Fesyen dan seni sentiasa berkongsi bahasa yang sama. Dalam dunia fesyen mewah, kolaborasi bersama artis, arkitek dan pereka menjadi ruang buat setiap maison menafsirkan semula warisan mereka menerusi perspektif kreatif yang segar. Bagi kolaborasi artistik terbaharunya, Longchamp memilih artis tekstil Caroline Hélain yang dikenali dengan karya landskap bertekstur yang cukup indah. Buat pertama kalinya, rekaanya melangkaui dinding galeri untuk menemui kanvas baharu, diterjemahkan ke atas barangan kulit serta koleksi ready-to-wear Longchamp. ELLE berpeluang berbual bersama Caroline tentang inspirasi di sebalik kolaborasi ini.

ELLE: Tahniah atas kolaborasi anda bersama Longchamp. Apakah yang terlintas di fikiran anda apabila Longchamp menghubungi anda mengenai kolaborasi ini? Adakah terus bersetuju atau mengambil sedikit masa untuk memikirkannya?
Caroline: Perasaan pertama saya ialah rasa ingin tahu. Saya tertanya-tanya bahagian mana daripada hasil kerja saya yang menarik perhatian mereka dan pada masa yang sama, saya juga ingin tahu apa yang mereka ingin hasilkan melalui kolaborasi ini. Namun tidak lama kemudian, saya mula berasa teruja dengan idea untuk bekerjasama.
E: Landskap dan alam semula jadi sering menjadi tema utama dalam karya anda. Apakah yang membuatkan subjek-subjek ini terus menjadi sumber inspirasi?
C: Saya sentiasa mencintai alam semula jadi. Sejak kecil lagi, ia memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup saya. Saya menghabiskan banyak masa melukis bunga dan memerhatikannya dengan teliti. Ketika melukis bunga, saya sering memikirkan persamaan antara bunga dan manusia; tentang fasa-fasa kehidupan, hampir seperti sebuah alegori. Landskap pula sudah menjadi sebahagian daripada diri saya. Ada landskap zaman kanak-kanak saya dan ada juga landskap yang saya alami hari ini sebagai seorang dewasa. Saya percaya kita semua dibentuk oleh persekitaran dan bagi saya, alam di sekeliling itu sudah sebati dalam diri.

E: Semasa membesar, adakah anda seorang yang gemar berada di luar? Adakah terdapat tempat yang sangat dekat di hati anda?
C: Ya. Semua datuk dan nenek saya tinggal di Normandy, Perancis. Di kawasan mereka terdapat tebing-tebing tinggi yang begitu indah dan saya rasa landskap itu kekal bersama saya hingga hari ini. Selain itu, Kepulauan Portugal juga sangat istimewa buat saya. Saya sering ke sana ketika kecil. Kami dikelilingi alam semula jadi dan laut sentiasa menjadi sebahagian daripada pemandangan itu.
E: Untuk koleksi Longchamp ini, anda menghasilkan sembilan landskap yang diterjemahkan ke atas beg, kemeja-T dan helaian ready-to-wear. Adakah ia diinspirasikan oleh tempat sebenar yang pernah anda kunjungi atau hasil imaginasi?
C: Saya rasa ia merupakan gabungan kedua-duanya. Landskap ini lahir daripada apa yang saya lihat sendiri, tetapi juga daripada memori. Sudah lebih sedekad saya mengembara dengan kapal layar. Saya menghabiskan banyak masa di laut, melihat garis pantai dari tengah lautan. Landskap-landskap ini tidak merujuk kepada satu lokasi tertentu. Sebaliknya, ia lebih menggambarkan pengalaman belayar itu sendiri. Ada masanya anda dikelilingi air sejauh mata memandang. Kemudian, perlahan-lahan garis pantai mula muncul di ufuk. Semakin hampir, semakin banyak perincian yang dapat dilihat. Memori-memori itulah yang banyak mempengaruhi landskap yang saya hasilkan hari ini.

E: Adakah terdapat satu tempat yang masih kekal dalam ingatan anda?
C: Kami banyak menghabiskan masa di Brittany dan kini lebih banyak berada di selatan Perancis, sekitar Marseille, Corsica serta beberapa kawasan di Sepanyol. Landskap di sana sangat berbeza. Warnanya berubah, begitu juga karakter pesisir pantainya.
E: Belayar kedengaran seperti satu pengalaman yang cukup luar biasa. Adakah anda sering berlayar seorang diri?
C: Tidak. Saya biasanya berlayar bersama pasangan saya dan kadang-kadang kami turut berlayar bersama rakan-rakan.

E: Kebanyakan karya anda dihasilkan di atas kanvas. Namun untuk kolaborasi ini, ia diterjemahkan ke atas barangan kulit dan pakaian. Sejauh mana proses kreatif itu berbeza buat anda?
C: Sebenarnya, proses kreatif saya tidak banyak berubah. Saya masih bekerja dengan cara yang sama seperti biasa. Bahagian teknikal pula banyak dikendalikan oleh pasukan Longchamp. Peranan saya lebih tertumpu kepada warna dan komposisi. Saya menghasilkan karya seni, mereka menyediakan sampel kemudian kami saling bertukar pandangan sepanjang proses itu. Saya sendiri tidak bekerja secara langsung dengan kulit atau fabrik. Cara saya berkarya kekal sama seperti sebelum ini.
E: Bagaimanakah perasaan anda apabila pertama kali melihat karya anda diterjemahkan ke atas barangan kulit?
C: Setiap peringkat kolaborasi ini penuh dengan kejutan. Saya tidak pernah membayangkan karya saya akan diterjemahkan ke atas fabrik bulu atau kulit. Ia benar-benar sesuatu yang mengagumkan. Saya juga tidak melihat keseluruhan koleksi sekali gus kerana prosesnya melalui beberapa peringkat sebelum siap sepenuhnya. Namun apabila saya akhirnya melihat semua hasil kolaborasi ini dipamerkan bersama buat pertama kali, saya benar-benar terpegun.

