Langgan

Istimewa Hari Wanita Sedunia: Eksklusif ELLE Bersama Pamela Tan

Nilai diri dan keseimbangan hidup terus setia dengan identitinya sebagai seorang kreatif.
3 minit untuk membaca
Published: March 7, 2026

Pamela Tan ialah seorang artis interdisiplin yang bekerjasama dengan pelbagai jenama besar dan merupakan pengasas serta pemilik Pohsin Studio. Dia dikenali dengan karya seni yang berwarna-warni dan bermakna termasuk projek seni awam yang menceriakan ruang kota dan mencetuskan perbincangan masyarakat. Dalam memimpin studio dan kariernya, Pamela mengutamakan nilai, kesedaran diri dan keseimbangan hidup sambil terus kekal setia kepada prinsip dan identitinya sebagai seorang kreatif.

Gambar: Aaron Lee / Lensworks Production

Bagaimanakah rutin harian anda dari pagi hingga malam?

Rutin harian saya agak sederhana dan tenang. Saya memulakan pagi dengan memberi makan kepada dua ekor kucing saya dan secara sengaja saya tidak terus melihat telefon supaya dapat memulakan hari dengan lebih perlahan. Selepas bersiap dan bersarapan, barulah saya menyemak mesej kerja. Jika sempat, saya akan berjalan di Kiara Hills selama satu jam sebelum ke studio pada tengah hari. Saya bekerja hingga petang, kemudian pulang untuk memasak, meluangkan masa bersama pasangan saya, menonton televisyen dan kadangkala bermain pickleball.

Apakah perkara yang anda tetap lakukan setiap hari walaupun jadual sangat sibuk?

Saya akan meluangkan masa untuk diri sendiri. Bagi saya, masa berkualiti untuk diri amat penting. Tidak kira dalam apa cara pun contohnya seperti memasak, membaca atau sekadar berehat dan bermeditasi. Apa pun bentuknya, masa untuk diri sendiri adalah sesuatu yang tidak boleh ditinggalkan.

Apakah amalan harian yang membantu anda kekal tenang sebelum menghadapi cabaran besar?

Apabila berdepan cabaran besar, saya akan berjalan kaki dan bertanya kepada diri sendiri mengapa perkara itu menakutkan saya. Saya cuba mengenal pasti ketakutan sebenar dan memikirkan kemungkinan terburuk yang boleh berlaku.Dengan berfikir secara rasional, saya menjadi lebih tenang. Saya juga melihat sisi positif dan mengapa cabaran itu sebenarnya memberi rasa teruja.

Bagaimana anda menggambarkan gaya kepimpinan anda dalam tiga perkataan?

Mindfullness, nurturing dan curious.

Apakah tanggapan salah yang sering orang ada tentang wanita dalam jawatan kepimpinan tertinggi?

Ramai yang beranggapan wanita dalam kepimpinan terlalu emosional atau dramatik. Persepsi ini sering digunakan untuk meragui kemampuan mereka. Namun pada saya, setiap manusia mempunyai emosi dan cabaran tersendiri. Yang penting ialah komunikasi yang jelas, empati dan kesedaran untuk memahami keadaan orang lain.

Pada pandangan anda, apakah makna kejayaan hari ini berbanding 10 tahun yang lalu?

Kini, kejayaan bagi saya bermaksud kestabilan, ketenangan dan menghargai perkara kecil dalam kehidupan. Saya lebih menghargai kesederhanaan dan keseimbangan diri. 10 tahun lalu, saya melihat kejayaan sebagai pencapaian besar dan pengiktirafan. Namun kini saya sedar bahawa kejayaan sebenar bukan hanya tentang anugerah tetapi tentang kedamaian dalaman.

Bagaimana anda membina ketahanan diri sebagai seorang wanita dalam leadership role?

Saya belajar membina ketahanan diri dengan mempercayai pasukan saya dan tidak lagi melakukan semuanya sendiri. Dulu saya terlalu berdikari sehingga menjejaskan kesihatan dan emosi. Kini saya lebih terbuka untuk meminta bantuan, mendelegasikan tugas dan melepaskan keperluan untuk menjadi sempurna. Saya percaya cabaran sebenar datang daripada dalam diri sendiri.

Apakah keputusan paling sukar yang pernah anda buat sebagai leader, dan apakah pengajaran yang anda peroleh?

Keputusan paling sukar ialah menolak projek yang menawarkan bayaran tinggi tetapi bercanggah dengan nilai dan prinsip saya. Lebih-lebih lagi apabila pasukan turut terkesan dengan layanan yang tidak adil. Akhirnya, saya berbincang dengan pasukan dan kami membuat keputusan bersama untuk tidak meneruskannya. Pengalaman itu mengajar saya bahawa nilai dan integriti lebih penting daripada wang.

Pernahkah ada satu detik yang membuatkan anda sedar bahawa usaha anda memberi kesan besar kepada kota ini?

Salah satu detik bermakna ialah projek pemasangan seni di MRT Pasar Seni. Tujuannya untuk menceriakan ruang bawah tanah yang sibuk dan memberi pengalaman berbeza kepada orang ramai. Apabila karya itu mencetuskan perbincangan tentang kepentingan seni awam, saya sedar ia memberi impak kepada masyarakat dan kota ini. 

Jika seorang wanita muda di Kuala Lumpur mengikuti perjalanan kerjaya anda, apakah nasihat yang ingin anda berikan?

Nasihat saya kepada wanita muda ialah kekal setia kepada diri sendiri. Jangan hilang identiti walau apa pun cabaran yang dihadapi.

KREDIT

FOTOGRAFI: AARON LEE / LENSWORKS PRODUCTION

KONSEP DAN PENYELARAS: SARAH HANI JAMIL

ARAHAN SENI: IERA NADZLIM DIBANTU AMIRA AZMAN

PENATAAN GAYA: MUZAMMIN MUZLAN DAN ATHIRAH ZAHRA

SOLEKAN: CAT YONG DAN AHMADANI MENGGUNAKAN CHANEL BEAUTY

DANDANAN: JUNO KO DAN MAY WOO

PAKAIAN DAN AKSESORI: CHANEL

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down