
Keluli tahan karat sering dilihat menjadi bahan asas dalam dunia pembuatan jam tangan. Namun bagi TUDOR, keluli tahan karat ialah sebahagian daripada warisan yang membentuk karakter sporty. TUDOR Royal menawarkan satu keanggunan yang nyata dalam kesepaduan penciptaan tali pergelangannya. Dua interpretasi Black Bay 54 pula menampilkan nuansa biru yang memercik ilham berbeza. Manakala “TUDOR” Ranger berkeupayaan tinggi sekali gus melengkapkan ia sebagai pilihan dengan karakter yang cukup lasak.
Penghasilannya dilihat sebagai sesuatu yang cukup praktikal bagi gaya harian namun masih kekal rapi sebagai jam tangan yang sesuai untuk acara formal dengan pentafsiran gaya sporty-luxe yang cukup moden. Selain itu, pastinya pilihan warna menjadi sebahagian faktor penting menjadikan ia sebagai jam tangan yang cukup bergaya untuk dipadankan pada hujung minggu.
Edisi Black Bay 54 “Lagoon Blue” daripada TUDOR mengangkat warisan jam tangan bagi aktiviti menyelam jenama tersebut. Ia menjadikan format kompak yang sama sebagai cerminan kala percutian. Bekas keluli berdiameter 37mm membingkai dail biru dengan tekstur seakan pasir yang diinspirasikan daripada air yang disimbahi cahaya matahari dan pantai pasir putih. Bezel keluli digilap menggantikan sisipan berwarna pada jam tangan penyelam konvensional. Ia memberikan penampilan yang lebih menyerlah dan bersih.
Tali pergelangan keluli tahan karat lima pautan pula memberi kelembutan pada siluet jam tangan yang kelihatan lasak. Pada masa yang sama memantulkan cahaya ketika ia bergerak dan menjadikan model ini amat mudah digayakan untuk penampilan lebih formal. Namun, asas teknikalnya kekal meyakinkan iaitu menggunakan Calibre Manufacture MT5400 yang diperakui COSC, menawarkan ketahanan kuasa sekitar 70 jam serta keupayaan kalis air di kedalaman sehingga 200 meter. Terampilannya cukup segar tanpa berlebihan dan dengan penampilan rona resort pada gaya harian serta sentuhan kemas yang bersahaja bagi hujung minggu di luar kota.

TIADA TANDINGAN
TUDOR Royal menjadi pilihan paling bergaya dan elegan yang menggabungkan karakter jam tangan sporty dengan profil yang anggun bersama bekas keluli tahan karat. Menyempurnakan koleksi ini, ia datang dalam saiz 30mm, 36mm dan 40mm dengan pilihan warna dail seperti biru, hijau, salmon dan biru muda menjadikan penciptaannya semakin mengujakan.
Dengan penggunaan keluli tahan karat yang kemas dan ringkas, TUDOR Royal 36mm ini menyerlahkan sentuhan warna segar bagi kegunaan harian. Penanda waktu dan paparan tarikh mengekalkan penampilan dail yang kemas manakala bezel yang juga diperbuat daripada keluli mencipta definisi tambahan pada bekas jam tangan yang setebal 9.7mm ini.
Tali pergelangannya datang dengan lima ikatan bersepadu yang menggabungkan kemasan satin dan gilap bagi menghasilkan permainan cahaya menciptakan keunikan tersendiri buat pemakai. Calibre Manufacture MT5412 yang diperakui COSC menjanjikan ketepatan −2/+4 saat sehari serta ketahanan kuasa sekitar 70 jam menjadi penanda aras kejituan waktu pada penghasilannya.
Jam tangan ini turut menawarkan ketahanan air sehingga 100 meter. Ia juga dilengkapi dengan kancing TUDOR “T-fit” bersama pelarasan pantas yang praktikal dan melengkapkan penampilannya.

WARISAN DIPERBAHARUI
Rona nilam yang terang memberikan Black Bay 54 “Blue” sentuhan yang menyerlah, tanpa menjejaskan sifat terkawal yang diinspirasikan oleh reka bentuk vintaj. Dail biru dipadankan dengan sisipan bezel aluminium biru menghadirkan warna yang mewah pada bekas keluli 37mm dengan proporsi bersejarah.
Reka bentuknya mengimbas kembali jam tangan penyelam pertama TUDOR, rujukan 7922, dengan perincian seperti bezel yang kemas tanpa elemen berlebihan, jarum saat berbentuk lollipop serta jarum “Snowflake” ikonik. Di sebalik gaya retro ini tersembunyi ilham moden menerusi Calibre Manufacture MT5400 yang diperakui COSC menawarkan ketahanan kuasa sekitar 70 jam serta ketahanan air sehingga 200 meter.
Gelang tiga ikatan digilap dan satin bersama kancing “T-fit” TUDOR dengan pelarasan pantas, melengkapkan jam tangan yang sama meyakinkan apabila dipakai di bawah manset kemeja mahupun ketika berada di tepi air.

PESONA PENGEMBARAAN
TUDOR Ranger menjadikan koleksi ini lebih bersahaja dan di sinilah tercipta daya tarikannya. Bekas keluli tahan karat 39mm dengan kemasan satin, bezel licin yang ringkas sekemasnya dengan dail hitam berkubah membentuk estetika yang melengkapi fungsi. Ia sederhana namun kental semangat kembara.
Angka Arab bersaiz besar memastikan paparan masa mudah dibaca dan penunjuk waktu yang bercahaya serta jarum “TUDOR” Ranger yang tersendiri mengukuhkan identitinya sebagai jam tangan yang meliputi fungsi. Bersama Calibre Manufacture MT5402 yang diperakui COSC menawarkan ketahanan kuasa sekitar 70 jam.
Ketahanan air sehingga 100 meter serta gelang keluli tiga ikatan yang kukuh dengan kancing keselamatan TUDOR “T-fit” boleh laras menambahkan lagi praktikaliti “TUDOR” Ranger sebagai jam tangan yang sesuai bagi kegunaan harian.
Gayanya punya pengaruh retro dengan nuansa minimalis “TUDOR” Ranger amat sempurna dalam gandingan gaya santai, denim serta lapisan pakaian utilitarian di hujung minggu. Ia menjadi jam tangan yang menuntut perhatian namun memiliki keterikatan tersendiri dengan penciptaan yang cukup teliti serta kejituan kejuruteraannya.
Fotografi: Ching
Penataan Gaya: Hannah Akbar

