Kota Bangkok bersinar dengan lebih terang musim ini apabila Tiffany & Co. membuka pintu kepada ‘Legendary Legacy’ pada 21 Ogos, sebuah pameran imersif merentasi lebih dua abad seni dan inovasi. Pameran yang dikurasi dengan teliti ini memberi tumpuan kepada karya agung Jean Schlumberger, pereka dari Paris yang mentakrif semula seni rekaan barang kemas.

ELLE menjadi antara media yang diterbangkan ke Bangkok bagi menikmati pratonton eksklusif pameran ini. Penginapan kami di hotel Ritz-Carlton yang mewah terasa begitu serasi, bukan sahaja kerana ia mencerminkan semangat Tiffany & Co., tetapi juga kerana lokasinya yang bersebelahan dengan ruang exhibition. Bertempat di One Bangkok, ‘Legendary Legacy’ mengundang pengunjung menyelami warisan gemilang Tiffany & Co.
Itinerari bermula dengan sidang media yang secara rasmi melancarkan pameran di mana Anthony Ledru, President & Chief Executive Officer Tiffany & Co., bersama Christopher Young, Vice President Creative Visual Merchandising & The Tiffany Archives mengetuai perbincangan mengenai legasi 200 tahun jenama ini.
“Sejarah Tiffany sangat mengagumkan bagi saya. Hampir 200 tahun inovasi kreatif, seni, penguasaan permata dan teknik perintis, dipimpin oleh tukang barang kemas dan gemologis yang berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan ciptaan luar biasa kepada dunia,” kata Christopher.
“Warisan kreatif Tiffany sentiasa berakar daripada alam semula jadi sebagai sumber inspirasi utama. Jadi, apabila Jean Schlumberger menyertai rumah ini pada tahun 1956, tema ini sudah pun menjadi sebahagian kuat daripada etos reka bentuk kami. Jika kita mengambil masa sejenak untuk mengimbas karya Louis Comfort Tiffany, dia juga menghasilkan seni yang diinspirasikan alam semula jadi pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ini adalah warisan yang kaya dan berprestij. Maka apabila Jean membawa visinya sendiri tentang alam semula jadi ke dalam Tiffany & Co,, ia adalah sesuatu yang kami sambut sepenuhnya, kerana dunia tidak pernah menyaksikan sesuatu seumpamanya sebelum ini. Apa yang saya gemari tentang pameran ini ialah kita bukan sahaja meraikan apa yang dibawa Jean Schlumberger kepada Tiffany, tetapi juga bagaimana kreativitinya terus menjadi inspirasi kepada ciptaan baharu kami hari ini," ujarnya lagi.
Setiap bab pameran ini memperlihatkan karya agung daripada The Tiffany Archives, menganyam kisah kreativiti, ketukangan, warisan dan kemodenan sambil meraikan hubungan abadi antara Jean Schlumberger dan Tiffany & Co.

Pameran ini merentasi lima ruang, bermula dengan ‘Guadeloupe, the Island of Inspiration’. Di sini, pengunjung menemui pengaruh awal Jean Schlumberger dari Paris yang diilhamkan oleh para seniman, pembuat filem dan pelukis pada tahun 1930-an. Sorotan utama ialah persahabatannya dengan Diana Vreeland, dia mana Jean mencipta sebuah klip ‘Trophée de Vaillance’, salah satu karya pertama yang dipamerkan di ‘Legendary Legacy’.

Perjalanan kemudian bergerak ke ‘Garden of Imagination’, di mana hubungan Jean Schlumberger dengan para pelanggan dizahirkan. Rachel Lambert “Bunny” Mellon, contohnya, dengan taman indah dan apresiasi mendalam terhadap alam semula jadi, menjadi salah satu inspirasi terbesarnya.

Seterusnya ialah bilik ‘The Depths of Beauty’ di mana dunia bawah laut dibayangkan semula. Jean Schlumberger melihat lautan sebagai dunia subconcious. Spesis seperti kuda laut dan duri landak laut menjadi inspirasi bagi brooch dan rantai. Antara karya penting ialah rantai ‘Hedges and Flowers’ yang telah ditafsir semula oleh Nathalie Verdeille. Bukan secara literal, tetapi secara konseptual dengan struktur baharu dalam bahasa reka bentuk moden untuk pelanggan masa kini.

Daripada laut, naratif naik ke udara melalui tema ‘Wings’, lambang kerohanian dan kebebasan. Di sini, rama-rama, burung dan makhluk bersayap lain menjadi tumpuan. Salah satu karya kegemaran Christopher Young ialah Big Bird Clip yang asalnya direka pada tahun 1941 dan ditemui semula pada tahun 1985 bersama Andy Warhol dan Joan Quinn, yang dengan murah hati meminjamkannya untuk pameran ini.

Akhir sekali, pameran memuncak di ruang kelima dan terakhir mempersembahkan 'The Tiffany Diamond'. Di sini, pengunjung diperkenalkan kepada berlian legenda Tiffany seberat 128.54 karat, simbol mutlak Tiffany & Co. yang dipersembahkan dalam setting yang diinspirasikan oleh brooch ikonik Jean Schlumberger ‘Bird on a Rock’.

Antara bintang Asia yang hadir untuk pembukaan pameran 'Legendary Legacy' di Bangkok:
Pameran 'Legendary Legacy’ dibuka kepada umum di One Bangkok, Tower 4, sekarang sehingga 7 September. Tetamu boleh menempah lawatan di www.exhibition.tiffany.com






