
Debut pakaian wanita Dior oleh Jonathan Anderson hampir memastikan keabadiannya sendiri. Sebelum pertunjukan bermula, tetamu selebriti kebanyakannya duta rumah fesyen termasuk Anya Taylor-Joy, Jennifer Lawrence, Taylor Russell, Jenna Ortega dan Greta Lee disiarkan secara langsung ketika dalam perjalanan menaiki kereta dan setibanya di kawasan pertunjukan, satu amalan yang dimulakan Jonathan sewaktu bersama Loewe.
Pereka itu kemudian membuka tirai lebih jauh lagi dengan menyelitkan rakaman sesi penggayaan VIP sebelum pertunjukan. Bagi Jonathan, akses sebegini bukanlah semata-mata soal “demokratisasi” fesyen, tetapi lebih kepada membentuk rekaannya sebagai satu bahasa global yang berkuasa. Kini, bahasanya adalah rumah Dior.


Segala-galanya terserlah di pentas peragaan. Set yang dipersembahkan menampilkan skrin berbentuk piramid terbalik yang memaparkan montaj klip filem daripada setiap tahun kewujudan jenama, digabungkan dengan rakaman arkib pertunjukan Dior. Seolah-olah sebuah ‘Pandora’s box’ milik Dior sendiri. Daripada Monsieur Dior ke John Galliano sehingga Maria Grazia Chiuri, para pereka terdahulu muncul sebagai bayangan yang menggerunkan sejarah rumah fesyen ini. Suasana tegang yang mendebarkan menyelubungi detik bermulanya bab baharu ini. Sebuah jeritan terakhir menutup filem pendek tersebut lalu pengembaraan bersejarah Jonathan pun bermula.
Di pentas, Jonathan mempersembahkan visi wanita matang dengan menggunakan kelembutan untuk membina wanita moden yang teguh. Namun, romantisme masih berlegar di udara. Banyak siluet seperti topi tentera Perancis dipadankan dengan skirt mini denim memberi penghormatan kepada gaya sensual “lanun fesyen” John Galliano sambil mengangkat keagungan abad ke-18 melalui siluet antik.


Aspek kenakalan turut terlihat pada butiran: seutas tali leher seakan ditelan lilitan kemeja umpama akar pokok membelit objek. Bulu-bulu menghiasi jari kaki bukannya topi, manakala kemeja-T tuxedo tampil dengan makna baharu apabila dipadankan dengan set sukan santai. Ini menandakan bahawa walaupun di rumah Dior, Jonathan tetap gemar bermain.
Inovasi ini turut melangkaui dunia kecantikan. “Dengan pertunjukan ini, ia ibarat halaman baharu yang segar,” kata Peter Philips, pengarah kreatif dan imej Dior Makeup, mengenai solekan koleksi tersebut. Rambut diatur longgar oleh Guido Palau, manakala kulit wajah tampil segar dengan semburan pemerah pipi. Peter menggunakan Forever Skin Glow 24H Wear Radiant Foundation dalam lapisan nipis serta pemerah pipi bak kelopak bunga. “Saya rasa ini lebih kepada visi romantis, sensitif dan halus berbanding wajah ibarat perisai yang sering kami lakukan bersama Maria Grazia Chiuri. Satu sentuhan warna pada kulit membuatkan ia terasa seperti musim bunga,” jelasnya. Peter menggunakan Dior Rosy Glow Blush Stick dalam rona Rosewood dan Berry, diadun kemas ke kulit. “Kita sedang menunggu bunga-bunga mekar,” tambahnya mengenai mood kecantikan pertunjukan ini.


Akhirnya, Jonathan bukan sahaja memperkenalkan rekaan baharu di Dior. Dia sedang membina satu estetika segar. Sebuah falsafah sensual yang ingin dikongsi dengan dunia. Daripada pakaian lelaki, wanita, hingga koleksi couture yang bakal tiba, ideanya begitu banyak. Namun itulah yang diperlukan untuk menakluki besarnya cabaran yang sedang digalas.


Artikel asal daripada ELLE US.

