
Daripada satu sehingga 24 Ogos, aras concourse Pavilion Kuala Lumpur bertukar menjadi “karnival” sentuhan Van Cleef & Arpels. Didedikasi untuk meraikan koleksi Perlée, pop-up ini dihidupkan melalui kolaborasi kreatif bersama seniman visual Perancis, Arthur Hoffner. Para pengunjung disambut dengan pelbagai elemen interaktif, daripada Ferris Wheel berskala sebenar serta permainan bertema karnival yang membangkitkan rasa keterujaan dan keriangan.
Lahir pada tahun 1990, Arthur merupakan pereka Perancis yang menggilap minatnya terhadap seni pertukangan dan kerja besi sejak kecil lagi. Dia menimba ilmu di Boulle School, Paris, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam Reka Bentuk Industri di ENSCI – Les Ateliers.

“Koleksi Perlée melambangkan pergerakan, keriangan dan kelembutan. Sejak awal kerjasama ini, saya berusaha menzahirkan semangat tersebut melalui ruang pameran yang direka ibarat taman permainan bagi manik-manik emas. Warna-warna pula menambah kontras, menghadirkan dialog di antara ruang yang penuh dan kosong,” katanya.
Di tengah pameran, koleksi Perlée menyerlahkan identitinya yang unik. Sejak dilancarkan pada 2008, rangkaian ini meraikan estetika manik emas dengan ekspresi bertenaga yang menzahirkan semangat ceria dan cukup playful.
Manik emas yang dihasilkan melalui proses pertukangan halus berperingkat, digilap sehingga mencapai permukaan yang licin sempurna dan berkilau indah. Tahun ini, barisan Perlée Couleurs disemarakkan lagi dengan set baharu: gelang, loket dan cincin yang memancarkan kilauan emas kuning serta pesona batu pirus. Gabungan rona dan cahaya ini mencipta permainan kilauan yang memikat di atas kulit, satu bukti kemahiran Van Cleef & Arpels dalam menyatukan warna dan tekstur.
Sebagai kemuncak, jam tangan barang kemas Toi & Moi diperkenalkan. Terinspirasi daripada konsep “you and me”, jam tangan gelang ini mempertemukan dua motif bersaiz berbeza pada bangle terbuka yang sepenuhnya disusun daripada manik emas.



