
Bagi seorang pecinta fesyen, pereka fesyen disebalik SHAZNASH, Sodiqin Shaz telah lama mengimpikan menyertai KLFW. “Musim ini sangat penting bagi saya dan jenama saya,” dia meluahkan. Tahun ini merupakan kali kedua SHAZNASH mempersembahkan koleksi mereka di KLFW. Melalui penyertaannya tahun lepas dia belajar yang acara ini bukan tentang fesyen semata-mata, ia memberi platform untuk mempersembahkan segala jenis kemahiran daripada solekan dan dandanan rambut sehingga ke fotografi dan media. “Terpulang kepada diri sendiri untuk memanfaatkan platform ini,” katanya. “Sekarang saya tahu yang di belakang pentas lebih huru hara daripada yang disangkakan, tapi situlah sumber keseronokan!”
Renungan Tentang Masa

Walaupun kekalutan disebalik tabir dikenang mesra, tahun ini pasukan SHAZNASH lebih teratur, mereka merancang dari awal konsep, kempen, dan rekaan koleksi. Koleksi yang dinamakan “Running Out of Time”, merupakan sebuah eksplorasi tentang kesementaraan dunia. Mengikut pandangannya manusia sentiasa bergegas menjalankan kerja untuk mengejar pencapaian, setelah selesai pencapaian baru pula dikejar dan kitaran itu tak akan berhenti. “Sama seperti apabila matahari terbenam, keindahan itu hanya boleh ditatap sementara sahaja sebelum malam menjelma,” kata Sodiqin. “Tapi kita lupa keindahan itu masih boleh dilihat keesokan harinya.”
Menghitung Hari ke KLFW

Sodiqin kongsi keseronokannya menjelang ketibaan pertunjukan fesyen itu. Dia menggemari proses seperti penggambaran kempen dan mereka kad jemputan. “Saya tak sabar untuk melihat keluarga dan kawan-kawan saya duduk di baris hadapan dan menikmati apa yang dipersembahkan,” katanya. Namun dia juga kadang kala resah memikirkan tarikh yang semakin dekat dan juga meragui jika hasil akhir koleksi itu dapat mencapai jangkaannya. Buat masa sekarang progress kerja pasukan SHAZNASH dalam lingkungan 70%, dan mereka sedang memuktamadkan rekaan dan melengkapkan perincian.

