Langgan

Rolex Perpetual Padellone: Warisan Dalam Wajah Baharu

Mengambil inspirasi daripada model Rolex era 1940-an, jam tangan Perpetual Padellone hadir dengan pesona vintaj yang tersendiri.
2 minit untuk membaca
Published: November 29, 2026
Perpetual Padallone
Jam tangan Rolex Perpetual Padellone dalam emas Everose 18 ct serta gelang Settimo

Reka bentuk klasik terus menjadi inspirasi dalam dunia pembuatan jam tangan hari ini. Menerusi Perpetual Padellone, Rolex mengolah semula elemen daripada model terdahulu dengan sentuhan moden disertai teknologi terkini yang melengkapi reka bentuknya. Keistimewaannya bermula dengan nama. Berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud kuali besar, ‘Padellone’ merupakan gelaran yang dikaitkan dengan jam tangan Rolex rujukan 8171, diperkenalkan pada era 1940-an. Reka bentuknya yang lebar dan rata cukup menonjol pada zaman tersebut, memberikan penampilan tersendiri dalam kesederhanaannya. Beberapa dekad kemudian, ciri reka bentuk itu dihidupkan kembali.

Di sebalik penampilannya, Perpetual Padellone dilengkapi komplikasi yang menarik. Gabungan annual calendar dan paparan moonphase menjadikan jam tangan ini lebih daripada sekadar penunjuk waktu. Kedua-dua fungsi ini turut memperlihatkan keupayaan mekanikalnya dalam menjejaki perjalanan hari, bulan dan kitaran lunar.

Jam tangan Rolex Perpetual Padellone dalam emas Everose 18 ct serta tali kulit buaya rona coklat berkemasan matte

Paparan kalendarnya terdiri daripada hari dan bulan yang ditunjukkan melalui dua bukaan di bawah kedudukan pukul 12, manakala jarum biru dengan hujung berbentuk bulan sabit menandakan tarikh pada skala yang mengelilingi pinggir dail. Menerusi sistem Haplos yang dipatenkan, mekanisme ini mampu membezakan bulan yang mempunyai 30 hari daripada bulan yang mempunyai 31 hari. Hasilnya, pelarasan kalendar hanya diperlukan sekali setahun, iaitu apabila Februari beralih ke Mac. Tepat pada tengah malam, paparan hari, tarikh dan bulan berubah serentak dalam sekelip mata, memastikan setiap penunjuk kekal sejajar dengan tepat. Paparan fasa bulan pada kedudukan pukul enam pula melengkapkan fungsi kalendar tersebut. Cakera enamel biru yang terdedah sepenuhnya melengkapkan satu putaran dalam tempoh satu kitaran lunar, iaitu kira-kira 29.53 hari.

Di sebalik reka bentuknya yang kemas, Perpetual Padellone menampilkan kejuruteraan mekanikal yang canggih. Jam tangan ini digerakkan oleh kaliber 7190 baharu yang dibangunkan dan dihasilkan sepenuhnya oleh Rolex. Sebagai evolusi kepada kaliber 7135 yang diperkenalkan bersama Oyster Perpetual Land-Dweller pada 2025, mekanisme ini beroperasi pada frekuensi tinggi 5 hertz serta dilengkapi pelbagai teknologi bagi meningkatkan ketepatan, kebolehpercayaan dan ketahanan terhadap gangguan magnet.

Jam tangan Rolex Perpetual Padellone Platinum 950

Melalui penutup belakang lutsinar, mekanisme ini dapat dilihat dengan lebih dekat. Rotor emas kuning dengan reka bentuk potongan terbuka, kemasan Rolex Côtes de Genève serta perincian permukaan menyerlahkan perhatian terhadap estetika dan mutu pembuatan kaliber ini.

Rolex menawarkan Perpetual Padellone dalam tiga variasi, masing-masing dengan penampilan tersendiri. Versi pertama menggabungkan emas Everose 18 ct dengan dail putih terang berkemasan berbutir serta gelang logam tujuh pautan Settimo, menampilkan gaya klasik yang kemas. Variasi kedua mengekalkan gabungan emas Everose 18 ct dan dail putih tetapi dipadankan dengan tali kulit buaya coklat berkemasan matte untuk penampilan yang lebih tradisional. Melengkapkan koleksi ini ialah versi platinum 950 dengan dail biru ais berkemasan berbutir serta tali kulit buaya hitam matte. Ketiga-tiga variasi menawarkan pendekatan berbeza terhadap reka bentuk Perpetual Padellone.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down