Temu bual berlangsung sehari selepas konsert Jay Park yang tiketnya habis terjual di Singapura. Suasana di studio ketika itu jauh berbeza daripada malam sebelumnya. Malam itu sarat dengan ledakan tenaga dengan ribuan peminat menjerit namanya tanpa henti dan mengalunkan setiap bait lagu bersamanya. Kali ini, muzik Usher melatari perlahan atas permintaannya sendiri, bersilang pula bunyi klik kamera ketika jurugambar kami menyesuaikan pencahayaan. Terasa lebih tenang dan intim sementara Jay duduk sabar di kerusi solek bersedia untuk sesi penggambaran yang bakal bermula.
Team Jay Park seramai lima orang kesemuanya berada berhampiran. Mereka tidak mengganggu tetapi ada di set penggambaran ibarat sekumpulan sahabat yang memahami ritma antara satu sama lain. Mereka berbual ringan, bergurau kecil dan sentiasa peka terhadap suasana sekeliling. Sorak kecil, usik-mengusik dan tawa mereka dari tepi set memperlihatkan keakraban. Hubungan dijalin bukan sekadar rakan sekerja tetapi keluarga iaitu sekumpulan individu yang setia berada di belakang Jay.
Keakraban ini tidak dibentuk secara mudah. Jay amat teliti memilih individu di sekelilingnya. Seperti seorang jurulatih yang teguh membina team berlandas kepercayaan, keserasian dan matlamat yang sama. “Ini bukan sekadar tentang cari rezeki bersama,” ujarnya tenang. “Kalau hati dan cara kami berfikir sehaluan, merekalah orang yang saya mahu lihat menang bersama. Itu yang sentiasa membakar semangat saya. Ia menjadikan perjalanan ini lebih besar daripada sekadar tentang diri saya. Ia memberi saya mencapai tujuan yang sebenar.”

Walaupun sudah menonton dan membaca banyak temu bual Jay Park sebelum ini, saya tetap terkesima dengan cara dia berfikir dan kejujurannya berbicara. Di sebalik pesona bad boy bertatu, aksi twerk di atas pentas dan body roll yang mampu membuatkan satu stadium berteriak. Terserlah karakter seorang lelaki yang teguh pendirian dan selesa dengan emosinya sendiri. Dia juga kelihatan tidak pernah malu untuk memperlihatkan sisi itu.
Jay berbicara santai tentang para selebriti yang menurutnya “Telah berusaha keras dan membina nama besar sendiri,” dengan nada yang sama tenangnya ketika melontar jenaka tentang stereotaip kanak-kanak Korea yang membesar di Amerika pada era 90-an. “Ketika itu, pengetahuan tentang budaya Asia tidak begitu meluas, semuanya hanya tentang kung fu dan Jackie Chan,” katanya sambil tertawa kecil.
Sepanjang hampir dua dekad dalam industri dia tidak asing dengan kritikan. Namun bagi Jay Park pandangan luar sudah tidak lagi mengusiknya. “Ada yang menilai saya hanya melalui satu tajuk artikel tanpa cuba memahami siapa diri saya sebenarnya,” katanya. “Dan itu tidak mengapa, saya selesa menjadi diri sendiri. Saya tidak perlukan tafsiran orang lain untuk menentukan siapa saya. Saya cuma manusia biasa, sama seperti orang lain.”
Dilahirkan pada tahun 1987 di Edmonds, Washington, Jay membesar sebagai seorang kanak-kanak pemalu yang lambat menemui tempatnya di dunia. Ketika itu, masyarakat belum benar-benar terbuka terhadap kehadiran wajah Asia dalam arus perdana. “Hip hop membuka ruang untuk saya berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan orang lain, belajar tentang pelbagai ragam manusia, budaya dan kehidupan mereka. Saya sentiasa mendekati dunia dengan rasa hormat,” ujarnya sebagai pendirian.


