
Terdapat suatu tarikan kepada aksesori grunge, goth dan punk. Pemakaian perhiasan sebegini mungkin dianggap sekadar taktik penggayaan, namun ilhamnya lebih daripada itu. Jenis estetika ini muncul sebagai pemberontakan dari stail mainstream dan kini dirangkul sebagai medium ekspresi diri. Di Kuala Lumpur, bandar yang sentiasa berubah, munculnya jenama dan pereka tempatan yang mentafsirkan semula estetika ini dalam bentuk aksesori alternatif untuk generasi baru.
1. Pretendworld Shopfront
Pretendworld Shopfront merangkumi segalanya daripada aksesori avant-garde seperti hiasan kepala dan aksesori tulang belakang ke koleksi komersial seperti rantai, gelang dan cincin. Arah kreatifnya mengambil inspirasi dari budaya Hokkien, pengalaman hidup serta konsep pasca-manusia dan sering menterjemahkan konflik emosi ke rekaan simbolik. Antara koleksi penting jenama ini adalah EOD (Eye of Disgusts) serta kempen Pretendworld Temple yang menggabungkan elemen kerohanian cina dengan naratif distopia dan ekspresi komuniti alternatif.
2. WEARMASQUAD
Ditubuhkan pada 2022, WEARMASQUAD mengambil estetika Y2K dan membawanya ke arah lebih alternatif dengan mengambil inspirasi dari subbudaya. Selari dengan gaya alternatif grunge, goth dan punk, WEARMASQUAD melihat perhiasan seperti lanjutan identiti dan cara seseorang itu meningkatkan keunikan gaya peribadi. Setiap rekaan dicipta menggunakan stainless steel dan direka untuk bertahan lama untuk pemakaian harian.
3. CRAZY NETIZENZ
Rekaan bertemakan kerohanian, sci-fi dan angkasa lepas daripada CRAZY NETIZENZ terletak diantara arca dan aksesori boleh pakai. Proses rekaan menggabungkan teknik digital dan kerja tangan bermula dengan idea sehingga pencetakan, pengujian dan kemasan akhir. Setiap karya dihasilkan dengan perhatian penuh kepada perincian, keseimbangan dan identiti sendiri. Keunikan rekaan CRAZY NETIZENZ juga dirangkul oleh XG dengan penggayaan brooch All Eyes on Me di pentas Coachella 2025.
4. BARELY SENSORED
Bagi BARELY SENSORED, aksesori bukan sekadar perhiasan diri tetapi lebih kepada penterjemahan keadaan emosi dan fikiran dalaman dalam bentuk fizikal. Seniman perhiasan bebas dari Eropah dan Amerika Syarikat menjadi sumber inspirasi dengan kebolehan mereka menggubah manik kaca, mutiara dan dawai menjadi arca boleh pakai. Dengan memperluaskan perspektif terhadap potensi bahan dan bentuk, BARELY SENSORED ditubuhkan untuk meneroka ekspresi alternatif ini yang masih jarang di Malaysia. Setelah tujuh tahun beroperasi, visi mereka untuk mencipta perhiasan bersifat peribadi, tahan lama dan berfungsi seolah-olah pelindung, masih berkekalan.
5. ROH;SOTT
ROH;SOTT merupakan jenama berpendekatan ‘goth Nusantara’ yang memberi tumpuan kepada amalan upcycling dan rekonstruksi. Koleksi pertama mereka menampilkan aksesori tali leher yang dilukis tangan dan diperkaya dengan elemen gaya alternatif sebagai identiti tersendiri. Setiap rekaan dihasilkan sebagai medium ekspresi diri, khusus untuk individu yang enggan mengecilkan diri atau tunduk kepada norma gaya konvensional. Daripada sudut kreatif, ROH;SOTT mengangkat hubungan antara hidup dan mati sebagai teras inspirasi. Pada masa yang sama, jenama ini berhasrat membina ruang yang inklusif dan selamat buat komuniti alternatif.
6. Velvet Stunner Studio
Kecenderungan terhadap estetika gelap dapat diperhatikan dengan jelas pada rekaan perhiasan bergaya edgy yang dihasilkan oleh Velvet Stunner Studio. Dikendalikan oleh seorang seniman autodidact, setiap rekaan mencerminkan eksperimentasi dengan medium kreatif dan minat pengasasnya terhadap pembuatan perhiasan diri. Pendedahannya kepada teknik chainmaille mendorong penghasilan rangkaian aksesori dan beg yang sesuai untuk kegunaan harian. Menggunakan seratus peratus keluli tahan karat dan dianyam sepenuhnya secara manual. Setiap karya dihasilkan mengikut tempahan dengan ketelitian bagi memastikan ketahanan jangka panjang.

