Bersempena Minggu Fesyen Paris yang lalu, ELLE berkesempatan menemu bual Juliette Poupard Delafontaine yang merupakan Pengarah Acara Berkumpulan dan generasi keempat keluarga Longchamp.
Di tengah-tengah landskap fesyen Paris yang sentiasa berubah, Longchamp kekal sebagai simbol elegan Perancis yang tidak lapuk dek zaman. Dengan warisan yang menjangkau lebih tujuh dekad, jenama ini berjaya mengekalkan identiti menerusi gabungan seni ketukangan luar biasa, rekaan yang praktikal dan sentuhan Parisian chic yang menjadi signature. Dari beg Le Pliage yang ikonik hingga koleksi kulit mewah yang menjadi pilihan ramai, Longchamp terus membuktikan bahawa gaya dan fungsi mampu bergerak seiring.

Ketika Minggu Fesyen Paris yang lalu, ELLE berkesempatan menghadiri persembahan koleksi Longchamp untuk Musim Luruh/Dingin 2026 dan bertemu dengan Juliette Poupard Delafontaine, generasi keempat keluarga yang kini memegang jawatan Pengarah Acara Berkumpulan Longchamp. Beliau berkongsi bagaimana Longchamp terus kekal relevan dalam dunia fesyen kontemporari dan terus menghormati nilai, warisan dan semangat yang menjadi asas kepada kejayaan jenama ini sejak 1948.
ELLE: Anda mewakili generasi keempat keluarga Longchamp. Apakah makna legasi ini kepada anda secara peribadi?
Juliette: Bagi saya, ia adalah satu penghormatan yang amat besar. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat mewarisi legasi ini. Ia membuka begitu banyak peluang, namun pada masa yang sama turut hadir bersama tanggungjawab yang besar.
ELLE: Membesar dalam keluarga Longchamp, apakah memori terawal anda tentang jenama ini?
Juliette: Ada satu kenangan, walaupun saya sendiri sebenarnya tidak mengingatinya. Saya hanya melihat gambar ketika saya masih bayi, mungkin berusia sekitar enam bulan, duduk di kaunter di butik milik nenek saya sambil tersenyum kepada pelanggan. Semua orang dalam keluarga sering bercerita tentang detik itu.
Kenangan pertama yang benar-benar saya ingat ialah menghabiskan hari Sabtu di butik Longchamp di Rue Saint-Honoré. Saya gemar bermain di stor di bahagian belakang butik dan menghabiskan banyak masa di situ. Apabila semakin dewasa, saya mula memerhatikan cara nenek bekerja, berinteraksi dengan pelanggan dan menguruskan pasukannya.
Saya juga sering berada di pejabat datuk saya yang mereka bentuk beg lelaki dan beg kembara. Beliau gemar menunjukkan pelbagai prototaip beg yang inovatif dan sangat dibanggakannya. Di situlah bermulanya hubungan saya dengan rekaan-rekaan Longchamp.

ELLE: Apakah yang anda pelajari daripada ibu anda, Sophie Delafontaine, mengenai kreativiti dan hala tuju artistik?
Juliette: Ibu saya seorang wanita yang sangat bertenaga dan berjiwa kental. Sesiapa yang mengenali Longchamp pasti tahu beliau ialah seorang pemimpin yang luar biasa. Pada masa yang sama, beliau juga seorang ibu yang hebat. Sentiasa mengetahui apa yang berlaku dalam hidup saya dan adik-beradik saya, malah kini sebagai nenek kepada dua anak saya.
Selain itu, beliau juga seorang sahabat yang sangat baik. Beliau mampu melakukan begitu banyak perkara dalam satu masa. Daripadanya saya belajar bahawa minat merupakan sumber tenaga yang sebenar. Dari sudut kreativiti pula, beliau sentiasa menggalakkan kami untuk kekal ingin tahu, peka terhadap dunia di sekeliling dan tidak pernah takut bertanya apabila tidak memahami sesuatu. Beliau juga mengajar saya supaya sentiasa menjadi diri sendiri, kekal autentik dan merendah diri.
