Nurita Harith ialah salah seorang pereka fesyen terunggul yang terkenal untuk rekaan perkahwinan dan haute couture, dengan kerjaya yang melebihi dua dekad. Rekaannya mudah dikenali melalui keanggunan feminin, lapisan lembut dan teknik draping yang khas. Sepanjang kerjayanya, Nurita telah mereka untuk pelbagai pelanggan, daripada selebriti dan sosialit hingga ahli kerabat diraja, sambil terus memberi inspirasi dan membimbing generasi pereka seterusnya melalui karya-karyanya yang ikonik.

Bagaimanakah rutin harian anda dari pagi hingga malam?
Saya bangun pada pukul enam. Kerana saya mempunyai dua orang anak yang berusia empat dan enam tahun, saya perlu bersiap, menghantar mereka ke sekolah dan kemudian tiba di pejabat sekitar pukul 8:30 atau 8:45 pagi. Biasanya saya melakukan rutin pagi saya dan minum kopi sebelum memulakan hari kerja. Hari saya padat, sama ada di pejabat menyiapkan sesuatu yang baru atau keluar bertemu klien. Kadangkala, ada juga acara di luar waktu pejabat. Selepas pukul tujuh, saya pulang untuk mengambil anak-anak dan mempunyai sedikit masa tenang. Saya biasanya menamatkan hari sekitar pukul 10 atau 10:30 malam. Ia rutin yang ringkas tetapi sangat padat.
Gambarkan leadership style anda dalam tiga perkataan.
Bersama. Tenang. Tidak mudah marah. Apa pun yang dilakukan pasukan saya, saya lakukan juga. Penting untuk staf saya tahu bahawa saya boleh bekerja bersama mereka.
Apakah makna kejayaan bagi Nurita hari kini berbanding sepuluh tahun yang lalu?
Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya boleh mempunyai begitu ramai orang yang menyokong saya. Satu pasukan yang mampu melaksanakan visi saya. Ia sangat berbeza berbanding ketika kami mula-mula bermula. Kemajuan kini lebih mencabar dan memerlukan kesabaran, tetapi kami mempunyai pasukan yang sangat mahir untuk memastikan kerja dijalankan dengan baik. Sangat memuaskan apabila melihat orang benar-benar menghargai usaha kita. Sepuluh tahun lalu, sukar untuk meyakinkan klien atau industri mengenai gaya atau idea baru tetapi kini proses itu lebih mudah dan cepat, walaupun cabaran lain tetap wujud.
Adakah Nurita lebih membuat keputusan berdasarkan gerak hati atau analisis data?
Bergantung kepada situasi. Untuk perkara berkaitan nombor, saya bergantung pada data. Contohnya, apabila merancang koleksi baru, saya menganalisis data jualan. Apa yang laku dan kenapa kemudian mencari cara untuk memperbaikinya. Gerak hati juga penting. Kadangkala data dan gerak hati bertembung, terutamanya dalam fesyen, kerana persepsi pengguna boleh berbeza. Kedua-duanya penting.
Apakah keputusan paling sukar yang pernah Nurita buat sebagai leader dan apakah pengajaran yang anda peroleh?
Salah satu detik paling sukar adalah tahun lalu semasa Aidilfitri. Saya menggunakan material yang tidak cukup kuat dan mudah koyak untuk koleksi sedia pakai. Ia menjadi isu besar. Sebagai pemimpin, saya tidak boleh lepaskan begitu sahaja. Saya perlu ready untuk menyelesaikan masalah. Jadi, pada hari pertama Raya, kami sibuk dalam mod damage control sehingga masalah selesai. Pengalaman itu mengajar saya bahawa walaupun kita merancang dengan teliti, perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
Pernahkah ada satu detik yang membuatkan Nurita sedar bahawa usaha anda memberi kesan besar kepada kota ini?
Apabila kami mula-mula bermula, tidak ramai yang berani mencuba rekaan heavy draping atau teknik halus seperti yang kami lakukan. Kini, banyak jenama mula bereksperimen dengan teknik ini. Lima belas tahun lalu, pakaian kahwin atau baju Raya biasanya lebih ringkas kerana pereka mengelak kerja yang sukar. Hari ini, ramai yang berbakat dan berani melangkah lebih jauh. Perkembangan ini jelas menunjukkan kemajuan industri serta bakat tempatan.
KREDIT
FOTOGRAFI: AARON LEE / LENSWORKS PRODUCTION
KONSEP DAN PENYELARAS: SARAH HANI JAMIL
ARAHAN SENI: IERA NADZLIM DIBANTU AMIRA AZMAN
PENATAAN GAYA: MUZAMMIN MUZLAN DAN ATHIRAH ZAHRA
SOLEKAN: CAT YONG DAN AHMADANI MENGGUNAKAN CHANEL BEAUTY
DANDANAN: JUNO KO DAN MAY WOO
PAKAIAN DAN AKSESORI: CHANEL

