Pertama kali saya melihat koleksi terbaharu Alhambra dalam enamel merah jambu Van Cleef & Arpels di Paris pada Julai lalu, rona itu serta-merta mencuri perhatian. Merah jambu? Harus diakui, saya sendiri tertanya-tanya bagaimana warna yang begitu segar dan berani akan diterjemahkan pada salah satu motif paling ikonik Maison ini. Namun sebaik sahaja terkena cahaya, persoalan itu terjawab dengan sendirinya. Enamel lut sinar itu seakan-akan hidup, memperlihatkan rona merah jambu yang kaya dan jernih. Llembut pada pandangan, namun cukup berani untuk meninggalkan kesan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1968, motif semanggi berdaun empat ini tidak pernah benar-benar kekal dalam satu bentuk. Van Cleef & Arpels memperkenalkan rantai panjang Alhambra yang pertama dengan 20 motif dalam emas kuning bertekstur, setiap satunya dikelilingi bingkai manik berganda yang kini begitu sinonim dengan rekaannya. Diilhamkan oleh lambang tuah dalam budaya Barat, Alhambra hadir dengan garis yang bersih, harmoni dan cukup mudah untuk dipakai setiap hari. Sambutannya hampir serta-merta. Daripada sebuah rantai panjang, lahirlah sebuah koleksi yang selama lebih lima dekad terus berkembang, berubah dan menemukan bahasa baharu melalui pelbagai bahan.
Kali ini, Alhambra hadir dalam satu rona yang cukup unik. Merah jambu yang bukan sahaja menarik pada pandangan tetapi seakan menyimpan cahaya dan kehidupan tersendiri. Warnanya pekat, terang dan mempunyai kedalaman yang sukar diterjemahkan melalui sekeping gambar. Di dalam enamel lut sinar itu, gelembung-gelembung halus menangkap cahaya, memberikan permukaannya dimensi yang hampir terasa bergerak. Setiap kali cahaya berubah, rona itu turut bermain, sesekali lebih kaya dan tepu kemudian kembali lembut dan bercahaya.
Dipadankan dengan kehangatan emas kuning serta bingkai manik yang menjadi tanda pengenalan Alhambra, hasilnya terasa begitu segar dan moden. Koleksi ini menampilkan lima rekaan Vintage Alhambra dan Magic Alhambra dalam enamel lut sinar, merangkumi rantai panjang, rantai, loket, gelang dan anting-anting. Bentuk semanggi berdaun empat yang selama ini menjadi jiwa Alhambra kekal utuh tetapi material baharu ini memberikannya sisi yang lebih kontemporari. Saya mendapati diri saya kembali memandangnya berkali-kali kerana sesuatu yang begitu dikenali tiba-tiba kelihatan segar. Di sebalik ronanya, tersimpan proses yang jauh lebih rumit.
Warna merah jambu ini dibangunkan khusus untuk merealisasikan visi Creation Studio Van Cleef & Arpels, menggunakan teknik yang mendapat ilham daripada kaedah gold-ruby yang telah digunakan sejak abad ke-17. Dalam teknik bersejarah ini, warna tidak terhasil semata-mata daripada pigmen. Ia bergantung pada kehadiran zarah-zarah emas yang sangat halus di dalam bahan enamel. Saiz, bentuk dan kepekatannya perlu berada pada kadar yang tepat bagi menghasilkan rona yang diingini. Untuk mencapai warna merah jambu yang sesuai bagi motif Alhambra, para artisan di bengkel enamel Maison ini menghabiskan beberapa tahun menjalankan penyelidikan dan penambahbaikan.
Penggunaan enamel bukanlah sesuatu yang baharu bagi Van Cleef & Arpels. Sejak Maison ini ditubuhkan pada tahun 1906, enamel telah menjadi sebahagian daripada bahasa kreatifnya, menghiasi pelbagai objek berharga, kotak, jam tangan, timepiece dan barang kemas.
Sepanjang tahun 1930-an, enamel muncul dalam rekaan yang dipengaruhi estetika Art Deco, di samping pemandangan landskap, gambaran budaya dari tempat-tempat yang jauh serta adegan figuratif. Memasuki dekad 1950-an dan 1960-an, enamel menemukan pula sisi yang lebih santai melalui koleksi La Boutique. Motif haiwan yang bersahaja diberikan sentuhan enamel, begitu juga rekaan bunga yang menampilkan kepelbagaian warna dan teknik.
Dalam sesetengah ciptaan, kelopak bunga dihasilkan menggunakan teknik plique-à-jour, membolehkan cahaya menembusi enamel yang lut sinar dan menghasilkan kesan yang hampir seperti kaca berwarna. Hari ini, bengkel enamel Van Cleef & Arpels menguasai lebih daripada 15 teknik, termasuk enamel miniature painting, grisaille enamel, plique-à-jour dan enamel decal. Pengetahuan ini pula diteruskan melalui sekolah enamel dalaman Maison, sebuah program selama tiga tahun yang memberi ruang kepada para artisan baharu untuk mempelajari dan menguasai kemahiran yang begitu khusus ini.

