Langgan

Istimewa Hari Wanita Sedunia: Eksklusif ELLE Bersama Julia van der Drift

Usaha dan dedikasinya membantu membina komuniti kecergasan yang menginspirasikan wanita.
3 minit untuk membaca
Published: March 7, 2026

Julia Van Der Drift ialah seorang usahawan dan pengasas studio pilates, Sculpt Club, di Kuala Lumpur. Mengimbangi peranan sebagai ibu dan pemimpin perniagaan, dia membina komuniti kecergasan yang memberi inspirasi dan keyakinan kepada wanita. Bermula dengan kelas kecil, Julia kini berjaya mengembangkan studionya melalui dedikasi, keazaman dan pendekatan yang penuh empati.

Gambar: Aaron Lee / Lensworks Production

Bagaimanakah rutin harian anda dari pagi hingga malam?

Sejak bergelar ibu, rutin harian saya berubah dan menjadi lebih fleksibel. Hari saya kadangkala bermula seawal jam lima pagi untuk menguruskan anak sebelum ke studio sekitar jam lapan pagi, dengan bantuan ibu saya ketika saya dan suami bekerja. Ada juga waktu kami membahagikan tanggungjawab sesama sendiri. Pada tengah hari saya akan pulang untuk bersama anak dan pada sebelah petang meluangkan masa di luar agar anak saya lebih aktif supaya lebih mudah tidur pada waktu malam. Selepas memasak dan menyempurnakan rutin tidur termasuk membaca buku, sekitar jam 7.30 malam apabila anak sudah tidur, saya dan suami mengambil sedikit masa untuk berbual, berehat atau menonton filem bersama sebelum mengakhiri hari kami.

Apakah perkara yang anda tetap lakukan setiap hari walaupun jadual sangat sibuk?

Saya perlu bersenam. Walau sesibuk mana pun, saya akan memastikan ada pergerakan pada badan saya, sama ada melakukan pilates, latihan kekuatan atau sekadar berjalan kaki. Bagi saya, ia penting untuk mendapatkan semula tenaga dan keseimbangan diri.

Apakah amalan harian yang membantu anda kekal tenang sebelum menghadapi cabaran besar?

Rutin penjagaan kulit saya. Kedengaran ringkas, tetapi itulah me time saya. Sama ada pada waktu pagi atau bila-bila masa yang sempat, beberapa minit untuk diri sendiri terasa sangat therapeutic. Ia membantu saya bersedia secara mental untuk memulakan hari.

Bagaimana anda menggambarkan gaya kepimpinan anda dalam tiga perkataan?

Berempati, relevan dan penuh ihsan. Saya sentiasa cuba memahami komuniti saya. Ramai juga yang mengatakan bahawa walaupun saya mengimbangi pelbagai tanggungjawab yang sibuk, saya tetap tenang dan berhemah dalam mengendalikan sesuatu situasi.

Apakah tanggapan salah yang sering orang ada tentang wanita dalam jawatan kepimpinan tertinggi?

Wanita sering dipandang rendah dan diperkecilkan tentang keupayaan mereka. Ketika saya memulakan business di Malaysia, ramai yang meragui kemampuan saya. Mereka mempersoalkan apa yang mampu saya lakukan. Cabaran ini bukan dipersoalkan pada saya sahaja, ramai wanita menghadapinya dan ia masih berlaku walaupun kini sudah tahun 2026.

Pada pandangan Julia, apakah makna kejayaan hari ini berbanding 10 tahun yang lalu?

Definisi kejayaan saya telah berubah sepenuhnya. Sepuluh tahun lalu, saya membayangkan kejayaan seperti memiliki rumah yang besar atau menjalani kehidupan glamor seperti di Hollywood. Namun hari ini, selepas mempunyai anak, kejayaan bagi saya adalah kehidupan yang saya jalani sekarang iaitu memiliki perniagaan sendiri yang berkembang baik, suami yang penyayang dan anak yang sihat. Saya juga bersyukur kerana keluarga sentiasa ada di sisi.

Apakah keputusan paling sukar yang pernah Julia buat sebagai leader dan apakah pengajaran yang anda peroleh?

Apabila saya bergelar ibu, saya terpaksa memperlahankan langkah. Itu sangat sukar kerana sebelum ini saya mahu melakukan semuanya serentak tetapi sekarang saya perlu melepaskan beberapa peranan dan belajar untuk mendelegasikan tugas. Pengalaman itu mengajar saya untuk memperlahankan rentak dan mempercayai orang lain dalam pasukan.

Apakah makna Kuala Lumpur bagi anda secara peribadi, selain daripada tempat anda bekerja?

Kuala Lumpur akan sentiasa menjadi rumah saya. Saya dilahirkan di sini, walaupun sewaktu kecil saya sering berpindah ke Singapura dan Shanghai. Saya menamatkan sekolah menengah di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian ke Amsterdam. Pada tahun 2017, saya kembali menetap di sini dan kepulangan itu terasa sangat bermakna.

Pada pendapat Juloa, apakah yang menjadi ‘jiwa’ Kuala Lumpur hari ini?

Kuala Lumpur kini sangat hidup dan berani. Banyak perkara sedang berkembang dan berlaku serentak. Jika dahulu masyarakatnya lebih bersifat tertutup, hari ini orang ramai lebih terbuka dan tidak takut untuk menonjolkan diri. Komunitinya semakin kuat dan kota ini mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan.

Pernahkah ada satu detik yang membuatkan Julia sedar bahawa usaha anda memberi kesan besar kepada kota ini?

Apabila saya kembali ke Kuala Lumpur, saya memulakan kerjaya sebagai jurulatih pilates. Ketika itu, pilates masih baru dalam industri kecergasan tempatan. Pada awalnya, kelas saya hanya dihadiri tiga orang. Saya hampir berfikir tiada siapa yang berminat. Namun lama-kelamaan, semakin ramai yang hadir dan berkongsi bagaimana pilates mengubah rasa dan keyakinan terhadap tubuh mereka. Dari situ, komuniti mula terbina. Pada tahun 2019, saya membuka studio sendiri dan ia adalah satu langkah yang menjadi titik penting dalam perjalanan saya.

KREDIT

FOTOGRAFI: AARON LEE / LENSWORKS PRODUCTION

KONSEP DAN PENYELARAS: SARAH HANI JAMIL

ARAHAN SENI: IERA NADZLIM DIBANTU AMIRA AZMAN

PENATAAN GAYA: MUZAMMIN MUZLAN DAN ATHIRAH ZAHRA

SOLEKAN: CAT YONG DAN AHMADANI MENGGUNAKAN CHANEL BEAUTY

DANDANAN: JUNO KO DAN MAY WOO

PAKAIAN DAN AKSESORI: CHANEL

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down