Langgan

Eksklusif: ELLE di Pembukaan Butik Flagship Onitsuka Tiger Paris

Jenama yang merentas sempadan, Onitsuka Tiger terus menghubungkan warisan Jepun dengan dunia.
2 minit untuk membaca
Published: July 13, 2025

Sejak kemunculannya di pentas peragaan Milan bagi koleksi Musim Luruh/Sejuk 2021, Onitsuka Tiger terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar yang tidak boleh diabaikan dalam dunia fesyen global. Dengan pertunjukan di minggu fesyen dua kali setahun serta kolaborasi sensasi yang sering mencuri perhatian, jenama dari Jepun ini telah melangkaui akar atletiknya, membuktikan dirinya sebagai nama yang penting dan berpengaruh dalam arena fesyen kontemporari.

Onitsuka Tiger di Paris
Gambar oleh Paola Pansini

Meneruskan kebangkitannya di peringkat global, termasuk pembukaan butik di kota fesyen utama seperti di Barcelona dan London, Onitsuka Tiger kini melangkah ke Paris dengan penuh gaya, membuka butik flagship terbaharunya di salah satu jalan paling ikonik di dunia. ELLE berpeluang menyaksikan detik bersejarah ini secara langsung ketika perasmian butik megah di Champs-Élysées baru-baru ini.

Onitsuka Tiger di Paris
Gambar oleh Paola Pansini

Bertempat di Travellers Paris Private House, sebuah bangunan Haussmann klasik yang dibina pada tahun 1856, luaran butik ini memancarkan keindahan seni bina Eropah. Namun, sebaik melangkah masuk, suasana moden, minimalis dan berwarna kuning terus menyerlah, seiring dengan DNA Onitsuka Tiger yang progresif. Garisan bersih, siling geometri, pencahayaan lembut serta susun atur terbuka mewujudkan ruang yang menggalakkan pergerakan bebas.

Onitsuka Tiger di Paris
Gambar oleh Paola Pansini

Terdiri daripada dua tingkat, butik ini direka berlandaskan Yellow Concept yang menjadi identiti jenama. Para pengunjung boleh meneroka koleksi runway, denim DENIVITA™ serta rangkaian kasut kontemporari yang kini menjadi buruan.

Direka oleh firma seni bina terkenal Studio Dini Cataldi, ruang ini berjaya menyatukan warisan Jepun dan keanggunan Paris dengan begitu harmoni. Tema Tiger Yellow meresapi keseluruhan ruang, mencipta dialog visual yang berani dengan sejarah bangunan tersebut. Antara tarikan utama ialah Café Onitsuka Tiger di mana para tetamu boleh menikmati minuman istimewa berinspirasikan Jepun serta snek artisanal dengan sentuhan Parisian.

“Pembukaan butik flagship kami di Champs-Élysées merupakan detik penting bagi jenama kami,” kata Ryoji Shoda, Head of Onitsuka Tiger. “Mereka bentuk ruang yang serasi dengan pemandangan Champs-Élysées sambil mengekalkan bangunan bersejarah yang dihargai komuniti tempatan adalah satu cabaran besar. Sebagai jenama budaya yang menghubungkan Jepun dan dunia, matlamat kami adalah untuk mewujudkan ruang yang menghormati jiwa Champs-Élysées dan serasi dengan budaya kaya kota ini.”

Antara tetamu istimewa yang memeriahkan pembukaan butik ini termasuklah aktres Thailand Pansa Vosbein, bintang terkenal Jepun Tomohisa Yamashita, serta sensasi muda India Rashmika Mandanna yang sempat kami temui di butik. Tonton video di bawah untuk sorotan penuh acara malam tersebut.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down