
Teras cereka aksi menjadi formula mudah untuk kebanyakan produser filem tempatan menemukan titik tengah antara sudut komersial dan estetika pembikinan filem. Dan atas faktor ini jugalah saya kira kita dilambakkan dengan satu per satu filem-filem aksi. Yang bertukar adalah cerita, latar waktu dan penyampaian keseluruhannya.
Hal ini bukanlah masalah sebetulnya kerana sejak KL Gangster (2011) kita banyak saja filem aksi yang datang dengan penceritaan dan execution yang cemerlang (bukan Mat Kilau pastinya). 'Polis Evo', 'Sherif', 'Malbatt' sehingga 'Blood Brothers' semuanya solid sebagai filem aksi sarat drama dan emosi yang memenuhi cita rasa penonton tempatan khususnya.
Sehingga 'Gayong' muncul tahun lalu mengangkat seni pertahankan diri, Silat sebagai medium penggerak cerita - sebuah lagi satira aksi disusun. Jika mahu berdasarkan 'Gayong' yang pertama saya tidak ke panggung dengan apa-apa ekspektasi. Kecuali Beto dan Nabila Huda, filem tersebut hanyalah naskhah layar lebar yang longgar cetera, tiada fokus dan terlalu banyak lompongnya.

'Gayong 2' - Yang Harus Dipuji
Sebelum pergi kepada hal-hal yang lebih terperinci saya harus mengatakan penceritaan 'Gayong 2' lebih fokus berbanding yang pertama. Naratifnya disusun linear, kemas dan penonton daripada awal jelas ke mana ceritanya akan pergi. Tempo dan momentumnya dijaga dan tidak lagi membuat penonton zone out dengan adanya plot yang longgar seperti yang pertama.
Namun yang kurangnya, tiada elemen 'surprise' kerana daripada awal kita sudah tahu ke mana hala tujunya kecuali matinya Mat (Lakonan Syafie Naswip) di tengah konflik cerita. Beto Kusyairi sekali lagi dengan karisma dan screen presence yang dia miliki mengikat penonton dan menjadi nadi utama untuk naskhah ini menjadi sangat baik.
Beto sangat bijak mengawal gerak lakonannya tanpa perlu memberi hal-hal yang keterlaluan. Gerak tubuh, pengucapan dan matanya sangat meyakinkan. Dia benar-benar menghidupkan watak Cikgu Meor sebagai figura yang sangat dihormati orang sekelilingnya dengan sangat baik.

Fauzie Laily (Fauzi) satu lagi watak yang sangat membantu menghidupkan cereka ini dengan warna berbeza. Digambarkan sebagai lelaki dengan pemikiran dan perwatakan moden dengan pengaruh kolonial membentuk the new masculine di era yang mengambil latar era 50-an filem ini.
Munculnya watak Fauzi penting bagi membuat kita faham latar cerita sekuel ini. Ia memberi kontras pada dua pemikiran - konvensional Cikgu Meor dan civilization Fauzi yang membentuk satu bahan fikir baik. Di sini juga kita melihat walau Cikgu Meor seorang yang berpaksi pada pemikiran dan cara lama dia terbuka dalam menerima corak baru yang dibawa Fauzi.
Kerja kamera Harris Hue (Songlap, Polis Evo) harus diberi kredit. Cukup kemas, setiap framing di filem ini diberi justifikasi visual yang sangat cemerlang. Baik pada babak aksi mahupun adegan biasa, dibingkainya filem ini dengan sangat cantik. Dan pastinya ia sangat banyak dibantu arahan seni, pencahayaan dan rekaan set yang bertepatan dengan latar cerita. Warnanya cantik, tidak superficial dan berjaya membentuk visual terhasil cukup bersih dan kemas.

Sarat Aksi Tak Kurang Emosi
Gayong 2 memberi hiburan yang cukup untuk sebuah filem aksi bergerak sebagai naskhah yang baik. Ia bukanlah sempurna tetapi setidaknya banyak hal yang baik ada di filem ini. Adegan aksinya sarat tetapi tempo masa dijaga baik tidak dibiar panjang sehingga lelah mata menonton. Stunt disusun kemas dan dengan bantuan kerja kamera yang sangat cekap setiap babak dipaparkan sempurna.
Saya senang dengan corak pengarahan Faisal Ishak lewat filem ini. Dia tidak begitu ambitious dengan mencipta babak yang keterlaluan. Ceritanya sederhana, mudah diikuti, emosinya juga ada. Nabila Huda biar tidak lama screen time kali ini masih meninggalkan kesan terutama ketika babak dia di dalam kereta melihat Mat dibedal Malcom.
Apa yang ditawarkan kali ini lebih baik berbanding Gayong yang pertama dan sepanjang bergelar pengarah, saya kira tidak keterlaluan untuk mengatakan ini menjadi hasil kerja paling kemas daripada Faisal Ishak. Dia berjaya mencipta chemistry dan menemukan titik tengah pada keseimbangan yang diperlukan dalam sebuah filem iaitu nilai seni dan nilai komersial yang seiring.

