
Tiba masanya untuk menikmati irama semula jadi ombak, diiringi kehangatan mentari yang menyentuh kulit. Koleksi baharu Longchamp, ‘Catch the Parisian Wave’ menceritakan keseronokan musim panas selepas kedinginan musim lalu. Mengangkat tenaga budaya papan luncur sebagai inspirasi, koleksi ini memaparkan semangat kebebasan yang tentunya penuh warna dan penuh gaya.
Cetakan madras menjadi nadi koleksi, tampil dalam corak petak yang seakan dipudarkan oleh cahaya matahari dan air laut. Ia menghidupkan semula siluet klasik seperti kimono dengan sentuhan moden. Palet hijau pistachio dan merah jambu udang mencipta visual yang berani namun santai, dipadankan dengan kemeja berleher ruffle yang lembut menyentuh kulit serta skirt labuh yang digayakan di atas pakaian renang. Tekstur turut memainkan peranan penting dalam mencerminkan gerakan ombak yang sentiasa berubah-ubah, daripada fabrik kapas ringan hingga ke kulit.


Gaun pula menjadi simbol versatiliti musim ini. Daripada momen selepas berenang hingga ke makan malam di tepi pantai, ia sememangya fleksible untuk pelbagai gaya. Shirt-dress klasik diberi nafas baharu dengan cetakan trompe-l’oeil, di mana papan luncur bertukar menjadi bulu berwarna terang. Jalur, tie-dye dan motif flora halus disatukan dalam palet warna musim panas seperti jingga senja, biru laut dan pastel alam.
Elemen jalur pula diolah sebagai interpretasi grafik ombak. Selepas sesi meluncur, wetsuit digantikan dengan gaun berjalur tebal yang memancarkan aura kasual tetapi chic. Kemeja rugby tampil lebih feminin dengan potongan sedikit cropped dan lengan tiga suku. Setiap langkah di pesisir pantai terasa mengalir, seiring jalur yang bertindih seperti ombak yang beralun di bawah sinar matahari senja.

Tidak ketinggalan, simbol ikonik Longchamp, kuda turut diberi interpretasi baharu. Kini ia tampil lebih dinamik, seakan bergerak bersama ombak yang mencerminkan semangat musim panas yang bebas dan tidak terikat. Warna coral, lagoon dan mint menghiasi helaian T-shirt dan sweatshirt, sementara elemen pasir dan garam menjadi metafora kepada jiwa percutian yang santai dan bebas.
“Koleksi ini meluncur di atas gelombang joie de vivre, bergerak seiring perubahan cahaya dan pasang surut. Warnanya benar-benar disentuh mentari seperti kuda Longchamp yang kini tampil lebih bebas, dengan semangat yang tidak terbatas,” ujar Sophie Delafontaine.
Jelas, 'Catch the Parisian Wave' bukan sekadar koleksi, ia adalah satu perasaan. Satu ajakan untuk bergerak bebas, menikmati momen dan membiarkan gaya mengalir seiring ombak musim panas.
View this post on Instagram