Pendirian itu juga akhirnya membawa Jay Park berpindah dari Seattle ke Seoul sebagai pelatih di bawah JYP Entertainment. Satu langkah yang diakui sebagai titik perubahan besar hidupnya. Perpindahan itu memisahkannya daripada segala yang pernah dikenali memaksanya melihat dunia daripada perspektif baru dan mengenali dirinya sendiri. “Saya perlu memahami banyak perkara tentang diri saya, apa ertinya menjadi orang Korea, mengapa mereka berfikir sebegitu? Mengapa kami dianggap seperti kami dan mengapa ibu bapa saya berkelakuan sedemikian. Itulah titik perubahan dalam hidup saya,” katanya.
Tiga tahun kemudian sekitar tahun 2008, Jay memulakan kerjayanya sebagai ketua kumpulan lelaki K-pop, 2PM. Karisma dan gerak tariannya membuatkan dia cepat menonjol namun tidak lama selepas itu, kontroversi mula menggugat kedudukannya. Komen lama yang pernah ditulis di laman MySpace yang mengkritik kehidupan di Korea muncul semula dan mencetuskan reaksi besar daripada orang ramai. Menjelang akhir tahun 2009, Jay mengumumkan pengundurannya daripada 2PM dan pulang ke Amerika Syarikat. Satu keputusan yang dianggap ramai sebagai sebuah pengakhiran kerjayanya. Namun, apa yang mungkin mematahkan semangat artis lain menjadi pemangkin kepada kebangkitan dan penciptaan semula dirinya.
Sekembalinya ke tanah air Jay memuat naik saduran lagu popular B.o.B, “Nothin’ on You” di YouTube. Dunia mula memberi perhatian kembali — dan begitu juga industri hiburan Korea. Menjelang tahun 2010 dia kembali ke Seoul, tetapi kali ini dengan rentak dan caranya sendiri.

Sepanjang dekad berikutnya, Jay Park berjaya mengukir haluannya sendiri dalam industri muzik Korea. Dengan mendakap pengaruh hip hop dan R&B bukannya formula pop arus perdana, dia menghasilkan deretan album yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai artis carta teratas. Tetapi juga sebagai penggerak budaya yang berani mencabar norma. Album seperti New Breed (2012) dan Worldwide (2015) memperlihatkan kepelbagaian bakatnya. Manakala lagu seperti “Mommae” menjadi anthem yang mengaburkan batas antara kehebatan underground dan daya tarikan komersial.
Kolaborasinya turut melangkaui sempadan budaya dan genre daripada ikon Korea seperti Dok2 dan Zico hinggalah nama besar Amerika seperti Wiz Khalifa dan 2 Chainz. Pada tahun 2017 Jay mencipta sejarah apabila menjadi artis Amerika Asia pertama yang menandatangani kontrak di bawah label Roc Nation milik Jay-Z, satu pencapaian penting dalam mewakili suara Asia di pentas global.
Namun Jay bukan sekadar seorang penghibur, dia juga seorang pembina empayar. Dengan menubuhkan beberapa label rakaman seperti AOMG, H1ghr Music dan More Vision, Jay memainkan peranan besar dalam membentuk semula landskap muzik Korea. Melalui platform ini artis seperti Chung Ha, Loco, Simon Dominic dan Gray menemui laluan alternatif untuk berkembang di luar sistem idola muzik yang konvensional. Bagi Jay semuanya berpaksikan prinsip keaslian dan kolaborasi. “Ia bukan tentang visi artistik saya semata-mata,” katanya. “Saya tidak mahu berkata, ‘anda perlu buat begini’ atau ‘saya tidak mahu buat sebegitu’. Saya mahu segalanya hadir secara jujur bukan paksaan.”
