
Dalam dunia barangan mewah, sesuatu yang baharu lazimnya dikaitkan dengan kesempurnaan. Permukaan yang licin, kemasan tanpa cela dan material yang sentiasa kelihatan seperti baru keluar dari kotak. Namun, bagaimana jika calar, lekuk dan cat yang mengelupas sebenarnya menjadikan sesuatu rekaan lebih istimewa?
Persoalan ini menjadi titik pertemuan antara RIMOWA dan Maison Margiela menerusi kolaborasi edisi terhad terbaharu mereka. Menggabungkan kepakaran bagasi ikonik dari Jerman dengan pendekatan avant-garde rumah fesyen dari Paris, kedua-duanya mempersembahkan koleksi yang meraikan keindahan perubahan, ketidaksempurnaan dan karakter yang terbentuk seiring waktu.
Bukan sekadar meletakkan logo dua jenama pada satu produk, kolaborasi ini membawa falsafah reka bentuk yang cukup menarik: sesebuah objek tidak semestinya kehilangan nilainya apabila mula menunjukkan tanda-tanda penggunaan. Sebaliknya, di situlah cerita peribadinya bermula.
Calar Bukan Kecacatan, Tetapi Sebahagian Daripada Cerita

Bagi RIMOWA, kesan calar dan lekuk pada bagasi aluminium sering menjadi rekod perjalanan seseorang. Setiap tanda mempunyai cerita tersendiri, daripada perjalanan jauh hinggalah pengalaman yang tidak dirancang. Maison Margiela pula sudah lama menjadikan kesan penuaan sebagai sebahagian daripada identiti rekaannya menerusi teknik Bianchetto.
Teknik overpainting ini melibatkan sapuan cat putih secara manual pada permukaan sesuatu objek. Apabila cat mula merekah dan mengelupas akibat penggunaan, ia menghasilkan lapisan patina yang unik. Menariknya, pendekatan ini mempunyai sejarah sejak 1988 apabila pengasas Maison Margiela, Martin Margiela, mengecat keseluruhan perabot di studio reka bentuk pertamanya dengan warna putih.
Kini, falsafah tersebut diterjemahkan kepada dua rekaan utama: RIMOWA Classic Cabin dan Maison Margiela 5AC XL Bag. Kedua-duanya menampilkan alur ikonik RIMOWA yang digabungkan dengan kemasan Bianchetto, menjadikan setiap permukaan seolah-olah kanvas yang akan terus berubah mengikut pengalaman pemiliknya.
Di Sebalik Kempen Yang Seakan Babak Komedi
Jika melihat visual kempen ini buat kali pertama, mungkin ada yang teringat kepada kekecohan dalam dunia Mr Bean. Bayangkan sebuah apartmen klasik bergaya Haussmannian yang tiba-tiba menjadi lokasi percikan cat putih, dengan bagasi dan beg tangan turut menjadi sebahagian daripada kekacauan artistik tersebut.
Diarahkan dan difotografikan oleh Dexter Lander, kempen ini menggambarkan aplikasi teknik Bianchetto dalam suasana yang cukup dramatik. Cat putih menyelaputi Classic Cabin, 5AC XL Bag dan ruang sekeliling, meninggalkan bayangan siluet kedua-dua rekaan pada dinding seolah-olah sebuah karya seni instalasi.
Pendekatan visual ini memberikan sisi lebih eksperimental kepada kolaborasi tersebut, sambil memperlihatkan bagaimana sesuatu yang kelihatan tidak sempurna boleh menghasilkan keindahan tersendiri.
Mewah Yang Semakin Cantik Dengan Waktu

Apa yang menjadikan kolaborasi ini menarik bukan hanya pada rupa fizikalnya, tetapi juga idea di sebalik setiap perincian. Dalam era yang begitu mementingkan sesuatu yang serba baharu dan sempurna, RIMOWA dan Maison Margiela memilih untuk meraikan perkara sebaliknya.
Setiap rekahan cat, calar dan perubahan tekstur menjadi sebahagian daripada identiti pemiliknya. Barangkali, itulah bentuk kemewahan yang lebih peribadi, sesuatu yang tidak boleh dihasilkan secara seragam, tetapi terbentuk melalui masa dan pengalaman.
Bermula 19 November 2026, RIMOWA x Maison Margiela Classic Cabin ditawarkan pada harga RM18,150, manakala RIMOWA x Maison Margiela 5AC XL Bag berharga RM20,400. Kedua-duanya boleh didapati di butik terpilih RIMOWA dan Maison Margiela serta menerusi laman web rasmi kedua-dua jenama.

