
Pasaran muzik tempatan semakin mengujakan dengan kemunculan bakat baru yang sentiasa tampil dengan idea segar dan tak kurang juga established artiste yang sudah menemukan formula sejagat mereka. Daripada persembahan bakat senior seperti Aina Abdul sehingga ledakan baru ALPHA, berikut senarai lagu yang wajib anda dengar daripada bakat tempatan sepanjang minggu ini.
HARU BIRU / ALPHA & DAIYAN TRISHA
Menerusi debut The First Wave, ALPHA membawa ilham Pop cukup segar buat pasaran muzik tempatan. Single 'Haru Biru' bersama Daiyan Trisha antara yang paling diperkatakan. Kolaborasi dengan kejutan manis ini menyatukan emosi dua persona Pop di lapisan yang berbeza. Karya ciptaan Justin Seow bersama Mohsein Kush dan Daiyan Trisha sendiri.
AJAR AKU / AIZAT AMDAN & S.O.G
Sebuah lagi karya kolaborasi yang cukup menangkap pendengaran. 'Ajar Aku' menjadi pertaruhan kini Aizat Amdan dalam melewati perjalanan muziknya. Lagu ini tampil berbeza dengan apa yang biasa S.O.G hasilkan, lebih mellow dan beremosi namun masih kental identiti muzik kedua-dua bakat muzik ini.
SADIS / AINA ABDUL
Ada sesuatu yang berbeza dalam penampilan single terbaru Aina Abdul. Perlahan-lahan dia. keluar daripada zon selesanya biar masih kentak jiwa Aina Abdul lewat lagu ini. 'Sadis' menjadi pertaruhan terbaru yang pastinya akan terus mencuri perhatian pendengar-pendengar Aina khususnya.
IZINKAN AKU / FUGO
FUGO melewati satu transisi bermuzik yang cukup konsisten. Semakin lama di pekantaran muzik tempatan, semakin kuat identiti muzik mereka terserlah. Buktinya lewat lagu terbaru 'Izinkan Aku' yang dengan begitu mudah menjerat pendengaran. Penciptaan melodinya semakin baik dan produksi muziknya begitu membanggakan.
DUKES / SURAT
Sebuah lagi kugiran baru yang menghasilkan muzik yang datang dengan idea yang baik. Mendengarkan 'Surat' membuatkan saya berfikir kepelbagaian muzik yang ada di Malaysia benar-benar telah bertumbuh. Ada kesyahduan dalam kemasan muzik yang disiapkan. DUKES memiliki potensi baik untuk menjadi kugiran pelapis yang memiliki hayat panjang berkaier.
SETULUSNYA / SITI NORDIANA & JACLYN VICTOR
Duet kedua dua penyanyi wanita popular tempatan ini menelusuri naratif persahabatan. Melodinya memiliki sentuhan Soulful Ballad yang menjual jiwa pada nyanyian kedua-dua mereka. Kombinasi suara Nana dan Jac menyatu baik dan tidak kedengaran canggung. Ada harmoni dalam penghasilan melodi dan persembahan vokal.