“Untuk mengimbangi semua itu sejujurnya sangat sukar,” tambahnya. “Mentaliti seorang artis dan mentaliti seorang CEO cukup berbeza. Apabila saya sedang mengerjakan album atau bersiap untuk konsert saya perlu berada dalam mod seorang artis, lebih lantang, bebas dan tidak terlalu kaku memikirkan pandangan orang luar. Tetapi sebagai seorang CEO saya perlu peka terhadap apa yang diperkatakan. Itu sebahagian daripada tanggungjawab saya. Saya memang mahu berundur sedikit sebagai artis selebriti dan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar saya ingin lakukan sambil terus membimbing bakat muda dan membentuk hala tuju jenama.”


Keinginan Jay Park untuk berundur sedikit daripada spotlight hiburan dan memberi tumpuan kepada visi kreatif empayarnya lahir daripada kesedarannya terhadap betapa pantasnya industri muzik kini berubah. Daripada cara muzik diakses dan dinikmati hinggalah kepada cara ia dihasilkan dan diedarkan, landskap industri hari ini sudah jauh berbeza berbanding ketika dia mula melangkah ke dahulu pada tahun 2008.
“Segalanya berubah dengan sangat cepat. Kini hampir semua orang tahu apa itu K-pop dan itu sesuatu yang baik! Tetapi bagi seorang pemuzik keadaan itu juga agak menakutkan,” katanya jujur. “Fenomena paling popular sekarang ialah K-Pop Demon Hunters dan mereka sebenarnya bukan juga manusia sebenar. Dengan AI anda boleh mencipta sesuatu dalam beberapa saat sahaja sedangkan saya mengambil masa dua dekad penuh keringat dan air mata untuk tiba ke tahap ini. Jadi bagi saya, yang paling penting ialah kekal menjadi diri sendiri. Berpegang pada nilai yang saya percayai dan terus melaburkan masa, tenaga serta usaha untuk perkara yang benar-benar bermakna bagi saya.”
Antara perkara yang paling dekat di hatinya kini ialah Won Soju, jenama soju premium yang dilancarkan pada tahun 2022. Dalam masa yang sama, hubungan kerjasamanya dengan Gucci turut memperlihatkan sisi berbeza Jay Park. Sejak November 2023 beliau dilantik sebagai duta global jenama tersebut dan tampil dalam kempen Gucci Together bersama kedua ibu bapanya. Dilancarkan pada April tahun ini kempen itu merai makna kekeluargaan dan hubungan yang tulen. Ia menampilkan Jay dan ibu bapanya dalam siri potret intim hasil bidikan jurugambar terkenal Tina Barney.
“Mereka sebenarnya tidak selesa berada di depan kamera, jadi saya agak ragu-ragu pada mulanya,” ujarnya sambil tersenyum. “Tetapi saya beritahu mereka kita boleh pergi ke Itali bersama-sama, ada makanan yang lazat, wain yang enak dan akhirnya mereka setuju. ‘Baiklah, kami akan lakukannya demi Gucci,’” katanya ketawa kecil mengenang momen itu. “Ia amat bermakna kerana kami bukan jenis keluarga yang selalu bergambar atau bercuti bersama. Jadi dapat ke Rome bersama ibu bapa saya dan membiarkan mereka melihat dunia kerja saya sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya benar-benar satu pengalaman melihat dunia luar yang istimewa.”
Ketika bertanya kepada Jay sama ada dia ingin berkongsi apa-apa kepada artis muda yang sedang bakal mencipta nama dalam industri yang mencabar dan sentiasa berubah ini memandangkan dia sendiri telah merasai detik-detik kegemilangan sehingga hampir meletakkan diri di titik rendah semasa menjadi tumpuan ramai. Dia terdiam sejenak sebelum menjawab “Ia datang dengan pengorbanan, kerja keras, percayakan proses, peka dengan apa yang berlaku dan jangan terlalu memikirkan apa yang semua orang katakan sehingga menentukan siapa diri kita kerana dari situlah kita mula kehilangan diri.”
Ketika memandang Jay duduk di kerusi yang dikelilingi team nya, kita sedar bahawa dia kini adalah segalanya yang diimpikan. Menjadi seorang artis, usahawan dan yang paling penting insan yang sedang menulis ceritanya sendiri mengikut acuannya.

