Langgan

Ikuti Semua Trend Utama di #KLFW2025

Here’s your cheat sheet to Kuala Lumpur Fashion Week 2025!
3 minit untuk membaca
Published: August 29, 2025

Pentas berprestij Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) kembali menghangatkan dunia fesyen tanah air! Memasuki edisi ke-13 penganjurannya, KLFW meneruskan kolaborasi bersama Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, menghidupkan semula magis pentas peragaan di Esplanade, Taman KLCC.

Tahun ini menyaksikan 55 pereka fesyen tempatan, masing-masing menampilkan sentuhan unik yang mencerminkan estetika jenama tersendiri, kepelbagaian kreatif dan inovasi. Daripada rekaan avant-garde sehinggalah ke gaya minimalis kontemporari, KLFW 2025 menjadi medan ekspresi trend fesyen semasa. Dari hari pertama hingga ke hari penutup, rekaan-rekaan segar dan berani terus-terusan ditampilkan oleh barisan pereka tempatan, baik nama-nama baharu mahupun pereka fesyen yang telah lama mengukir nama dalam industri. Di bawah ini, ELLE himpunkan trend-trend utama yang mencorakkan KLFW 2025.

Rangka Kontemporari

#KLFW2025
Daripada kiri Syomirizwa Gupta, Akmal Hakim, Maglifestyle dan Maarimaia

Korset kembali mencuri tumpuan dengan interpretasi yang lebih segar dan moden, menyuntik nafas baharu dalam dunia fesyen kontemporari. Pereka tempatan tampil menggabungkan korset dengan siluet moden seperti seluar panjang, dress dan juga jaket trench. Selain dijadikan layering piece yang versatil, korset menyerlahkan struktur tubuh dengan elegan dan berkelas. Korset dengan perincian renda halus atau hiasan mewah turut membawa aura sofistikated pada gaya.

Alunan Fringe

KLFW 2025
Daripada kiri Fuzana Mohktaza, Ghostboy, Tangoo dan Mimpikita

Fringe mampu mengangkat setiap gaya menjadi karya dinamik yang beralun seiring pergerakan tubuh. Dengan keanggunan yang memikat pandangan, setiap helaian busana seakan bernyawa, hidup bersama pemakainya. Seperti yang terlihat pada rekaan skirt oleh Fuzana Mokhtaza, Tangoo dan Mimpikita, sementara Ghostboy pula menampilkan mini dress berjumbai.

Power Dressing

#KLFW2025
Daripada kiri ShazNash, Raja Irfan, Variante dan RR by Rizman Ruzaini

Sut dengan siluet tajam, bahu berstruktur dan potongan tailored yang tegas menjadi DNA klasik power dressing. Namun tahun ini, pereka tempatan meraikan wanita dengan interpretasi yang lebih berani dan penuh karakter. Bukan lagi sekadar office look konvensional, ia ditransformasikan melalui kolar tinggi berstruktur, bahu yang lebih tegap dan oversized, serta pinggang slim-fit yang menyerlahkan kuasa feminin moden.

Revolusi Hud

KLFW 2025
Daripada kiri Fiziwoo, Salahuddinhilmi, Masyadimansoor dan Tangoo

Elemen streetwear ini kekal relevan di pentas fesyen, namun hadir dengan tafsiran yang lebih mewah dan elevated. Hoodie diterjemah dalam pelbagai naratif — Tangoo menampilkan gaun avant-garde berhud, Fiziwoo memperagakan gaun couture asimetri dengan hud separa, manakala Masyadimansoor membawakan sut cropped dengan kemeja berhud yang penuh karakter.

Beyond the Aisle

KLFW 2025
Daripada kiri Uzair Shoid, Zaimizulkafli, Hatta Dolmat dan Akmal Hakim

Kami melihat rona putih mendominasi pentas KLFW2025, bukan sekadar putih biasa tetapi gaun putih yang mengingatkan kita pada busana perkahwinan. Adakah ini petanda bahawa bulan ini adalah bulan perkahwinan? Trend ini hadir dalam pelbagai fabrik bertekstur, daripada renda halus, material sheer sehinggalah fabrik dengan perincian berbulu. Ia menghidupkan sebuah fantasi romantis yang pastinya kami suka.

Denim On Denim

#KLFW2025
Daripada kiri Kit Woo, RR by Rizman Ruzaini, Raja Irfan dan Larney x Afiq M

Trend ikonik era 2000-an kembali bernafas segar. Para pereka mempersembahkan gaya double denim dengan potongan asimetri, perincian sulaman motif, padanan denim bersama mini skirt dan denim sut yang sleek. Trend klasik ini tampil lebih moden, versatil dan sesuai digayakan setiap hari.

Heritage Glow-Up

KLFW 2025
Daripada kiri Uzair Shoid, Hasz Hishaam, Huntilanak dan Behati

Inilah antara highlight terbesar KLFW2025! Fabrik warisan seperti songket, kain pelekat, batik, kain Sarawak dan saree diangkat dalam potongan moden, dipadukan bersama aksesori urban dan gaya bold. Hasilnya? Satu estetika maksimalis yang lebih segar dan relevan. Kami suka melihat bagaimana para pereka berjaya menunjukkan bahawa identiti Malaysia boleh terus hidup di pentas fesyen, malah menjadi cara sebenar untuk generasi muda merayakan serta menggayakannya dengan penuh bangga.


ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down