
Gaya wanita Paris sentiasa punya daya tarikannya yang tersendiri. Bersahaja dan tidak pernah terlihat berlebihan, seolah-olah setiap helaian dipilih mengikut naluri. Malah, kombinasi paling sederhana sekalipun mampu terlihat begitu chic dan elegan. Pesona ini turut menjadi titik permulaan koleksi Musim Bunga 2027 Longchamp, yang berpeluang saya lihat secara dekat di Paris pada September lalu, sebagai antara yang terawal dari Malaysia.

Sebuah pengalaman yang cukup istimewa, lebih-lebih lagi apabila koleksi ini membawa kita menyelami Paris menerusi lensa sinema dengan inspirasi daripada era ‘Nouvelle Vague’, gerakan Arthouse Cinema pada dekad 1960-an. Bayangkan sebuah kota yang sarat dengan kreativiti, kafe-kafe yang riuh dengan perbualan serta wanita yang mengekspresikan diri melalui gaya yang cukup autentik dan bebas.

Apa yang paling saya sukai tentang koleksi ini ialah bagaimana ia meraikan pelbagai sisi seorang wanita. Wanita Paris tidak terikat pada satu penampilan atau personaliti semata-mata. Siluetnya tajam namun tidak kaku, feminin tanpa terlalu lembut. Saya cukup menyukai idea menggayakan dress berpotongan shift bersama jaket kulit yang kemas atau melembutkan sut crepe dengan tekstur tweed. Tiada yang terasa dipaksa, tiada yang kelihatan terlalu mencuba.

Warna juga menjadi antara perkara yang mencuri perhatian saya. Lilac merupakan pilihan yang yang begitu indah dan tidak dijangka, diikuti warna blush yang tidak kurang menariknya. Palet ini turut diserikan rona hangat seperti cognac, cashew, mocha dan plum, bersama warna klasik seperti kelabu, hitam, putih dan ecru.

Kemudian, hadir pula permainan fabrik. Linen ringan, cotton poplin, dress musim panas berjalur dan siluet yang lebih santai memberikan koleksi ini rasa effortless yang sering saya kaitkan dengan musim panas di Paris. Tweed hijau dengan taburan rona merah jambu dan kuning menjadi kejutan yang cukup menyenangkan. Jaket Atelier, Kimono dan Safari kembali sebagai siluet ikonik Longchamp, diperbaharui menerusi warna serta tekstur baharu.

Namun, jika anda mengenali saya, anda pasti tahu beg sentiasa menjadi perkara yang saya perhatikan terlebih dahulu. Beg daripada kulit ostrich yang begitu lembut dan mewah cukup memikat dengan tekstur yang membuatkan kita ingin menyentuhnya. Beg vanity dan sarung tangan menjadi perincian gaya yang begitu menarik manakala skarf merupakan sentuhan akhir yang tidak pernah saya pandang remeh.

Tonton preview koleksi Longchamp Musim Bunga 2027 di bawah!

