
Segalanya bermula dengan dua pasang tangan berseni, satu milik tukang kulit dan satu lagi milik seorang seniman. Gabungan antara dua tangan kreatif ini melahirkan sebuah karya seni agung, koleksi musim luruh 2025. Kecintaan mendalam terhadap ketukangan halus, warisan abadi dan kepelbagaian budaya kota Paris menzahirkan keserasian buat rumah fesyen ternama Perancis, Longchamp dan artis visual kontemporari, Constantin Riant.
Walaupun ramai artis yang merantau ke serata dunia untuk mencari ilham, Constantin memilih untuk menyelami keindahan yang tersembunyi di hadapan matanya. Dengan jiwa pengembara dan rasa ingin tahu yang tidak pernah surut, dia meneroka kotanya sendiri seperti seorang pelancong. Setiap sudut jalan, papan tanda kedai, rona dinding dan bentuk seni bina menjadi sumber inspirasi yang dihidupkan kembali melalui sentuhan peribadinya.

Seperti karya seramiknya, koleksi ini dicorakkan juga dalam rona biru dan putih untuk beg, aksesori dan ready-to-wear. Dan, antara salah satu karya yang paling menonjol merupakan skarf sutera Les Artisans de Paris. Ia adalah himpunan buat wajah-wajah tempatan, daripada tukang langsir kepada pembuat biola, daripada pembingkai gambar kepada penjual buku. Bukan sekadar corak pada kain, tetapi sebuah penghargaan kepada mereka yang membentuk semangat sebenar Paris.

Sebagai penghormatan kepada warisan pertukangan Longchamp, Constantin turut mencipta lambang baru. Elemen-elemen penting dalam sejarah jenama dipilih, mengaitkan masa lalu dan masa kini. Termasuk alat tukang kulit, paip kulit pertama Longchamp, beg ikonik Le Pliage, jarum, benang, serta kapal terbang dan kapal laut yang melambangkan keinginan mengembara. Lambang ini diabadikan dalam bentuk label kulit, menghiasi koleksi dengan penuh simbolik.
Pesona Puitis Longchamp: Dari Paris ke Pavilion
Sebagai meraikan kolaborasi eksklusif Longchamp x Constantin Fall 2025, pop-up istimewa ini menghidangkan pengalaman Parisian yang penuh pesona, dihiasi dengan sentuhan artisan, pastri elegan dan koleksi penuh whimsical yang diterjemah indah oleh seniman Paris tersohor, Constantin Riant.
Daripada kehadiran selebriti hinggalah butiran sofistikated seperti potret ilustrasi tangan dan poskad bergaya, keseluruhan ruang pop-up ini menangkap aura puitis kota Paris dengan begitu anggun di tengah-tengah nadi Kuala Lumpur.


Pilihan ELLE: 5 Item daripada koleksi kapsul Constantin Riant x Longchamp

Beg tote Le Pliage, Longchamp

Kemeja T dengan lambang, Longchamp

Skaf sutera, Longchamp

Jumpsut berpotongan lurus, Longchamp

Jaket tebal, Longchamp