
Selepas sekian lama dinantikan, Waldorf Astoria Kuala Lumpur akhirnya membuka pintunya di tengah-tengah ibu kota. Terletak di kawasan Golden Triangle, di tapak bekas Hotel Istana yang cukup dikenali, hotel ini membawa keanggunan dan pengalaman istimewa yang menjadi identiti Waldorf Astoria diserikan dengan layanan mesra masyarakat Malaysia.
Menjadi tarikan utama ialah konsep penginapan serba suite yang menempatkan 268 suite dengan keluasan antara 80 hingga 745 meter persegi. Setiap ruang direka untuk menawarkan keselesaan dan keluasan sebuah kediaman mewah, lengkap dengan layanan prihatin yang sinonim dengan Waldorf Astoria.
“Dari Park Avenue di New York hingga The Bund di Shanghai, jenama ini sinonim dengan alamat ikonik yang menjadi tumpuan untuk dikunjungi dan dilihat. Waldorf Astoria Kuala Lumpur meneruskan legasi tersebut di tengah-tengah Golden Triangle dengan pengalaman penginapan serba suite yang membawa karakter kediaman tersendiri ke salah sebuah bandar paling dinamik di Asia,” ujar Alan Watts, Presiden Asia Pasifik, Hilton.

Setiap satu daripada 268 suite menampilkan keanggunan kontemporari dan seni pertukangan tempatan. Firma reka bentuk Deboss Collective mengolah material seperti batu semula jadi, tekstil tenunan dan kemasan buatan tangan untuk mencipta suasana yang mewah dan sarat dengan sentuhan seni pertukangan halus. Perincian pertukangan khas yang diinspirasikan daripada seni tatah tradisional Melayu pula menjadi penghormatan kepada warisan reka bentuk negara. Pilihan penginapan merangkumi One-Bedroom Suite seluas 80 meter persegi hinggalah Waldorf Astoria Suite berkeluasan 745 meter persegi. Setiap suite menawarkan pemandangan latar langit Kuala Lumpur menerusi tingkap dari lantai ke siling.


Satu lagi elemen yang cukup sinonim dengan setiap hotel Waldorf Astoria ialah jam ikoniknya menjadi titik pertemuan semula jadi buat para tetamu. Jam ini turut mengilhamkan ungkapan ‘Meet Me at the Clock’ yang cukup dikenali. Bagi lokasi Kuala Lumpur, rekaan jam tersebut diberi sentuhan tempatan menerusi inspirasi daripada bentuk geometri astrolab Islam bersejarah dalam koleksi Muzium Kesenian Islam Malaysia. Dihasilkan daripada gangsa dan kaca bercahaya dengan pengaruh halus gaya Art Deco, jam ini membawa tafsiran tersendiri terhadap salah satu tradisi paling ikonik Waldorf Astoria.

Pengalaman menjamu selera turut menjadi antara tarikan utama hotel ini dengan pilihan restoran dan ruang makan yang diterajui bakat kulinari antarabangsa. Kerjasama bersama cef terkenal Garima Arora dan Jean-Georges Vongerichten menawarkan pelbagai pilihan daripada hidangan sepanjang hari hinggalah restoran destinasi dan ruang santai yang lebih intim. Tetamu boleh memulakan pagi dengan pilihan sarapan yang menyelerakan di The Istana, menikmati sajian India kontemporari di restoran Yaari menerusi sentuhan kreatif Garima Arora atau meneroka pendekatan market-to-table Jean-Georges Vongerichten di restoran JG KL. Melengkapkan pengalaman ini ialah ruang lounge yang elegan untuk menikmati minum petang, koktel atau bersantai pada waktu malam.

