Dalam dunia elit golf wanita – yang didominasi oleh pemain profesional terkemuka dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Eropah – nama seorang wanita muda dari Asia Tenggara, pemain profesional Jeeno dari Thailand atau Jeeno Atthaya Thitikul, telah muncul sebagai game changer di pentas golf antarabangsa. Dengan keyakinan yang utuh, Jeeno meraih kedudukan nombor satu dunia sementara kemahiran luar biasa serta keteguhan azamnya menginspirasikan generasi baharu untuk mendekati golf dengan semangat yang diperbaharui. Pada tahun 2023, Jeeno mencipta sejarah sebagai atlet Thailand pertama yang menyertai keluarga Rolex Testimonee – kumpulan individu terpilih yang melambangkan tahap pencapaian tertinggi dalam bidang masing-masing di peringkat global. ELLE berbicara bersama Jeeno mengenai perjalanannya meraih takhta serta bagaimana dia terus berdiri teguh dalam mengejar kecemerlangan hingga ke hari ini.

ELLE: Bagaimana sebagai seorang gadis muda dari Wilayah Ratchaburi memulakan perjalanan kariernya dalam industri sukan golf ini?
Jeeno: Ayah dan datuk sendiri yang sering memupuk minat saya kepada sukan ini. Apabila menyebut tentang sukan, pada mereka ia mestilah sukan individu atau perseorangan jadi saya tidak perlu bergantung kepada sesiapa untuk menang dan sukan tersebut semestinya boleh menjadi satu profesion. Mereka percaya bahawa sukan yang dimainkan adalah cerminan kepada saya untuk memikul tanggungjawab lebih besar suatu hari nanti dalam kehidupan.
Pada masa itu, mereka membaca berita tentang Tiger Woods dan mereka menyedari bahawa golf benar-benar boleh menjadi kerjaya profesional. Jadi mereka menggalakkan saya mencuba. Jika saya memperlihatkan potensi, saya boleh teruskan.
E: Apakah pula yang membawa Jeeno menjadi pemain golf termuda di dunia yang memenangi kejohanan profesional Ladies European Thailand Championship 2017 pada usia seawal 14 tahun, 4 bulan dan 19 hari?
J: Sewaktu kecil saya tidak pernah menganggapnya sebagai kerjaya, ia adalah sekadar keseronokan di lapangan padang golf. Saya hanya mula melihat golf sebagai satu profesion apabila saya bermain secara profesional.
Ketika kejohanan itu pula, saya sebenarnya diundang untuk bertanding dan akhirnya saya berjaya memenanginya. Ia adalah pertandingan bagi pemain peringkat profesional, tetapi saya masih bertaraf amatur. Kebetulan ketika itu saya dapat bermain dengan baik. Namun saya percaya keputusan itu tidak datang daripada usaha satu atau dua hari sahaja. Sejak umur enam hingga empat belas tahun saya sebenarnya sudah mula bersungguh-sungguh bekerja keras, ia adalah hasil selama hampir sepuluh tahun saya melakukan latihan yang berkomited.

