
Ketika "Good Boys Go to Heaven" bersiaran pertengahan tahun ini, Ariff Zulkarnain bagai sudah memberi satu siren bahawa dia siap untuk menakluk pasaran penerbitan filem dengan standard kualiti yang berbeza. Pendekatan drama sebagai jaluran utamanya kuat lewat penceritaan dengan gaya pengarahan berarah pada visual yang puitis.
Hal ini sebetulnya sudah dia hidangkan buat kita dalam penghasilan filem pendek "Laut Tak Biru Di Seberang Takir" kira-kira tiga tahun sudah. Kali ini masih berpaksi pada visual puitis yang dikuatkan dengan penceritaan dan susunan plot yang menarik, Ariff hadir dengan filem cereka perdana arahannya, "Baga: Esok Untuk Siapa"
Amir Ahmaf dan Amirah Razak mendepani filem ini sebagai pengemudi cerita sebelum bersilang konflik dan kekacauan yang membelenggu menerusi watak yang dibawa mereka sebagai Jani dan Melur. Sebagai pengarah Ariff membentuk filem ini dengan mengukuhkan akar pada naratif cerita dengan pengenalan perwatakan yang sangat jelas.

Alur Cerita "Baga: Esok Untuk Siapa"
Filem ini mengambil latar Kuala Terengganu dengan cetera Jani dan Melur sepasang kekasih yang terlanjur akan cinta (disebut nafsu) yang disemai. Keputusan untuk 'melepaskan' bayi yang dikandung Melur mendesak Jani mencari tahu jalan terbaik dan cepat untuknya mendapatkan wang. Atas premis ini, 'Baga' dibentuk dengan penceritaan yang penuh emosi.
Ariff menyusun plot filem ini dengan tidak terburu-buru. Tempo dijaga sebaiknya dengan jalan cerita yang tidak kompleks tetapi masih berbekas konflik yang menjawab segala persoalan. Ia bernadi sebagai sebuah naskhah realisme sosial yang membentang isu kemiskinan, desakan dan keterbatasan pilihan yang ada untuk sebuah kelangsungan hidup.
'Tension' yang dicipta datang pada masa yang tepat dengan gaya penceritaan berlapis di penghujung filem. Ia menyatu sebagai sebuah pengalaman visual yang sangat cantik di layar lebar bersama lensa kreatif Tan Teck Zee, setiap satunya dibingkai menepati kehendak cerita dan feel yang tepat.
Dalam beberapa babak yang membekas kesan, antara yang menarik perhatian saya adalah ketika Jani dan Melur di jeti setelah membuat keputusan untuk menggugurkan bayi yang dikandung. Ada momen yang cukup sepi dan kosong dibingkaikan dengan emosi yang berat dan ia begitu hidup dengan skor muzik Irena Taib.

Lewat persembahan lakonan, Amirah Razak memperlihatkan potensi besar dengan begitu bersahaja dan meyakinkan. Tiada babak dalam pengucapannya tersia atau kelihatan canggung. Watak Melur yang digambarkan naif dan sederhana itu menjadi berat emosi dan digalas dengan secukupnya.
Amir Ahnaf tidak mengecewakan. Dia begitu menyatu dalam roh Jani daripada awal filem bermula ke hujungnya. Peranan Jani menjadi semakin berat ke penghujung filem. Daripada harus mendepani Pak Awang sehingga melihat Ajih dibedik dan Melur yang hampir dirogol - Amir mentafsir sebaiknya dalam lakonannya.
"Baga: Esok Untuk Siapa" sebuah filem yang lengkap bagi saya. Daripada sudut penceritaan, perwatakan, konflik yang dibentuk sehingga kepekaan Ariff dalam membentuk filem ini dengan potongan puisi T. Alias Taib menjadikan kita yang belum pernah membaca "Seberkas Kunci" (1985) menjadi dekat dengan kesusateraan Melayu.
Saya masuk ke panggung tanpa ada pengetahuan yang luas tentang naratif cerita ini dan sejujurnya saya teruja hanya kerana mahu melihat apa yang mahu ditawarakan sang sutradara. Dan Ariff membuat saya keluar panggung dengan tersenyum puas melihat hasil filem ini yang berhujung dengan cukup sebak dan solid. Ini mungkin filem tempatan terbaik yang kita ada tahun ini.

