Langgan

Menulis Semula Budaya Tempat Kerja Bersama Mollie Rogers

Dalam dunia di mana emosi masih dianggap kurang profesional, Mollie Rogers mencabar minda konservatif yang berakar sejak berabad lamanya.
3 minit untuk membaca
Published: January 20, 2026

Dipacu oleh keyakinan bahawa tempat kerja boleh dan mesti menjadi ruang di mana manusia berasa disokong dan selamat, Mollie Rogers sedang mengubah cara kita memahami kesejahteraan di tempat kerja. Sebagai Pengurus Besar sebuah jenama fesyen global dari Perancis, pengasas sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memperjuangkan keterangkuman emosi dan hos kepada sebuah podcast yang mengangkat pemimpin dengan misi yang sama, Mollie kini menjadi suara penting dalam gerakan memanusiakan dunia kerja moden.

Mollie Rogers. Gambar: Teddy Chern Photography

Mollie juga merupakan penulis ‘Emotional Inclusion: A Humanizing Revolution at Work’ (Penguin Random House, 2023) dan seorang ibu kepada dua orang anak mengimbangi kedudukan berpengaruh dengan pengalaman hidup sebenar. Kami berbual dengannya untuk memahami mengapa keterangkuman emosi semakin penting hari ini, dan bagaimana pemimpin dapat membina budaya kerja yang menyatukan kemanusiaan dan prestasi.

Istilah ‘Emotional Inclusion’ kedengaran luas. Bagaimana anda mendefinisikannya di tempat kerja dan bagaimana ia berbeza daripada pendekatan kesejahteraan tradisional?

Ramai orang pada mulanya menyangka keterangkuman emosi sama dengan kecerdasan emosi tetapi sebenarnya tidak. Saya selalu katakan kecerdasan emosi ialah pemahaman, manakala keterangkuman emosi ialah tindakan.

Bagi saya, keterangkuman emosi ialah nilai asas yang proaktif. Ia melangkaui inisiatif kepelbagaian, ekuiti dan rasa kebersamaan dengan meletakkan kesejahteraan emosi dan mental sebagai agenda utama perniagaan. Ia tentang mewujudkan ruang selamat untuk emosi bukan menganggapnya sesuatu yang harus disembunyikan. Apabila orang berasa dihargai dan didengari, prestasi akan menyusul.

Apa yang mengilhamkan konsep ‘Emotional Inclusion’?

Inspirasi itu datang daripada kesedaran tentang jumlah masa yang kita habiskan di tempat kerja. Saya sering berkongsi nombor ini: 81,396. Itulah jumlah jam bekerja seseorang sepanjang hidup. Hanya tidur yang melebihi itu. Jadi jika kita menghabiskan begitu banyak masa di tempat kerja, bukankah waktu itu sepatutnya positif dan bermakna?

Namun selama bertahun-tahun, emosi dianggap tabu atau tidak profesional. Saya mahu mengalihkan budaya kerja daripada mengutamakan produktiviti semata-mata kepada kefahaman bahawa produktiviti dan kemanusiaan sebenarnya saling menguatkan.

Anda menulis buku ‘Emotional Inclusion: A Humanizing Revolution at Work.’ Apa kandungannya dan apa mesej utama yang ingin disampaikan kepada pemimpin?

Buku ini menghimpunkan bertahun-tahun temu bual, penyelidikan dan pengalaman peribadi. Ia menjelaskan mengapa keterangkuman emosi penting dan bagaimana pemimpin boleh mengamalkannya dengan cara yang praktikal, berasaskan perubatan dan mampan.

Jika ada satu mesej yang perlu pemimpin ingat, ia ialah: hanya orang mati tidak pernah stres, tidak pernah kecewa, tidak pernah patah hati. Emosi sukar adalah sebahagian daripada kontrak kita dengan kehidupan. Tempat kerja mesti mengakui realiti itu jika mahu manusia berkembang.

Boleh kongsikan detik peribadi yang membuatkan anda menyedari keperluan keterangkuman emosi? 

Dua tahun lalu, saya melalui perceraian yang menyakitkan. Dan saya tidak pernah bercakap tentangnya di tempat kerja. Setiap hari saya mengoleskan gincu merah jambu terang, senyum dan memakai apa yang saya panggil “topeng kebal.” Apabila rakan kerja akhirnya mengetahuinya, mereka terkejut.

Pengalaman itu mengajar saya sesuatu yang penting: kita tidak pernah tahu apa yang seseorang sedang lalui kecuali kita bertanya dan mereka berasa cukup selamat untuk memberi jawapan jujur.

Sebab itu, dalam satu ucaptama, saya meminta sekumpulan jurutera berpaling kepada rakan sebelah mereka dan bertanya, “Apa yang anda sedang bergelut hari ini?” Semua orang berasa tidak selesa  tetapi itulah tujuannya. Kita telah menormalkan kesenyapan. Keterangkuman emosi menentang budaya itu.

Apakah salah faham paling biasa tentang kesejahteraan emosi di tempat kerja?

Salah faham terbesar ialah emosi dianggap kelemahan. Kita telah mewarisi minda kerja industri 200 tahun lalu yang mengutamakan produktiviti dan mengenepikan kemanusiaan. Tetapi neurosains menunjukkan bahawa kita beremosi sebelum kita berfikir. Emosi bukan lembut, ia fakta biologi. Dan apabila diabaikan, kesannya sangat besar.

Data Gallup menunjukkan 60 peratus pekerja tidak terikat secara emosi dan hampir 20 peratus berasa sengsara. Ini bukan angka kecil.

Cabaran apa yang anda hadapi dalam mengimbangi peranan kepimpinan korporat dengan menguruskan sebuah non-profit?

Ia memang satu keseimbangan yang berterusan. Saya merupakan pengurus besar sebuah jenama global, saya menguruskan non-profit, saya mengacarakan podcast dan saya seorang ibu kepada dua anak.

Daripada luar, orang nampak seolah-olah semuanya sempurna tetapi realitinya lebih rumit. Ada naik turunnya dan saya perlu benar-benar berniat dalam mengurus tenaga, batasan dan kesejahteraan agar kedua-dua peranan dapat berjalan secara mampan.

Amalan peribadi apa yang membantu anda kekal tenang dan hadir secara emosi?

Sembilan jam tidur. Ya, betul. Itu keperluan saya. Anda mungkin tidak perlukan sebanyak itu, tetapi sains tentang tidur sangat jelas. Saya juga bergantung pada pergerakan fizikal, meditasi harian, visualisasi, pembelajaran berterusan, psikologi prestasi dan momen-mikro sepanjang hari untuk berhenti dan benar-benar merasai. Bukan kerana ia trend, tetapi kerana prestasi benar-benar bergantung pada kesejahteraan.

Melihat ke hadapan, bagaimana rupa kejayaan bagi gerakan keterangkuman emosi?

Kejayaan ialah apabila manusia tidak lagi perlu menyembunyikan diri di tempat kerja. Di mana pemimpin faham bahawa keselamatan psikologi bukan pilihan, ia keperluan. Ia budaya di mana orang berasa dilihat, disokong,dan selamat  dan di mana keterangkuman emosi menjadi asas cara kita memimpin, berkolaborasi, dan membina masa depan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down