Langgan

Sophie Delafontaine Berkongsi Inspirasi di Sebalik ‘Slide in Style’ Longchamp

Dengan membawa nafas baharu untuk tahun ini, koleksi Musim Bunga 2026 Longchamp hadir dengan penuh optimisme.
4 minit untuk membaca
Published: February 1, 2026

Tahun baharu menjanjikan harapan segar dan Longchamp menyambut 2026 dengan ledakan tenaga yang cukup bergaya. Ketika di Paris untuk Minggu Fesyen September lalu, kami berpeluang menjejakkan kaki ke ibu pejabat jenama itu di 43 rue Vineuse, berhampiran Trocadéro, untuk melihat sendiri kehalusan koleksi terbaharunya. Di sana, kami berkesempatan berbual dengan Sophie Delafontaine, pewaris legasi Longchamp dan nadi kreatif rumah fesyen ini, tentang inspirasi dan jiwa yang menghidupkan koleksi terbaru mereka.

Sophie Delafontaine, Pengarah Kreatif Longchamp

Apakah yang mencetuskan tema untuk koleksi Musim Bunga 2026? Adakah terdapat detik tertentu yang menggerakkan segalanya?

Sophie: Semangat koleksi ini berpusat pada konsep Slide With Style. Bagi saya, inti pati utamanya ialah tenaga dan pergerakan. Rasa “meluncur” itu sendiri. Idea ini lahir daripada keinginan untuk menampilkan wanita Longchamp sebagai wanita yang sentiasa aktif, sentiasa bergerak. Koleksi ini dicipta untuk menyokong pergerakannya dan gaya hidupnya yang begitu dinamik.

Tema “slide” ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diinspirasikan oleh suasana gelanggang luncur ais. Kehidupan penuh dengan detik-detik indah. Ia tentang berkongsi masa bersama rakan dan keluarga, menikmati saat-saat ceria dan menjalani hidup dengan pandangan yang optimis dan positif. Semangat ini mencerminkan keindahan momen yang dinikmati bersama.

Bahagian kedua pula berakar daripada budaya meluncur ombak. Ia menggambarkan sisi lain wanita Longchamp: selain positif, dia seorang wanita yang bebas. Dia gemar meneroka, mengembara dan bertemu orang baharu. Gaya hidup komuniti peluncur ombak dengan kebebasan, angin, ombak dan karakternya yang liar namun segar. Sangat dinamik dan inilah tenaga yang mahu saya bawa ke dalam koleksi ini.

Warisan Paris merupakan identiti besar Longchamp, namun Sophie juga mereka untuk khalayak global. Bagaimana Sophie menggabungkan kedua-duanya,  warisan Paris dan tema jenama?

S: Apabila saya berkata ‘Slide with Style’, saya membawa kedua-duanya: gaya, keanggunan dan sentuhan Paris yang sofistikated serta tenaga, keremajaan dan aura positif. Longchamp berteraskan gabungan warisan, kemahiran dan gaya hidup Perancis.

Pada masa sama, ia juga sebuah syarikat yang sangat kreatif dan dinamik yang penuh tenaga, inovasi, kreativiti, humor dan warna. Generasi muda hari ini mencari kedua-dua nilai tersebut. 

Sophie Delafontaine
Sophie Delafontaine
Sophie Delafontaine

Apa yang membuatkan Longchamp begitu dekat dengan Gen Z?

S: Mereka mengambil berat tentang bagaimana sesuatu dihasilkan dan siapa yang menghasilkannya, tetapi pada masa yang sama mencari produk yang sesuai dengan gaya hidup baharu mereka dan mempunyai keunikan. Idea utamanya ialah menggabungkan kedua-dua aspek ini. Itulah Longchamp.

Bagaimanakah media sosial, budaya digital dan Minggu Fesyen global mempengaruhi proses rekaan Sophie?

