tenang dan jelas tanpa mahu membiarkan kebolehan yang ada tersisa tanpa diraikan atau dicabar dengan kemampuan baru yang mahu dia terokai.
KREDIT
PENYELARAS SARAH HANI JAMIL
TEMU BUAL HAFIZAN MOHD
FOTOGRAFI DALONG YANG DIBANTU MENG
PENERBIT EKSEKUTIF M.CHEN DIBANTU IRENE LI DAN LIORA LI
PENATAAN GAYA THEMATELIER STUDIO
SOLEKAN ZIJUN HU
DANDANAN XING FENG
LOKASI FWD HOUSE 1881

