
KENS Apothecary membawakan pengalaman baru dalam melewati dan mendekati ilham dalam setiap semburan wangian menerusi satu pameran istimewa KENS Fragrance Experience 2026. Di ruang satu pengalaman baru yang penuh dengan idea, inspirasi kreatif dan penciptaan bahan unik disatukan dengan keterujaan.
Antara jenama wangian yang mengambil bahagian dalam pameran yang berlangsung sehingga 27 September ini adalah BDK Parfums, MEMO Paris, Ex Nihilo, Born to Stand Out, Maison Crivelli, Essential Parfums dan Marc-Antoine Barrois. Berlangsung di Bangsar Village II, pameran ini menghimpunkan tujuh jenama istimewa dengan naratif berbeza. Setiap satu kelalang yang terisi esen istimewa yang disatukan daripada bahan berbeza datang dalam sebuah cerita tersendiri.
Ada yang bermula daripada material couture dan tarian kontemporari malah ada juga yang tercetus daripada sebuah perjalanan, cita rasa juga memori yang begitu dekat dengan kehidupan seharian. Lebih daripada sekadar mengenali nota dan ramuan yang membentuk sesebuah wangian, pengalaman ini membawa pengunjung lebih dekat kepada cerita dan niat di sebalik setiap ciptaan.

Di sinilah wangian tidak sekadar sesuatu yang dipakai namun terbentuk sebagai satu bentuk ekspresi seni yang lahir daripada idea, pengalaman dan imaginasi. Pengenalan baru beberapan wangian terkini turut dipersembahkan antaranya Collection Studio daripada BDK Parfums yang direka khusus bersempena ulang tahun ke-10 jenama ini dengan penciptaan tiga haruman terkini.
Selain itu MEMO Paris membawa pengunjung yang hadir mengembara ke Sydney menerusi penciptaan Darling Point yang mengambil inspirasi pelabuhan kota yang dikenali dengan biasan cahaya keemasan itu. Cukup santai namun masih memiliki kekuatan aroma yang tersendiri. Manakala Ex Nihilo meneroka sebuah ketenangan dalam sebuah momentum berbeza menerusi penghasilan Demon Dancer.
Bagi Essential Parfums, Ambre Latte menandakan langkah pertama jenama itu ke dalam dunia wangian gourmand. Haruman ini menyatukan kelembutan susu badam, karamel dan vanila dengan karakter kayu ambar yang lebih berani. Ia menjadi sebuah kontras yang menjadikan komposisinya terasa hangat, bertekstur dan memikat. Semuanya boleh anda nikmati pengalamannya di KENS Fragrance Experience 2026 tahun ini.

