Langgan

Mengenang Kembali Semiotik Flora Van Cleef & Arpels

Retrospektif flora daripada Van Cleef & Arpels
2 minit untuk membaca
Published: September 27, 2025

Biar sudah berjarak lebih 100 tahun, tetapi tidak pernah menyisi kuintesens bunga-bungaan sebagai terapan nilai rekaan. Pupukan cinta terhadap keharmonian semula jadi dan semangat taman botani terus pagun mengilhami Van Cleef & Arpels, terbentuk sebagai warisan sehingga bertumbuh menjadi himpunan kontemporari. Terungkap dalam spektrum palet yang varia!

van cleef

Kesempurnaan Van Cleef & Arpels ‘menangkap’ kecantikan bunga dalam habitat semula jadi diakui tidak terbandingkan. Van Cleef & Arpels bijak menghalusi makna dalam menggarap ciptaannya yang berasaskan resmi flora. Ia merujuk kepada elemen ‘pergerakan’ yang menjentik pengertian kita tentang personifikasi sebenar sekuntum bunga. Daripada bersifat figuratif kepada berupa ‘konkrit’. 

Lebih 90 tahun yang lalu, rekaan flora dihiasi teknik Mystery Set, sebagaimana diilustrasikan oleh klip Peony pada tahun 1937 yang menggunakan material baldu untuk diolah sebagai kelopak-kelopaknya. Makanya, segenap zaman, estetika bersifat natural ini terus diwarisi. Peony kepada daisi, bunga buterkup kepada bunga ulam raja. Lebih daripada 20 variasi bunga berulang kali diadaptasi dan diabadikan sebagai motif utama. Van Cleef & Arpels menyengajakan rekaan yang secara halus berbentuk asimetri atau kelopaknya sedikit melengkung, lalu mengekspresikan satu tafsiran flora yang seakan-akan terliuk ditiup angin dan ciptaan-ciptaan tersebut terlihat segar pada pandangan. Dimulakan pada tahun 1970, namun masih terpelihara malah diperkayakan sehingga kini, koleksi Rose de Noël menampilkan rekaan bentuk bunga besar dalam olahan batu hiasan yang mengelilingi pistil bertatahkan emas dan berlian. 

van cleef

Maison mengabadikan nikmat keanggunan yang seketika dalam komposisi yang meraikan kepesonaan bunga-bunga liar. Koleksi The Folie des Prés High Jewelry mempamerkan aspek ini menerusi motif asimetri serta potongan batu permata berilhamkan fantasi. 

Kreasi jam tangan turut mencerminkan kecintaan Maison terhadap alam semula jadi. Contohnya, Lady Arpels Heures Florales dan Lady Arpels Brise d’Été daripada koleksi jam tangan Poetic Complications, menampilkan diorama yang memukau. Model yang terdahulu muncul dengan rekaan 12 korola bunga yang mempunyai keselarasan boleh buka serta tutup sepanjang hari. Manakala yang terbaru menampilkan kehendakpergerakan bunga seperti dihembus angin berdasarkan kemahuan. 

van cleef

Asimilasi intrinsik keindahan semula jadi yang merupa visual dreamlike juga dipamerkan dalam kreasi berskala besar – seperti automaton Éveil du Cyclamen. Butiran rekaannya menampilkan jambangan bunga berlakuer emas ros dan mengagumkan kita dengan daya penarik dari aspek teknologinya – jambangan bunga tersebut mekar terbuka untuk memperlihatkan rerama yang terkandung di dalamnya, sebagai lambang tradisi Maison memelihara hasilan penuh berharga. 

Keseringan Van Cleef & Arpels memintal ilham bunga-bungaan sebagai rangkupan rekaannya bersemi kepada satu ideogram untuk mengubah esen bunga – stylized, untuk dijadikan dalam tafsiran yang hampir kelihatan abstrak seperti koleksi barang kemas Fleurette. Van Cleef & Arpels membina idea rekaan korola-korola bunga menggunakan tujuh butir berlian yang ‘sederap melangkah’ berkilauan dan keberhasilan ini muncul daripada kepakaran pemilihan serta penyesuaian penuh teliti daripada Stone Department. Citra ketulenan ini juga dizahirkan dalam koleksi Frivole, yang menampilkan ciptaan-ciptaan ringan dan bergrafik. Ia dibentuk daripada korola-korola bunga yang digilap seakan-akan bertekstur permukaan cermin dan kelopak-kelopak bunga berupa hati. 

van cleef
ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down