Apakah yang menjadikan sesebuah pengalaman menjamu selera benar-benar istimewa? Adakah kehalusan seni di sebalik setiap hidangan, suasana yang mempesona atau layanan sempurna yang melengkapi keseluruhan pengalaman? Dalam dunia gastronomi mewah, keunggulan sesebuah restoran bukan lagi sekadar dinilai melalui apa yang terhidang di atas pinggan. Sebaliknya, ia merupakan gabungan kreativiti, ketelitian dan seni hospitaliti yang meninggalkan kesan tersendiri.

Menyedari evolusi landskap kulinari global, ITP Media Group memperkenalkan The GAYA Guide, sebuah panduan antarabangsa eksklusif yang didedikasikan untuk mengiktiraf pengalaman fine dining terbaik dunia. Dilancarkan secara rasmi di Dubai pada 17 November 2026, inisiatif ini membuka lembaran baharu dengan aspirasi untuk menetapkan penanda aras antarbangsa dalam industri gastronomi.
Bermula di Dubai, Menuju di Pentas Antarabangsa
Pemilihan Dubai sebagai destinasi pertama bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dikenali sebagai titik pertemuan pelbagai budaya dan penuh antarabangsa, bandar ini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kulinari terkemuka dunia.

Majlis pelancaran di TakaHisa Downtown menghimpunkan lebih daripada 150 chef, sommelier, pemilik restoran dan tokoh industri hospitaliti. Edisi sulung Dubai dijadualkan diterbitkan pada Februari 2027, diikuti Singapura, London dan Hong Kong pada tahun yang sama. Paris dan New York pula bakal menyertai rangkaian ini pada 2028.
Lebih Daripada Sekadar Hidangan di Atas Pinggan
Apa yang membezakan The GAYA Guide ialah pendekatannya dalam menilai restoran secara menyeluruh. Daripada kemahiran kulinari dan sumber bahan mentah kepada mutu perkhidmatan, suasana, reka bentuk dalaman, program minuman serta konsistensi, setiap elemen memainkan peranan dalam menentukan pengalaman yang ditawarkan. Namun, bukan semua restoran layak untuk dinilai.

Setiap premis perlu memenuhi sekurang-kurangnya 13 daripada 25 kriteria pemilihan, termasuk penyediaan hidangan dari awal, sumber bahan yang jelas dan program minuman yang dirancang dengan teliti. Restoran yang terpilih akan dinilai oleh pemeriksa tempatan secara rahsia, tanpa mendedahkan identiti mereka, selain membayar sendiri hidangan yang dinikmati.
Penilaian merangkumi 10 kategori dengan skor keseluruhan daripada 10 mata. Restoran yang memperoleh skor 7.0 akan menerima satu bintang, 8.0 untuk dua bintang dan 9.0 untuk tiga bintang. Bagi memastikan ketelusan, keputusan turut diaudit oleh lembaga pemeriksa antarabangsa tanpa pengaruh pengiklanan, tajaan atau kerjasama komersial.
Menguhubungkan Dunia Mewah Tanpa Sempadan
Diketuai penulis makanan David J Constable selaku pengerusi lembaga pemeriksa antarabangsa, setiap destinasi turut akan mempunyai seorang chef ambassador yang dipilih oleh komuniti kulinari tempatan. Gabungan kepakaran tempatan dan perspektif global ini menjadi asas kepada identiti The GAYA Guide.

Inisiatif ini turut merancang penerbitan tahunan bagi setiap bandar serta pembangunan platform digital untuk membantu pencita gastronomi meneroka destinasi kulinari terbaik dunia. Perkembangan ini turut mencerminkan pengaruh ITP Media Group dalam industri media antarabangsa.
Ditubuhkan pada 1987, kumpulan ini mengendalikan lebih 90 jenama media dengan capaian melebihi 200 juta audiens setiap bulan. Pengambilalihan Heart Media Group pada September 2026 turut memperkukuh kehadirannya di Hong Kong, Malaysia dan Singapura. Bermula dari Dubai, The GAYA Guide membawa aspirasi untuk meraikan seni, budaya dan keunikan gastronomi dunia di bawah satu nama yang dipercayai.

