Langgan

Beyond the Eyes: Kreativiti Magis Sophia Sinot 

Eyeshadow berwarna-warni hingga perincian kristal yang dramatik, menjadikan solekan mata sebuah pernyataan seni yang ikonik dalam dunia kecantikan pop.
3 minit untuk membaca
Published: October 30, 2026

Sophia Sinot, pereka solekan kelahiran Belanda ini memulakan perjalanan profesionalnya seawal usia 18 tahun di House of Orange Makeup School, Amsterdam. Bermula sebagai jurusolek muda yang membina nama sendiri, hasil karyanya kini menjadi inspirasi Gen Z, khususnya menerusi penampilan solekan eksperimental yang semakin mendapat perhatian di TikTok dan media sosial. Sinot menggabungkan elemen hyper-feminine glamour dengan sentuhan eksperimental, sekali gus mencabar kebiasaan dunia kecantikan. Setiap solekan mata tampil dengan identiti tersendiri yang mudah dikenali sebagai gaya Sophia Sinot. 

Sophia Sinot
Gambar Ihsan @sophiasinot

Di Sebalik Wajah Ikonik Bintang Pop

Kolaborasi bersama penyanyi pop Zara Larsson menjadi antara titik penting dalam perjalanan kreatif Sophia Sinot. Menerusi era Midnight Sun, gabungan solekan, busana dan estetika visual yang berani berjaya membentuk semula identiti Zara sebagai ikon pop yang penuh karakter. Mengangkat prinsip beauty of imperfection, Sinot menggabungkan glamor feminin dengan menjadikan setiap penampilan sebuah pernyataan seni. Pencalonan video muzik Midnight Sun bagi kategori Music Video of the Year di Electronic Dance Music Awards 2026 turut menambah pengiktirafan terhadap era visual Zara yang semakin mencuri perhatian dunia kecantikan.

Sophia Sinot
Gambar Ihsan Rolling Stone

Di sebalik fenomena tersebut, kreativiti Sinot turut mendapat tempat dalam kalangan selebriti antarabangsa seperti KATSEYE, Camila Cabello, Doja Cat dan SZA. Setiap kolaborasi memperlihatkan keupayaannya menyesuaikan solekan mengikut karakter dan identiti artis, tanpa menghilangkan sentuhan eksperimental yang menjadi signaturnya. Daripada permainan warna berani hingga perincian rhinestone yang dramatik, Sinot membuktikan bahawa solekan bukan lagi sekadar pelengkap penampilan, tetapi elemen penting dalam membentuk identiti visual seorang bintang pop.

Keindahan Dalam Ketidakseimbangan

Rhinestone dan permainan palet eyeshadow yang berani menjadi antara identiti utama karya Sinot. Tidak terikat pada corak solekan konvensional, Sinot bereksperimentasi dengan gaya asymmetrical eye makeup dengan Susunan rhinestone yang sengaja dibiarkan tidak simetri menghasilkan kontras visual yang unik, sekali gus menjadikan solekan mata tersebut tumpuan utama. Meskipun tampil minimalis, perincian berkilauan itu menjadi statement piece yang membuktikan kreativiti Sinot dalam mengubah sesuatu yang dianggap tidak indah dimata menjadi sebuah ekspresi seni kecantikan.

Gambar Ihsan @sophiasinot

Alam Semula Jadi Sebagai Inspirasi

Keindahan alam semula jadi turut menjadi nadi kepada identiti kreatif Sophia Sinot. Daripada motif bulan dan matahari hingga gradasi warna yang menyerupai pancaran aurora, setiap sapuan eyeshadow memperlihatkan keberaniannya meneroka estetika di luar kebiasaan. Permainan rona kontras dan kombinasi warna yang tidak dijangka diterjemahkan menjadi komposisi visual yang memukau, selari dengan konsep serta atmosfera setiap persembahan. Sentuhan rhinestone yang menjadi signaturnya pula memberikan dimensi dan kilauan tersendiri, menjadikan kelopak mata bukan sekadar ruang solekan, tetapi sebuah kanvas seni yang hidup.

Gambar Ihsan @sophiasinot

Seni Solekan Sebagai Kanvas Seni

Kreativiti Sinot turut terserlah menerusi keberaniannya menjadikan wajah setiap kliennya tidak berulang dan bertukar-tukar. Selain permainan eyeliner dalam pelbagai bentuk dan variasi, antara gaya yang paling mencuri perhatian ialah motif sayap rama-rama, angel wings dan lakaran grafik yang bermula dari garis mata lalu memanjang hingga ke sisi wajah. Pendekatan ini memperlihatkan kecenderungan Sinot terhadap seni lukisan, sekali gus menjadikan hasil karyanya lebih daripada sekadar solekan mata. Setiap penampilan kliennya mencipta sebuah face art yang ikonik, artistik dan penuh imaginasi.

Gambar Ihsan @sophiasinot

Keberanian bereksperimentasi di luar kotak ini jelas menjadi kekuatan utama yang membentuk identiti kreatif Sophia Sinot. Bermula dengan langkah awal mendalami seni solekan pada usia muda, perjalanan kerjayanya kini membuahkan hasil apabila sentuhan artistiknya semakin mendapat perhatian pencinta kecantikan global. Kolaborasi bersama Zara Larsson, khususnya menerusi era Midnight Sun, turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh identiti visual penyanyi tersebut sebagai ikon pop yang lebih berani dan eksperimental. Kejayaan Sinot membuktikan bahawa solekan bukan sekadar memperindah wajah, tetapi juga mampu menjadi sarana ekspresi seni yang membentuk identiti seorang bintang.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down