S: Dalam hampir 80 tahun, Maison ini sentiasa berada dalam proses evolusi. Ia bukan revolusi besar, tetapi evolusi yang berterusan. Setiap tahun ada sesuatu yang baharu. Longchamp sentiasa berkembang bersama komuniti dan persekitarannya.

Kami mungkin syarikat pertama yang menawarkan perkhidmatan customisation di laman web. Pada tahun 2006, hampir 20 tahun lalu, kami mula menawarkan penyesuaian Pliage secara dalam talian. Hari ini, media sosial sangat penting, tetapi pengalaman sebenar juga penting. Saya memberi perhatian yang sama kepada media sosial dan pengalaman online seperti saya memberi perhatian kepada pengalaman di butik, kerana walaupun generasi baharu hidup dalam dunia maya, mereka tetap mengharapkan pengalaman sebenar apabila berada di dunia nyata.

Anda tidak boleh bergantung pada media sosial semata-mata. Kehidupan sebenar juga sangat penting, dan kami memberi perhatian kepada kedua-duanya. Gabungan inilah yang menjadikan jenama ini kuat hari ini.

Sophie Delafontaine

Sophie Delafontaine bersama anaknya, Juliette Poupard

Sebagai cucu kepada pengasas Longchamp, apakah pelajaran yang diturunkan oleh ayah dan datuk kepada Sophie sebagai seorang pemimpin?

S: Pertama sekali, minat. Mereka sangat bersemangat dan mereka menurunkan semangat itu kepada saya. Seterusnya ialah rasa hormat. Menghormati pelanggan, pekerja dan produk. Kemahiran tangan juga sangat penting. Tetapi mungkin nasihat paling penting dari ayah saya ialah: beri peluang kepada produk. Cuba dan cuba lagi. Kadang-kadang ia tidak berjaya, tetapi teruskan mencuba, terus berinovasi, terus mencipta. Ia nasihat yang sangat berguna, bukan hanya untuk kerja tetapi juga kehidupan.

Apakah kegembiraan terbesar atau cabaran terbesar bekerja dalam perniagaan keluarga?

S:  Bukan cabaran. Ia satu peluang besar. Kami sebuah keluarga yang sangat kuat, sangat rapat. Saya bersyukur dapat bekerja dengan ibu bapa saya selama bertahun-tahun, kemudian dengan dua abang saya, dan kini bersama generasi baharu, anak saudara saya dan anak perempuan saya.

Bekerja merentasi generasi sangat bermakna. Saya belajar begitu banyak daripada ibu bapa saya, dan mereka memberi saya banyak panduan. Generasi baharu pula membuka mata saya kepada idea baharu. Cara mereka melihat masa depan dan kehidupan hari ini. Saya rasa seperti jambatan yang menyampaikan nilai, semangat dan kemahiran kepada generasi seterusnya. Kami saling percaya, saling menyokong. Ia sangat indah.

Le Roseau ialah antara bag yang cukup ikonik. Bagaimana Sophie mengekalkan kesegarannya untuk generasi baharu sambil menghormati warisannya?

S: Le Roseau kini lebih 30 tahun. Ketika ia mula direka, ia merupakan sebuah tote bag yang elegan, halus dan sofistikated. Saya cuba mengekalkan semangat itu. Hari ini, versi baharu hadir dalam kulit anak lembu yang halus dan semula jadi, dengan perincian yang sangat cantik. Kami menukar butang Roseau kepada rekaan seperti tali pinggang mengelilingi beg. Ia kekal elegan dan halus, tetapi kelembutannya menjadikannya lebih cool. Teman terbaik untuk kehidupan harian anda. Saya mereka untuk wanita yang yakin. Wanita bekerja, mengurus kehidupan mereka. Saya gembira dapat menghasilkan beg yang memudahkan hidup mereka dan membuat mereka lebih yakin.

Le Roseau XS Bucket Bag
Le Smart Handbag
ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down