Langgan

Di Sebalik Sambutan Koleksi Glenn Martens X H&M di Seongsu, Seoul

Dengan sentuhan Glenn Martens yang tersendiri, pelancaran ini benar-benar satu pengalaman: bertenaga, berani dan cool dari awal hingga akhir.
2 minit untuk membaca
Published: November 3, 2025
Butik konsep H&M di Seongsu, Seoul

Setiap kali H&M melancarkan kolaborasi baharu dengan pereka terkenal, dunia fesyen pasti menantikannya. Kali ini, tumpuan tertumpu kepada Glenn Martens, nama besar dalam dunia rekaan yang dikenali dengan sentuhan eksperimentalnya pada denim, siluet yang diolah semula dan gaya yang menggabungkan elemen urban dengan keanggunan avant-garde. Dengan pengalaman bersama jenama seperti Diesel, Y/Project dan Maison Margiela, Glenn Martens membawa keunikan tersendiri dalam elemen ketegasan, keberanian dan seni.

Koleksi Glenn Martens x H&M di butik konsep Seongsu, Seoul

Untuk kolaborasi ini, Glenn menyelami arkib klasik H&M dan memberi nafas baharu kepada rekaan ikoniknya. Hasilnya? Denim dengan potongan baharu, rajutan yang diolah semula, gaun bercetak halus, jaket berstruktur dawai, trench coat moden, aksesori dramatik, but tinggi paras lutut dan beg, semuanya menggambarkan sentuhan kreatif Glenn yang berani dan segar.

Selepas sambutan eksklusif di London, pelancaran rasmi diteruskan ke Seoul. Bukan di sebarang lokasi tetapi di salah satu kawasan paling trendy: Seongsu. Dahulu kawasan bengkel dan kilang kereta, kini ia menjadi pusat kreativiti yang dipenuhi kafe artisanal, galeri dan ruang konsep kontemporari. Di sinilah terletaknya butik konsep baharu H&M, sebuah ruang seluas 842 meter persegi, merentasi tiga tingkat yang mentakrifkan semula pengalaman membeli-belah fesyen.

Butik konsep H&M di Seongsu, Seoul

Gabungan inspirasi tempatan dan visi rekaan global menjadikannya destinasi yang mengundang penerokaan. Butik ini menampilkan koleksi edisi terhad, susunan fesyen terpilih serta ruang interaktif yang berubah mengikut suasana, menjadikan setiap kunjungan sesuatu yang baharu. Reka bentuk dalaman butik ini mengekalkan semangat industri Seongsu dengan elemen besi, konkrit dan visual yang mengimbas bengkel automotif, seakan penghormatan kepada sejarah kawasan ini. Setiap tingkat menyampaikan kisah berbeza: kurasi gaya yang direka seperti pentas belakang peragaan, pemasangan seni yang berubah mengikut waktu dan sudut-sudut interaktif yang mengajak pengunjung untuk bermain dan berekspresi.

Bagi pelancaran global ini, ELLE Malaysia turut diterbangkan ke Seoul bersama dua personaliti Malaysia: Scha Alyahya dan Eyka Farhana. 

Dari kiri: Chen Yixin, Eyka Farhana, Scha Al-Yahya dan Willabelle Ong

Apabila senja menyelubungi langit Seoul, suasana mula hidup dengan tenaga kreatif. Barisan tetamu malam itu ibarat himpunan nama besar dunia gaya Asia daripada bintang K-pop hinggalah ikon fesyen tempatan, semuanya tampil megah dalam rekaan Glenn Martens yang berani dan penuh karakter.

Gaeul daripada IVE

Gaeul daripada kumpulan IVE tampil dengan gaya santai bergaya, mengenakan kardigan rajut berjalin rona navy pudar digandingkan bersama skirt denim rekaan semula dengan potongan handkerchief hem dan belahan tinggi. Manakala Sullyoon daripada NMIXX pula mencuri perhatian dalam kot hitam panjang yang dipadankan dengan tank top berstruktur unik dan seluar denim. Penampilannya disempurnakan dengan but tebal dan beg Lava.

Sullyoon daripada NMIXX

Scha Alyahya menyerlah dalam set satin diinspirasikan daripada kilt, digayakan bersama skarf sutera dan but buku lali, mencipta aura sofistikated yang moden. Eyka Farhana pula tampil yakin dalam top rajut, diserikan dengan beg kulit imitasi dan anting-anting gaya vintaj yang menambah pesona klasik pada keseluruhan penampilan.

Suasana malam bertukar semakin hidup dengan persembahan bertenaga daripada Chungha, Coogie dan Gray, nama-nama yang paling hangat di pentas muzik Korea. Setiap lagu menyalakan energi ruang itu bersama detik-detik fesyen yang menawan para tetamu.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down