E: Dengan prestasi yang konsisten, Jeeno telah mengekalkan kedudukan sebagai pemain golf wanita nombor satu dunia dan mencapai kemenangan Tour Championship berturut-turut. Apakah harapan Jeeno untuk 2026?
J: Sejujurnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada mana-mana tahun kerana jika apabila harapan terlalu tinggi dan pencapaiannya tidak tercapai seperti yang diharapkan, ia boleh melemahkan semangat diri. Pada masa ini, sukan golf sangat memberikan saya kebahagiaan, ia adalah hal yang sangat saya cintai.
Pada peringkat saya sekarang, kekal sihat dan tidak tercedera semasa bermain sudah menjadi harapan yang terbaik. Secara fizikal, semua orang melakukan apa yang perlu mereka lakukan dalam kerjaya. Tetapi golf adalah sukan yang memerlukan anda masa untuk berfikir, semasa berjalan, semasa berdiri di hadapan bola dan sebagainya. Ia adalah sukan di mana anda harus bersendirian dengan diri anda.
Kekuatan mental sangat penting. Dahulu, saya tidak pernah mendalami aspek ini secara serius. Sekarang saya ingin memajukan diri dengan membaca buku, mendengar audio siar (podcasts) dan mempelajari segala yang saya mampu untuk memahami cara menenangkan diri. Saya tidak mempunyai jurulatih yang membimbing saya dalam sukan ini, saya mempelajarinya sendiri. Cara saya, jika kita berada di bawah tekanan atau berasa gementar, kita perlu tahu cara memperlahankan degupan jantung kita secepat mungkin.
E: Boleh kongsikan juga nasihat kunci sebenar kejayaan Jeeno dalam sukan ini?
J: Jika saya mahu memberi nasihat tentang kunci kejayaan kepada pemain yang lebih muda, saya akan berkata kepada mereka untuk sentiasa memastikan relevansi diri. Jadilah mahir dalam menyelesaikan masalah yang ada di depan mata. Jangan fokus kepada keputusan orang lain. Fokus kepada diri sendiri dan lakukan apa yang anda usahakan sendiri dengan baik dahulu. Hasil baiknya akan datang dengan mudah. Seperti bermain golf juga, sebaik sahaja menamatkan 18 lubang, baru anda akan tahu prestasi anda ketika itu.


E: Jeeno juga menyertai Jelajah LPGA pada usia yang sangat muda dan dengan pantas menjadi pemain golf wanita nombor satu dunia pada tahun 2022. Ini telah memberi inspirasi kepada ramai anak muda, terutamanya kini terdapat banyak kejohanan di Thailand yang memberi platform kepada pemain junior. Bagaimana perasaannya menjadi sumber inspirasi dan sejauh mana pentingnya peranan itu bagi Jeeno?
J: Saya percaya walaupun berada di tahap ini sekarang, dalam tempoh lima atau sepuluh tahun lagi saya perlu mengundurkan diri. Generasi baharu harus mengganti dan menjadi pelapis terbaik. Memberi inspirasi kepada pemain yang lebih muda sudah menjadi sebahagian daripada peranan saya.
Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka untuk menikmati sukan golf, bukan melihatnya sebagai sesuatu yang terlalu memberi tekanan. Saya ingin beralih daripada imej pemain-pemain lama yang berlatih dengan penuh tekanan dan jadual latihan yang padat. Hidup ini memerlukan keseimbangan.
Sudah tentu ketika masih muda, anda perlu banyak berlatih. Tetapi apabila anda semakin dewasa dan matang, keseimbangan menjadi lebih penting. Saya gembira mengetahui bahawa saya telah memainkan peranan kecil dalam menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi sukan golf.
Golf adalah salah satu daripada antara sukan di mana atlet Thailand boleh menjadi nombor satu dunia. Seseorang telah membuktikannya bahawa ia tidak mustahil, bermakna harus ada generasi akan datang yang mengikut jejak langkahnya.
Saya juga bimbang tentang ibu bapa masa kini. Kadang-kadang harapan mereka diletakkan terlalu tinggi kepada anak-anak mereka dan tidak semua orang boleh menangani tekanan dengan cara yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin mampu menghadapinya, manakala yang lain perlu terus berusaha kerana merasakan mereka tiada alternatif lain.
E: Jika anda boleh berpatah arah ke belakang dan bercakap dengan seseorang di masa lalu, siapakah orang itu dan apa yang ingin anda katakan?
J: Sudah tentu saya akan bercakap dengan diri saya sendiri. Saya ingin berterima kasih kepada diri saya dan lebih menghargai diri saya. Secara jujurnya, ada sahaja hari-hari di mana saya berasa hilang hala tuju dan tidak tahu hendak ke mana.
Jika saya boleh kembali, saya tidak akan mengubah apa-apa. Saya akan memberitahu diri saya untuk terus melangkah dan berterima kasih kepada diri saya sendiri setiap hari. Kita jarang mengingatkan diri sendiri tentang perkara baik yang kita lakukan, kadangkala kita sendiri lebih fokus kepada hal-hal yang negatif.
Ada masanya kata-kata orang lain lebih kuat didengari daripada suara diri sendiri. Jika saya boleh kembali ke masa lalu, saya tidak akan membenarkan suara orang lain mengatasi keyakinan saya.

