
Speedmaster menjadi satu naratif panjang OMEGA dalam meneroka kelangsungan penciptaan jam tangan yang beteraskan keutuhan. Mula diperkenalkan pada tahun 1957 sebagai jam tangan kronograf sebagai kegunaan profesional - Speedmaster menjadi simbol praktikaliti tidak hanya sekadar kemewahan. Paparan dail dengan penciptaan yang utuh dengan penggunaan skala Takimeter yang bersesuaian dengan dunia permotoran.
Sejak awal diperkenalkan, Speedmaster mencerminkan satu falsafah yang cukup ringkas sebetulnya iaitu sebuah jam tangan harus mampu memberikan prestasi terbaik. Fungsi menjadi teras dalam membentuk identiti Speedmaster dan versatiliti yang ada padanya beralih fungsi di litar lumba sehingga persekitaran ekstrem.
Seiring dengan penerokaan manusia lewat orbit angkasa lepas, jam tangan ini menjadi instrumen penting bagi angkasawan ketika dipilih sebagai penanda aras waktu yang datang dengan keupayaan tinggi menghadapi keadaan mencabar dalam misi merentas paksi luar bumi. Ia bergerak sebagai sebuah kesinambungan semula jadi daripada nilai yang sentiasa menjadi pegangan Speedmaster yang cukup dipercayai dan berupaya dalam apa jua situasi.

Misi Bulan
Pada tahun 1968, setahun sebelum misi Apollo 11 mendarat di Bulan, sekumpulan jurutera dan pereka terpilih daripada OMEGA telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan jurutera NASA iaitu James Ragan, di Houston.
Pelbagai idea telah dikongsi dan dibincangkan dengan matlamat untuk menghasilkan sebuah the ultimate space watch yang mampu memenuhi keperluan angkasawan sepanjang misi mereka melangkaui bumi.
1959 - 1963: CK2998 generasi kedua Speedmaster diperkenalkan. Menampilkan beberapa pembaharuan daripada segi estetika rekaan dan sekali gus mengukuhkan ketika menjadi jam tangan OMEGA pertama yang dibawa ke angkasa lepas pada tahun 1962.
1963 - 'Project Mercury' diperkenalkan oleh angkasawan NASA. Ketika itu Pengarah Operasi, Dake Slayton dibawa bertemu angkasawan yang memohon agar diberikan jam tangan bagi setiap misi mereka.
1963 - 1965: Generasi ketiga Speedmaster, the ST 105.003 dihasilkan untuk NASA.
1965: Pada tarikh 23 Mac Speedmaster ST 105.003 secara rasmi berlepas ke angkasa lepas di tagan Virgil Gus Grisson dan John Young menerusi misi Gemini 3.
1965: Edward White menjadi rakyat Amerika Syarikat pertama yang melakukan spacewalk dengan memakai jam tangan Speedmaster ST 105.003.
1969 - 1978: Menerusi Projek Alaska, empat model berbeza dihasilkan dengan mencipta satu sejarah baru pembuatan jam tangan OMEGA dengan Calibre 861 yang lebih unik dan inovatif.

Made for Pilots
Ketika diperkenalkan pada tahun 1969, Flightmaster dianggap sebagai sebuah jam tangan yang malangkaui zamannya. Reka bentuk datang dalam saiz lebih besar, berkarakter luar biasa menjadikannya berbeza daripada jam kronograf konvensional pada era tersebut.
Namun seperti kebiasaan, OMEGA sentiasa mahu tampil unik tidak sekadar didorong oleh aspek estetika rekaan, namun dengan teras dan tujuan yang jelas untuk menjadi sebuah jam tangan yang dicipta khusus memenuhi kehendak dunia penerbangan.
Jika dilihat kembali era 1960-an, banyak jenama jam tangan terkemuka datang dengan jam kronograf khusus yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan dan aplikasi yang mencabar. Sekali gus menjadikan era baru tool chronographs dan inovasi OMEGA menghadirkan penciptaan Flightmaster.

Jam tangan ini dicipta khusus untuk juruterbang yang memerlukan satu keupayaan dalam memantau beberapa zon waktu secara serentak. Flightmaster membolehkan mereka membaca waktu dengan cepat dan jelas. Ia juga datang dengan pelbagai fungsi cukup praktikal dalam menavigasi perjalanan penerbangan mereka.
Setiap aspek yang ada dalam penciptaan Flightmaster tidak direka secara kebetulan. Selain tampil dengan bekas jam yang bersaiz besar, ia turut memperlihatkan susun atur dail yang terperinci dengan kebolehupayaan membaca dengan mudah. Ini termasuk fungsi GMT 12 serta butang penekan dengan kod warna yang memudahkan pelarasan berfungsi.
Setiap perincian yang dicipta menerusi Flightmaster telah melalui satu proses yang cukup teliti dan cukup terperinci. Setiap elemen yang ada memainkan peranan tertentu bagi memastikan setiap satunya berfungsi baik serta memberi satu kemudahan dalam kepenggunannya.