ELLE: Apakah aspek paling bermakna bekerja dalam perniagaan keluarga?
Juliette: Bagi saya, perkara paling penting ialah kepercayaan dan sokongan yang kami berikan antara satu sama lain. Kami saling melengkapi dan berkongsi matlamat yang sama, iaitu memastikan syarikat yang diasaskan oleh moyang dan datuk nenek kami terus berkembang serta relevan untuk generasi akan datang.
Saya juga tidak pernah berasa keseorangan, saya tahu keluarga saya sentiasa berada di sisi. Saya sangat bertuah kerana dapat bekerja bersama mereka setiap hari dan bertukar idea secara berterusan. Hubungan saya dengan ibu dan sepupu-sepupu juga sangat rapat. Itu satu anugerah yang tidak ternilai.
ELLE: Sebagai Pengarah Acara Kumpulan, bagaimana anda menterjemahkan identiti Longchamp kepada pengalaman yang lebih imersif?
Juliette: Segalanya bermula dengan perbincangan bersama ibu saya mengenai koleksi baharu dan inspirasi di sebaliknya. Saya perlu memahami cerita yang ingin kami sampaikan. Kemudian saya memikirkan bagaimana untuk mempersembahkan visi tersebut kepada dunia serta meletakkan rekaan dan idea beliau di pentas yang sewajarnya.
Saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri, bagaimana mesej ini boleh disampaikan dengan cara yang segar, menarik dan berbeza daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini, namun masih setia kepada DNA Longchamp. Matlamat utama saya ialah memastikan setiap tetamu yang menghadiri acara kami merasakan pengalaman itu hanya mampu dihasilkan oleh Longchamp.

ELLE: Bagaimana anda memastikan setiap acara kekal relevan di peringkat global sambil mengekalkan sentuhan Paris yang kuat?
Juliette: Saya dilahirkan dan dibesarkan di Paris. Saya tinggal di tengah-tengah kota ini dan walaupun sering mengembara atas urusan kerja, Paris tetap rumah saya. Bagi saya, gaya Parisian kelihatan begitu santai dan tidak dibuat-buat, tetapi hakikatnya memerlukan perancangan yang sangat teliti. Dalam setiap acara, saya mahu semuanya tampak elegan dan tersusun rapi, namun para tetamu tidak menyedari segala usaha di sebaliknya. Pengalaman itu harus terasa lancar dan semula jadi.
ELLE: Acara Longchamp manakah yang paling bermakna buat anda setakat ini?
Juliette: Sudah tentu acara pertama yang saya ilhamkan dan hasilkan sendiri akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Tema utamanya berkisar tentang tenaga, muzik dan semangat komuniti. Kami menganjurkan sekitar 20 acara di seluruh dunia dan buat pertama kalinya saya mahu ia dibuka bukan sahaja kepada tetamu jemputan, malah kepada orang ramai secara percuma. Keterbukaan itu amat penting bagi saya. Ia merupakan kali pertama saya benar-benar merealisasikan visi sendiri untuk jenama ini serta mewujudkan ruang yang boleh dinikmati oleh semua.
Saya juga sangat menyukai projek taman sayur yang kami hasilkan untuk koleksi musim panas. Apabila melihat hasil akhirnya, saya benar-benar tersentuh. Setiap pasaran berjaya menghasilkan interpretasi yang unik dan cukup istimewa.
ELLE: Longchamp kini semakin memberi penekanan terhadap kelestarian. Bagaimana ia diterapkan dalam penganjuran acara?
Juliette: Kelestarian merupakan keutamaan kami. Kami berusaha bekerjasama dengan agensi yang berkongsi nilai yang sama dan sentiasa mempertimbangkan impak terhadap alam sekitar dalam setiap keputusan.nSejak menyertai syarikat ini, saya menetapkan satu prinsip yang jelas iaitu tiada penggunaan plastik sekali guna. Kami juga berusaha menggunakan semula sebanyak mungkin elemen acara. Sebagai contoh, struktur seperti ruang DJ akan disimpan, dicat semula atau diubah suai untuk projek seterusnya.
