
Dalam deras laju pasaran filem tempatan tahun ini yang begitu banyak terisi dengan filem aksi dan seram, 'Polong' tidak ketinggalan dalam mengisi permintaan penggemar filem thriller dan seram tempatan. Dengan pendekatan film noir dan landskap lebih teaterikal, 'Polong' arahan Zulkarnain Azhar mencuri perhatian saya.
Bukan kerana premis 'Mona Fendy' yang dijual dan dicanangkan tetapi hanya untuk melihat Jun Lojong kembali di layar perak sudah membuat saya teruja. Kali terakhir mungkin di filem 'Roh' dan penampilan istimewa dalam 'Tiger Stripes' setelah itu dia memilih untuk mungkin hanya terlibat dalam produksi yang memberi kepuasan buatnya sahaja.
Kali ini lewat watak Maria Hadi, Jun memiliki screen time yang lebih panjang, biar saya tidak puas dengan penampilannya namun sebetulnya ia cukup mengesankan. Bersama Mimi Lana, Fad Anuar dan Nadiya Nisaa - Zulkarnain Azhar sebagai pengarah bermain dengan naratif perwatakan yang seimbang, jelas dan memuaskan.
Naratif Cemerlang 'Polong'
Kisah dibahagikan pada empat naratif perwatakan - Fatima, Mamat, Maria Hadi dan Marissa yang menggerakkan filem ini dalam satu tempo perlahan namun berisi dan sangat diperlukan. Saya senang dengan cara Zulkarnaian menyusun cerita, dia tidak terburu-buru dalam melambakkan semua kisah dalam satu masa.
Setiap satu perwatakan dikisahkan penuh ketelitian, kefahaman yang sepatutnya tanpa terlalu menyatakan semuanya asbab kejadian. Mimi Lana dalam perwatakan Fatima diriwayatkan sebagai seorang wartawan yang sedang struggle dalam mengolah cerita Maria Hadi. Dilema hidup yang menghimpit membawanya ke satu kejadian yang merugikan dirinya.
Babak di penjara dalam perbualan Maria dan Fatima kekuatan filem ini untuk bermula sebagai penggerak sebuah cerita kukuh. Setelah itu, tragedi disusun dengan berhati-hati dan tidak terburu - Zulkarnain menguji kesabaran kita sebagai penonton dengan tempo perlahannya. Namun dia tidak membiarkan tempo yang perlahan itu kosong. Semuanya terisi dengan perincian dalam cerita yang menuntut ketajaman dan fokus kita sebagai penonton.
Kedalaman emosi dan lakonan Jun dan Mimi benar-benar diuji sepanjang filem ini berjalan. Meraka menggalas sebaiknya perwatakan yang ditulis. Dan sebagai penonton yang pertama kali menonton Fad Anuar berlakon, saya leka dalam lakonannya yang bersahaja.
Nadiya Nisaa biar kebanyakan masa di filem ini berlitup, sempurna dalam mengusung berat emosi yang dibawa. Kelibatnya biar hanya di hujung filem, menjadi penutup yang baik buat 'Polong'. Filem ini bukan hanya mahu membuat kita terkejut dan takut tetapi lebih kepada memahami satu pendekatan berbeza dalam pengalaman menikmati sebuah filem seram tempatan.
Sebuah Kritikan Sosial
'Polong' bergerak sebagai sebuah kritikan sosial terhadap kuasa dan kerakusan yang jelas pada watak Mamat, desakan hidup yang menjadi punca Fatima ditimpa bala dan pencarian akan peluang kedua pada sebuah keampunan yang dituntun Maria Hadi. Dan atas kesilapan ketiga-tiga watak ini, Zulkarnain menghadirkan Marissa untuk menyelamatkan dan menamatkan cereka yang ditulis.
Pujian pada rekaan produksi, arahan seni oleh Rabbani Sujak Saifuddin Musadan kerja kamera Saifuddin Musa harus diberikan. Setiap babak dibingkai dengan pengisian yang melengkapi kehendak cerita tanpa hanya kerana mahu kelihatan cantik di skrin sahaja. Rumah flat yang diduduki Fatima dan Mamat, rakaman ruang penjara sehingga babak-babak malam yang menyeramkan dirakam cukup kemas sempurna.
'Polong' bukanlah tiada kecelaan namun ia sebuah naskhah yang seimbang dalam kehendak sebuah filem cereka yang lengkap. Jalan cerita, ketelitian pengarahan, keberkesanan lakonan, sudut kamera, arahan seni sehingga penataan bunyi - semuanya melengkapi kehendak satu sama lain. Dan hal ini sebenarnya menjadikan 'Polong' sebagai sebuah naskhah yang sangat baik.
Sehingga hari ini saya kira setelah 'Roh' dan sebelumnya 'Munafik dan 'Dukun' - 'Polong' saya letakkan sebagai satu daripada filem seram terbaik yang kita miliki. Saya keluar panggung puas dalam resah selama menontonnya dan pada masa yang sama bangga kerana masih ada pengarah kita yang mahu mencabar diri dalam membentuk penulisan filem cereka dengan cara yang berbeza.