E: Jika Jeeno mempunyai spirit animal, apakah haiwan tersebut?
J: Saya tidak pasti apakah spirit animal saya. Tetapi saya seorang yang sangat suka bangun awal pagi, saya percaya saya mempunyai tenaga yang lebih di pagi hari dan saya lebih selesa bersendirian. Jadi mungkin spirit animal saya seekor burung.
E: Boleh kongsikan satu lagu kegemaran, satu buku kegemaran dan satu filem atau siri kegemaran pada masa ini.
J: Lagu kegemaran saya sekarang merupakan ‘Chuea Fai’ oleh Hugo. Saya pertama kali mendengarnya di majlis perkahwinan Mai Davika dan saya terus menyukainya.
Buku pula berjudul ‘Good Vibes, Good Life’ oleh Vex King. Ia mengenai tarikan tenaga positif dalam diri seseorang untuk menarik tenaga-tenaga baik, malah perkara kecil dalam dirinya juga boleh mencipta tenaga positif untuk disebarluaskan. Saya sendiri cuba sebaik mungkin mengelakkan diri daripada hal-hal yang dipenuhi perkara negatif.
Untuk siri yang ditonton, saya pilih ‘Crash Landing on You’, semata-mata kerana saya sukakan Hyun Bin.


E: Jika Jeeno berada pada 100 peratus di tahun ini, apakah pembahagian yang membentuk peratusan tersebut?
J: 25 peratus paling utama sudah tentu saya letakkan kepada kesihatan dan diri sendiri. 25 peratus besar yang lain untuk keluarga dan 25 peratus untuk kerjaya. 10 peratus untuk kawan-kawan dan 10 peratus yang lain untuk masa lapang berseorangan. Lima peratus akhir tentunya saya akan letakkan untuk teh hijau kegemaran saya.
E: Apakah perasaannya menjadi pemain golf wanita nombor satu dunia dan atlet Thailand pertama yang menjadi Rolex Testimonee?
J: Ia adalah satu penghormatan yang sangat besar. Untuk menjadi Rolex Testimonee, anda sebenarnya benar-benar perlu berada di 'Puncak Dunia'. Bukan sesuatu yang pernah saya bayangkan.
Ia mengesah sahihkan bahawa apa yang telah saya dedikasikan benar-benar membawa saya ke sini hari ini. Ia juga mewakili Thailand dan para atlet Thailand kerana saya merupakan atlet pertama dari negara saya yang mencapai kejayaan sebenar ini.


E: Adakah apa-apa yang ingin dikatakan kepada mereka yang terus menyokong Jeeno?
J: Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada semua yang telah menyokong saya melalui masa senang dan sukar. Mengetahui bahawa masih ramai di luar sana yang sentiasa ada, bersorak dalam setiap situasi perlawanan. Segalanya sangat bermakna bagi saya.
Dorongan dan sokongan adalah sangat penting bagi seseorang atlet. Saya berharap semua orang akan terus mengikuti perkembangan dan menyokong saya.
Baca temu bual penuh dalam edisi cetak Februari 2026.
SOLEKAN CHANAJIT DECHASTIDWONG
DANDANAN AKKARACHAI DEEDPHIN
PEMBANTU JURUGAMBAR PRADIPAT KHEMNGERN DAN VIWAT RIMVAREEKUL
PEMBANTU PENATAAN GAYA KUTCHANON PREMPOOL DAN TAWANRAT KLADMEE

