
Dari enam bulan pertunangan ke hari bahagia, Bella Astillah dan Syed Saddiq memulakan lembaran baharu sebagai suami isteri dalam sebuah majlis akad nikah serba putih di Merdeka 118.
Ada momen yang terasa seperti babak dalam filem romantis, dan hari bahagia Bella Astillah bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pastinya salah satu daripadanya.
Bella Astillah, nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, sah bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar itu dengan sekali lafaz.Detik akad nikah ini turut disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform Astro, membolehkan peminat dan rakyat Malaysia mengikuti momen istimewa pasangan tersebut dari jauh.
Bagi yang ingin menyaksikan perjalanan mereka menuju hari bahagia, program khas Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq akan bersiaran setiap hari Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Serba Putih, Serba Bermakna




Mengangkat konsep Arab dengan palet serba putih, majlis akad nikah pasangan ini tampil elegan tanpa perlu berlebihan. Suasana yang intim dan penuh bermakna diserikan dengan kehadiran keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan industri, selain tetamu kenamaan termasuk Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hannah Yeoh.
Bella dinikahkan oleh jurunikah Dato’ Seri Dr. Hj Zulkifli, dengan bapanya, Awang Astillah, bertindak sebagai wali. Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella, manakala pertukaran hantaran menyaksikan tujuh dulang daripada pihak pengantin lelaki berbalas sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Busana Pengantin Sentuhan Zaimi Zulkafli
Kedua-dua mempelai memilih rekaan Zaimi Zulkafli untuk melengkapkan hari bersejarah mereka. Selari dengan tema majlis, busana serba putih yang digayakan Bella dan Syed Saddiq menyuntik sentuhan romantis dan sofistikated, sekali gus menyempurnakan suasana hari bahagia mereka.

