Dalam dunia horologi, Rolex telah lama menjadi nama yang sinonim dengan inovasi dan kecemerlangan. Selama lebih satu abad, jenama ini bukan sahaja mendefinisikan semula standard pembuatan jam malah terus menjadi penanda aras bagi pencinta horologi di seluruh dunia. Di teras legasi ini berdiri Oyster, ciptaan yang memainkan peranan penting dalam mengubah persepsi terhadap jam pergelangan tangan dan membuka jalan kepada perkembangan teknologi jam tangan moden.
Ketika Oyster diperkenalkan pada tahun 1926, jam poket masih dianggap lebih tepat dan boleh dipercayai berbanding jam pergelangan tangan. Pada masa itu, ramai melihat jam pergelangan tangan sebagai aksesori praktikal dan bergaya tetapi belum mampu menandingi prestasi instrumen penjagaan masa seperti jam poket. Pengasas Rolex, Hans Wilsdorf, mempunyai pandangan yang berbeza. Dia percaya bahawa jam pergelangan tangan mampu menawarkan ketepatan dan keanggunan dalam satu rekaan yang kompak.

Bagi merealisasikan visi tersebut, Rolex menumpukan usaha untuk menyelesaikan tiga cabaran utama dalam pembuatan jam tangan: ketepatan masa, perlindungan terhadap air dan habuk, serta sistem pemutaran automatik yang cekap. Hasil daripada usaha berterusan itu lahirlah Oyster, sebuah inovasi yang menjadi asas kepada banyak perkembangan penting dalam sejarah Rolex.
Oyster dikenali sebagai jam tangan pertama yang dipasarkan dengan sarung kalis air dan kalis debu yang benar-benar berkesan. Reka bentuk sarungnya membantu melindungi mekanisme dalaman daripada unsur luaran yang boleh menjejaskan prestasi. Inovasi ini memberikan keyakinan baharu kepada pengguna bahawa jam pergelangan tangan mampu berfungsi dengan tepat dalam pelbagai keadaan.
Pada tahun 1931, Rolex memperkenalkan satu lagi pencapaian penting menerusi rotor Perpetual, sistem pemutaran automatik yang menggunakan pergerakan pergelangan tangan pemakai untuk menjana tenaga. Gabungan sarung Oyster dan mekanisme Perpetual melahirkan Oyster Perpetual, konsep yang terus menjadi asas kepada kebanyakan koleksi Rolex sehingga hari ini. Nama ‘Perpetual’ bukan sahaja merujuk kepada sistem automatik tersebut malah mencerminkan komitmen jangka panjang Rolex terhadap inovasi dan kecemerlangan.

Semangat Pengembaraan
Bagi Rolex, keunggulan sesebuah jam tangan tidak terhad kepada makmal. Ia perlu dibuktikan di dunia sebenar di tengah cabaran alam, di bawah tekanan yang paling ekstrem dan dalam detik-detik yang menguji batas kemampuan manusia. Prinsip inilah yang membawa kepada salah satu detik paling penting dalam sejarah Oyster. Pada Oktober 1927, perenang Britain Mercedes Gleitze, menyarung jam Oyster ketika menyeberangi Selat Inggeris. Selepas lebih 10 jam berdepan air laut dan keadaan yang mencabar, jam tersebut terus berfungsi dengan sempurna. Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan keupayaan Oyster malah mengukuhkan keyakinan Hans Wilsdorf bahawa kehebatan sesebuah jam tangan hanya dapat dinilai melalui ujian masa, tekanan dan ketahanan.

Sejak itu, Oyster menjadi teman setia para peneroka, saintis, juruterbang, pelaut, pendaki gunung dan penyelam yang berani meneroka sempadan baharu. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Hans Wilsdorf pada tahun 1948, "Rolex Oyster telah terbang merentasi Everest, menyeberangi padang pasir pada kelajuan rekod, bertahan dalam kelembapan hutan tropika dan menempuh kesejukan Artik tanpa pernah menjejaskan ketepatan pergerakannya."
Namun legasi Oyster tidak terhenti pada dunia eksplorasi semata-mata. Seiring peredaran zaman, ia telah berkembang menjadi simbol gaya dan kemewahan yang diiktiraf di seluruh dunia. Daripada bintang Hollywood dan ikon budaya popular sehinggalah pemimpin industri, atlet ternama dan tokoh berpengaruh antarabangsa, Oyster menghiasi pergelangan tangan mereka yang bukan sahaja menghargai ketukangan luar biasa tetapi juga menghayati nilai kecemerlangan yang diwakilinya.

Evolusi Oyster
Apa yang bermula sebagai sebuah sarung jam luar biasa akhirnya berkembang menjadi salah satu koleksi paling berpengaruh dalam sejarah horologi. Sarung Oyster kekal sebagai asas kepada setiap model dalam keluarga Oyster Perpetual. Namun nilainya jauh melangkaui reka bentuk semata-mata. Ia melambangkan janji Rolex yang tidak pernah berubah sejak 1926 untuk menghasilkan jam tangan yang tepat dan boleh dipercayai dalam apa jua keadaan. Daripada konsep asal inilah lahirnya model-model ikonik seperti Explorer, Milgauss, GMT-Master, Submariner, Cosmograph Daytona dan Yacht-Master. Setiap satunya dicipta untuk memenuhi keperluan tertentu, daripada mengharungi kedalaman lautan, menentang medan magnet, mengukur masa dengan ketepatan luar biasa hinggalah menavigasi zon waktu yang berbeza.

Meraikan 100 Tahun Oyster

Bagi memperingati detik bersejarah ini, Rolex memilih Oyster Perpetual sebagai simbol sambutan seratus tahunnya. Edisi ulang tahun Oyster Perpetual 41 hadir dalam versi Yellow Rolesor yang memadukan emas kuning dan Oystersteel, mengimbau estetika Oyster generasi terawal sambil menampilkan sentuhan kontemporari. Beberapa perincian khas membezakan model ulang tahun ini daripada versi standard. Angka ‘100’ diukir pada mahkota pemutar, manakala tulisan ‘100 years’ menggantikan perkataan ‘Swiss Made’ pada kedudukan pukul enam. Dail berwarna batu slate pula dipadankan dengan elemen hijau yang sinonim dengan identiti Rolex.
Ketika Oyster meraikan ulang tahunnya yang ke-100 pada tahun 2026, Rolex terus memandang ke hadapan. Jenama ini memperkenalkan pensijilan Superlative Chronometer yang dipertingkatkan dengan tujuh kriteria penilaian baharu. Selain ketepatan, kalis air, pemutaran sendiri dan autonomi tenaga, pensijilan tersebut kini turut menilai rintangan magnetisme, kebolehpercayaan serta kelestarian. Dalam masa yang sama, Rolex terus meneroka sempadan baharu ketepatan masa melalui pembangunan jam atom optik yang berasaskan prinsip fizik kuantum.

