
Atilia Haron mengemudi sebuah perjalanan bermuzik yang cukup panjang berbekal satu kepercayaan bahawa muziknya mempunyai sesuatu yang lestari untuk diperdengarkan. Hal ini telah dia buktikan lewat penghasilan tiga album penuh iaitu "Sangkar" (2007), "Indah" (2010) dan "No.3" yang diedarkan pada tahun 2017.
Dengan rangkaian lagu popular seperti "Selalu Denganmu", "Bahagiaku", "Sangkar", "Salah Sangka" sehingga duet bersama Loque menerusi "Kekanda Adinda", dia punya cara yang tersendiri dalam mengatur perjalanan muziknya. Biar pasaran muziknya tidaklah menembus carta muzik popular namun Atilia masih memiliki momennya yang tersendiri.
Sabtu lalu berlangsung konsert solo perdana "Atilia Haron Live in Concert" yang berlangsung di Robert's Theatre, The Campus Ampang. Dalam durasi hampir dua jam Atilia Haron menghiburkan semua penonton dan penggemar muziknya menerusi rangkaian lagu-lagu dalam dua set persembahan.

Dibuka dengan lagu "No Fruits for Today" sebuah rakaman ulang kugiran Sore, Atilia hadir menawan dalam persalinan serba hitam. Aura pentasnya dirasai tanpa perlu berselindung dengan gimik-gimik yang tidak perlu dan konsert ini berjalan sebagai sebuah persembahan yang membawa penonton menyelami ilham muzik yang dipersembahkan sebaiknya.
Di bawah kendalian pengarah muzik Fly Halizor yang juga pemain bass yang sering mengiringi persembahan Atilia, konsert ini turut membawakan persembahan Sore Ze Band sebagai pemuzik undangan yang membawakan hampir tujuh lagu keseluruhan termasuk duet bersama Atilia sendiri.
Menggamit memori kemunculan perdananya di persada muzik tempatan, Atilia malam tersebut membawakan kembali single perdananya yang dirakam ketika bersama Roslan Aziz Production menerusi lagu "Pelangi Mimpi". Menerusi set kedua Atilia turut membuat persembahan tribute lagu-lagu Sade seperti "Smooth Operator", "Your Love is King" juga "Sweetest Taboo".

Persembahan duet bersama Logue antara yang dinanti penonton dan istimewa malam tersebut Atilia turut mempersembahkan lagu terbaru duet bersama Razak A'ai berjudul "Ceritera Arjuna & Bunga. Konsert malam tersebut disudahi dengan rangkaian lagu seperti "Harus Bagaimana", "Selagi" dan "Sudah" serta encore "Leka" yang merupakan lagu daripada pementasan teater P. Ramlee the Musical.
Melewati kembara muziknya tanpa tekanan mengikut apa yang arus semasa mahu menjadikan Atilia seorang penghibur yang cukup tersendiri. Di pentas dia cukup bersahaja, tidak kekok dalam menghibur malah sesekali guraunya mengundang tawa penonton yang ada. Konsert ini turut dihadiri rakan selebriti seperti Mimifly, Elvira Arul, Sazzy Falak, Nurul dan beberapa lagi yang turut meraikan konsert perdananya ini.
Gambar: Bibo Aswan