E: Koleksi ini membawa semangat pengembaraan dan escapism yang cukup indah. Apabila anda memikirkan tentang melarikan diri daripada rutin, ke manakah fikiran anda pergi?
C: Ke pesisir pantai. Melihat garis pantai dari tengah laut. Itulah definisi escapism bagi saya.
E: Adakah kolaborasi bersama Longchamp ini membuka idea baharu atau mengubah cara anda melihat hasil kerja sendiri?
C: Ya, saya rasa kolaborasi ini benar-benar membuka perspektif saya. Saya tidak pernah membayangkan karya saya diterjemahkan ke atas material seperti ini. Satu lagi perkara yang mengejutkan ialah soal skala. Kebiasaannya saya bekerja dalam saiz yang agak kecil tetapi kali ini karya saya muncul pada helaian pakaian yang bergerak mengikut tubuh si pemakai. Ia mengubah sepenuhnya cara saya melihat skala dalam berkarya. Saya tidak pasti sama ada ia akan mempengaruhi hasil kerja saya selepas ini, tetapi mungkin juga.
E: Adakah anda mempunyai karya kegemaran daripada koleksi ini?
C: Sukar untuk memilih kerana saya menyukai setiap rekaan atas sebab yang berbeza. Namun jika saya perlu memilih satu, saya akan memilih travel bag. Saya menyukainya kerana perjalanan merupakan sebahagian besar daripada hidup saya dan pada masa yang sama ia juga merupakan antara rekaan paling ikonik Longchamp. Apa yang paling saya gemari ialah skalanya yang begitu menyeluruh. Landskap itu seolah-olah mengelilingi anda, membuatkan anda benar-benar tenggelam dalam karya tersebut. Saya juga sangat menyukai pilihan warnanya.
E: Adakah kolaborasi ini membuatkan anda mengenali sesuatu yang baharu tentang diri anda atau mungkin tentang Longchamp sendiri?
C: Sebenarnya saya sudah mengenali Longchamp sebelum ini, tetapi hanya dari jauh. Kolaborasi ini memberi peluang kepada saya untuk melihat sendiri bagaimana pasukan mereka bekerja. Apa yang paling mengejutkan saya ialah kebebasan yang mereka berikan. Saya sama sekali tidak menjangkakannya. Walaupun ini sebuah kolaborasi, saya sentiasa merasakan mereka benar-benar mendengar pandangan saya dan mempercayai visi yang saya bawa. Saya bebas berkarya mengikut cara saya sendiri dan itulah yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.

E: Adakah anda bekerja rapat dengan Sophie Delafontaine? Apakah yang anda pelajari daripadanya?
C: Kehidupan harian kami sebenarnya sangat berbeza. Saya menghabiskan sebahagian besar masa bersendirian di studio. Apabila bertemu Sophie, saya dapat melihat betapa berbezanya dunianya dengan dunia saya. Melihat bagaimana dia menguruskan pelbagai perkara dalam jadual yang begitu padat membuatkan saya lebih menghargai caranya bekerja.
E: Adakah terdapat perincian tersembunyi dalam koleksi ini yang anda harap orang ramai akan temui?
Bukan satu perincian tertentu, tetapi lebih kepada mutu kemasan keseluruhannya. Sepanjang kolaborasi ini, setiap sampel diperhalusi dengan teliti supaya hasil akhirnya kekal sedekat mungkin dengan karya asal saya. Sebagai contoh, jahitannya memainkan peranan yang sangat penting. Saya benar-benar kagum melihat bagaimana pasukan Longchamp berjaya menghasilkan peralihan warna menggunakan benang yang sama.
Satu lagi perincian yang saya suka ialah bahagian fabrik yang dibiarkan berjumbai. Dalam karya asal saya, kemasan itu dipotong dengan tangan dan Longchamp berjaya menghasilkan semula efek yang sama dengan begitu indah, seolah-olah ia benar-benar dibuat secara manual. Antara pengalaman yang paling bermakna buat saya ialah apabila berpeluang melawat fasiliti pengeluaran Longchamp di Perancis. Saya menyaksikan sendiri bagaimana beg-beg kulit dihasilkan dan menyedari bahawa di sebalik penggunaan mesin, sentuhan tangan manusia masih menjadi elemen terpenting dalam keseluruhan proses pembuatannya. Perkara itu benar-benar membuka mata saya dan memberi inspirasi yang besar.

E: Bagi mereka yang pertama kali mengenali karya anda melalui kolaborasi ini, apakah yang anda harap mereka bawa pulang daripadanya?
C: Saya berharap mereka menjadikan landskap-landskap ini milik mereka sendiri. Karya saya berada di antara figuratif dan abstrak. Saya menyukai idea bahawa setiap orang boleh membawa memori dan pengalaman mereka sendiri ke dalam landskap yang saya hasilkan. Jika mereka melihat sesuatu yang mengingatkan mereka kepada tempat yang cukup bermakna dalam hidup, maka karya itu sudah menjadi sebahagian daripada kisah mereka juga. Saya juga berharap koleksi ini menjadi satu jemputan untuk terus bermimpi dan membayangkan sebuah pelarian daripada rutin harian.

