Langgan

#KLFW2026: Hembus Inspirasi BAYU

BAYU oleh Uzair Shoid meraikan kebebasan, pergerakan dan keindahan perubahan.
3 minit untuk membaca
Published: July 16, 2026
KLFW 2026
Lakaran fesyen dan moodboard koleksi BAYU

Mendekati tahun keempat Uzair Shoid mempersembahkan koleksinya di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), dia mengenang semula pengalamannya. Setiap tahun telah mengajarnya sesuatu yang baharu. Antara pengajaran terbesar baginya adalah untuk mempercayai naluri kreatifnya dan kebolehan diri sendiri. Awal dalam perjalanannya sebagai seorang pereka fesyen dia sering mempersoalkan setiap pilihan dan membandingkan dirinya dengan orang lain. “Tapi, lama kelamaan, saya sedar bahawa setiap koleksi terbaik datang dari tempat yang jujur dan autentik,” kata Uzair.

Mengasah Identiti Reka Bentuk

KLFW 2026
Moodboard koleksi BAYU untuk KLFW 2026

Apabila disoalkan tentang perbezaan koleksi tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum, Uzair mengutarakan kematangan yang muncul secara semula jadi. Walaupun dia mengekalkan elemen whimsical dan penuh khayalan yang telah berakar umbi pada setiap rekaannya, titik berat kali ini terletak pada keselesaan pemakaian dan juga penghalusan reka bentuk. “Dengan setiap musim, saya mengasah bakat dan suara saya sebagai seorang pereka. Tahun ini merupakan cerminan perkembangan itu,” dia menerangkan. Sekarang dia lebih yakin atas kebolehan dan kreativitinya. 

Walau bagaimanapun, keyakinannya bukan tanpa asas. Sebelum lakaran pertama dilukis, dia akan menyelami emosi, naratif serta mesej yang ingin disampaikan. Hasrat Uzair bukan sahaja untuk menghasilkan pakaian yang indah, tetapi membina sebuah cerita yang dapat dirasai oleh mereka yang melihat dan memakainya. Ilham pula boleh hadir dari mana-mana sahaja termasuk budaya, warisan, cerita rakyat, alam semula jadi, pengalaman peribadi mahupun sebuah perasaan yang sukar dihuraikan dengan kata-kata. 

Membina Sebuah Koleksi

KLFW 2026
Moodboard koleksi BAYU untuk KLFW 2026

Pelbagai langkah dalam proses kreatifnya dapat menerangkan keunikan dalam setiap rekaan Uzair Shoid. Setelah melihat arah yang jelas, dia akan membina moodboard dan mengumpul rujukan. Baginya kolaj visual dapat membentuk dunia koleksi ini. Uzair juga mendahulukan rekaan aksesori dan perhiasan. “Perincian telah lama memainkan peranan penting dalam bahasa reka bentuk saya, oleh itu saya lebih suka menyelesaikannya terlebih dahulu,” dia menjelaskan. Setelah itu barulah dia bergerak kepada langkah-langkah lain seperti pembentukkan siluet, penerokaan fabrik dan kajian warna.

Uzair menghuraikan dirinya sebagai seorang yang sangat ‘hands-on’. “Saya terlibat dalam setiap peringkat rekaan, daripada pembangunan konsep dan pembuatan corak sehingga pengeluaran dan kelengkapan akhir,” kata Uzair. “Sepanjang proses, saya sentiasa memperhalusi perkadaran, tekstur dan hiasan untuk memastikan setiap perincian terasa disengajakan dan menyumbang kepada naratif reka bentuk.” Usaha ini membawa kepada koleksi dan rekaan fesyen yang penuh penelitian, satu ciri khas dalam reka bentuknya. 

Kebaya, Fabrik dan Hembus BAYU

KLFW 2026
Moodboard koleksi BAYU untuk KLFW 2026

Melalui proses menyeluruh yang sama, lahirnya koleksi terbaharunya yang bakal dipersembahkan di pentas KLFW tahun ini. Di namakan BAYU, Uzair menerima inspirasi daripada elemen angin. “Saya tertarik kepada cara hembus angin mampu mengubah ruang dan membangkitkan emosi,” ujar Uzair. Koleksi ini berniat untuk menzahirkan rasa kebebasan, pergerakan dan kelembutan yang sering hadir tanpa disedari tetapi sentiasa meninggalkan kesan. Baginya, koleksi ini bukan sekadar kesinambungan penerokaannya terhadap unsur alam semula jadi, malah sebuah refleksi tentang menerima perubahan dan menemukan keindahan dalam setiap pergerakan.

Bagi menterjemahkan idea tersebut, Uzair bereksperimen dengan pelbagai material dan teknik yang mengekalkan identiti reka bentuknya. Dia telah lama bereksperimen dalam memelihara bentuk dan unsur tradisional seperti kebaya, sambil juga membayangkannya semula melalui reka bentuk kontemporari. Kali ini, melalui konsep yang sama fabrik pelekat pula diberikan nafas baharu. Untuk meneruskan inspirasi angin dia juga menggunakan kain yang jarang, renda serta teknik lapisan dan jaluran mencipta ilusi ringan serta dinamik dan meneruskan inspirasi angin.

Menghitung Hari ke KLFW 2026

Progress semasa Uzair Shoid


KLFW memainkan peranan penting dalam kerjayanya sebagai seorang pereka fesyen. Dia sangat bersyukur kerana diberi platform untuk mempersembahkan rekaan, berhubung dengan audiens yang lebih luas serta peluang untuk berkembang secara kreatif dan profesional. Dia juga tak sabar untuk menantikan segala usahanya dipersembahkan di pentas peragaan. Baginya, detik paling bermakna adalah apabila melihat segala elemen bersatu untuk membentuk visi akhirnya di belakang pentas sebelum pertunjukan. “Ketika itulah koleksi itu benar-benar hidup untuk saya,” luah Uzair.

Namun, buat masa ini persiapan akhir masih giat dijalankan. Uzair mengaku bahawa proses tersebut pernah terjejas oleh kerana masalah kesihatan yang dihadapinya. Syukurlah, dia kembali sihat. Kini, Uzair bersama pasukannya sedang bergerak pada kelajuan penuh untuk memuktamadkan setiap perincian serta menyatukan semua elemen koleksi. “Melihat koleksi ini perlahan-lahan terbentuk dan menjadi nyata membuatkan segala kerja keras terasa berbaloi,” katanya. Kini, dia hanya menantikan saat untuk mempersembahkan hasil akhirnya kepada khalayak dan menyaksikan visi kreatifnya direalisasikan sepenuhnya.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down