Selain itu, kami lebih gemar menyewa berbanding membeli. Jika perlu membina sesuatu yang baharu, kami akan memikirkan kegunaannya selepas acara berakhir. Ada kalanya elemen tersebut disumbangkan kepada syarikat teater atau organisasi lain supaya dapat digunakan semula. Kami sentiasa memastikan setiap elemen mempunyai hayat kedua dan tidak berakhir sebagai sisa buangan.
ELLE: Bagaimana anda menggambarkan gaya peribadi anda?
Juliette: Sejak bergelar ibu, gaya saya sedikit berubah kerana saya tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersiap. Kebiasaannya saya akan memilih satu helaian yang menjadi tumpuan, manakala selebihnya tampil ringkas dan santai. Saya perlukan sekurang-kurangnya satu item yang memberi karakter kepada keseluruhan penampilan. Contohnya jaket kimono kulit Longchamp. Saya boleh memadankannya dengan jean dan kemeja-T putih, tetapi jaket itulah yang menjadi fokus utama.
Keselesaan juga amat penting kerana saya perlu mengimbangi kehidupan sebagai ibu, profesional dan individu yang aktif. Saya memerlukan pakaian yang boleh digayakan dari siang hingga malam tanpa perlu menukar keseluruhan penampilan.
ELLE: Daripada koleksi musim ini, apakah item kegemaran anda?
Juliette: Saya sangat menggemari kimono dan memilikinya dalam beberapa warna. Saya juga menyukai skirt kulit daripada koleksi ini. Selain itu, saya jatuh cinta dengan beberapa gaun labuh yang dihiasi perincian bulu yang elegan. Ketika ini saya sedang mencari gaun untuk dipakai ke majlis perkahwinan dan salah satu daripadanya merupakan pilihan yang sempurna.
Bagi kasut pula, saya amat menyukai satu rekaan yang sudah bertahun-tahun saya minta ibu hasilkan. Akhirnya ia dilancarkan dan kini saya memakainya hampir setiap hari. Untuk beg tangan, pilihan saya ialah beg Le Roseau bersaiz kecil dalam rona coklat dan beg Le Pliage bersaiz besar yang saya anggap sebagai sebuah karya seni. Dan sudah tentu saya juga akan memiliki beg Le Roseau Raffia kerana setiap kali memakainya, saya berasa seperti sedang bercuti walaupun berada di Paris.




ELLE: Bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke Paris, kawasan atau lokasi manakah yang anda cadangkan?
Juliette: Saya tinggal di 6th arrondissement di Paris. Ramai yang menganggap kawasan ini agak klise, tetapi bagi saya, di sinilah terletaknya Paris yang sebenar. Saya gemar berjalan kaki di sekitar kawasan kejiranan, membawa anak-anak ke Jardin du Luxembourg dan menikmati suasana kedai-kedai yang penuh karakter. Saya juga sangat menggemari restoran serta bistro tradisional Perancis, saya sering ke Bread & Roses yang terkenal dengan quiche terbaik. Sekurang-kurangnya sekali seminggu sama ada bersendirian, untuk makan tengah hari urusan kerja, bersama rakan atau keluarga.
Saya juga mencadangkan Marco Polo dan Localino untuk hidangan Itali yang lazat serta suasana yang menyenangkan, selain l'Entrecôte yang terkenal dengan menu stik dan kentang gorengnya. Kini saya juga sudah tahu waktu terbaik untuk berkunjung supaya tidak perlu beratur panjang.
ELLE: Di manakah anda mencari ketenangan dan inspirasi?
Juliette: Saya menemui inspirasi daripada pelbagai perkara. Dari alam semula jadi, gabungan warna dan tekstur, malah orang yang saya lihat di jalanan. Namun apabila benar-benar ingin berehat, saya hanya mahu bersama keluarga. Tidak kira di mana kami berada, asalkan kami bersama. Rumah ialah tempat yang membuatkan saya berasa paling selesa dan paling tenang.
Layari longchamp.com untuk melihat koleksi pakaian dan askseri kulit Longchamp yang terbaharu.

