Selama lebih 2,000 tahun, kota Mesir terus menggamit imaginasi dunia. Van Cleef & Arpels mengajak kita melihat kembali daya tarikan itu menerusi ‘Fascinating Egypt’, koleksi barang kemas mewah yang menelusuri pengaruh Mesir purba daripada sejarah ke dunia perhiasan.
Sejarah Mesir begitu mempesona. Simbol, seni bina, mitologi dan kisah para firaun telah berulang kali muncul dalam budaya dan seni Barat daripada zaman empayar Rom hingga ke Eropah abad ke-19. Di Perancis sendiri, pengaruhnya cukup jelas. Obelisk Luxor yang berdiri di Place de la Concorde sejak 1836 menjadi salah satu tanda paling ketara hubungan panjang negara ini dengan Mesir. Dalam dunia seni hiasan pula, ‘Egyptomania’ terus muncul dalam pelbagai bentuk daripada seni bina sehinggalah kepada fesyen dan barang kemas.
Van Cleef & Arpels bukanlah asing dengan pengaruh ini. Maison ini mula menggunakan motif Mesir dalam ciptaannya seawal 1910-an dan ketertarikan itu menjadi lebih ketara pada era 1920-an. Kini hampir satu abad kemudian, kisah tersebut diteruskan melalui ‘Fascinating Egypt.’
“Selama bertahun-tahun, Van Cleef & Arpels, yang begitu terinspirasi oleh Mesir pada 1920-an, ingin meneruskan kisah tersebut dan mempersembahkan tafsirannya sendiri terhadap warisan purba ini,” kata Catherine Renier, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Van Cleef & Arpels.
Mekarnya Teratai

Antara motif yang paling mudah dikenali ialah bunga teratai. Dalam ikonografi Mesir, bunga ini mempunyai kaitan dengan matahari, kehidupan dan kelahiran semula. Pada Fleur de Lotus Mystérieuse, tiga kuntum teratai dipaparkan dari sisi, setiap satunya hadir dengan gabungan batu permata dan motif yang berbeza.
Aura Diraja

Kemegahan perhiasan dada yang dipakai golongan diraja Mesir menjadi rujukan kepada Beauté Légendaire, sebuah rantai yang antara paling menonjol dalam koleksi ini. Di tengahnya terletak berlian fancy vivid yellow berbentuk kusyen seberat 10.02 karat. Warna kuningnya menjadi tumpuan utama sementara potongan berlian membolehkan cahaya memantul dengan terang. Ia dipasang pada struktur bertatahkan berlian yang mengingatkan kepada breastplate diraja Mesir.
Tarikan Cleopatra

Figura penting Mesir purba turut diterjemahkan sebagai klip melalui Muse Eternelle. Muse Eternelle menggambarkan Cleopatra dalam gaya yang anggun dan tegas. Wajahnya dibentuk daripada berlian rose-cut, manakala tubuhnya dihiasi emas dan berlian dari hiasan kepala hingga ke kasut.
Gelang Purba

Gelang ini mungkin antara ciptaan yang paling menyeronokkan untuk diperhatikan. Gelang Paysage Merveilleux, Paysage Royal dan Paysage Secret dibina seperti panorama kecil Mesir yang melingkari pergelangan tangan. Ada piramid, topeng firaun dan barisan tiang yang mengingatkan kepada kuil-kuil purba. Namun warna-warnanya lebih berani dan kontemporari, khususnya pada Paysage royal, yang menggabungkan zamrud, delima, nilam biru dan merah jambu, spinel, garnet, oniks dan berlian. Gelang-gelang ini turut mengimbau rekaan gaya Mesir yang dihasilkan Van Cleef & Arpels pada 1920-an. Strukturnya fleksibel dan mengikuti bentuk pergelangan tangan, manakala emas pada permukaan hadir dalam pelbagai kemasan.

