Mencari wangian yang benar-benar serasi dengan diri bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, mencari aroma yang mampu mencuri hati sesiapa sahaja? Itu cerita yang berbeza. Hakikatnya, kita semua mudah terpikat dengan keharuman yang memikat. Kali ini, kami membawakan pilihan wangian yang bukan sekadar memikat deria, malah menyerlahkan aura glamor, keanggunan dan pesona seorang wanita.
Senarai Wangian Glamor Terkini Pilihan ELLE
1. Chloé Le Nectar EDP

Wangian yang menggambarkan kesegaran dan mengagungkan era kini dan lampau, wanita yang berdikari dan jujur pada dirinya sendiri. Aroma ini bebas memercikkan nota bergamot sebagai nota utamanya. Manakala, di hati haruman ini diserikan dengan nota orange blossom, neroli bersama mawar. Aroma manis ini dinokhtahkan dengan nota sofistikated seperti nota ambroxan, cashmeran, sandalwood, tonka bean juga patchouli.
2. Aesop Unforeseen Aer Eau de Parfum

Semburan yang menyebarkan aroma segar angin yang menampilkan dua pembahagian nota ciptaan Aesop. Fabulist Accord yang menggabungkan geranium, lavandin juga rosemary sebagai aroma udara murni. Manakala Radical Ingredient melibatkan buah pala, sebagai ekstrak terpenting menyerlahkan lagi kehangatan aroma kompleks bertekstur ini.
3. Zoologist Elephant Sanctuary Edition EDP

Memberi penghormatan kepada ketenangan yang hadir bersama kebebasan sejati. Lapisan lembut aroma melati, tuberose, osmanthus dan mawar menyapa lembut. Manakala lada merah jambu, buah pelaga dan buah pala disuntik menghangatkan kulit. Sentuhan teh, sandalwood dan suede menyerlahkan lagi karakter haruman ini.
4. Kilian Paris The Cocktail Collection Sparkling Royal

Berinspirasikan seni mixology, haruman koleksi koktel ini dilancarkan di dalam tiga aroma. Sparkling Royal, salah satu daripadanya, menyemburkan bau memikat. Diinspirasikan daripada Kir Royale, ia membuka tirai dengan kesegaran pudina Maghribi, sitrus lemon kemudian nota tengah yang disimbah wild blackcurrant accord dan mawar Bulgaria. Biji tonka panggang dan kasturi melengkapkan lagi komposisi haruman ini.
5. Good Girl Jasmine Absolute EDP

Dengan rupa bentuk stiletto yang begitu ikonik, wangian ini kembali dengan aroma baru yang sensual dan sofistikated. Dengan percikan nota melur, toffee karamel dan kacang tonka, kemudian disulami dengan aroma benzoin yang hangat meninggalkan bauan cukup intens yang tidak dapat dilupakan.

