Langgan

Smells Like Tate: Tate McRae Lancar Wangian Pertama, TATE 01

Tate McRae melangkah ke dunia wangian menerusi TATE 01 berkonsepkan second skin dengan sentuhan estetika era 90-an.
3 minit untuk membaca
Published: November 2, 2026

Apabila Muzik Bertemu Wangian

Penyanyi pop, penulis lagu dan penari Tate McRae semakin mencuri perhatian selepas mempersembahkan single terbaharunya, Housewife, di pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2026 pada 18 Oktober lalu. Namun, kehebatan Tate kini tidak lagi terbatas pada dunia muzik apabila beliau melangkah ke industri kecantikan menerusi pelancaran wangian sulungnya, TATE 01, pada 1 Oktober 2026. Pelancaran ini menandakan satu lagi evolusi identiti kreatif Tate, daripada persembahan pentas yang penuh karisma kepada ekspresi diri melalui aroma yang lebih sensual dan peribadi.

TATE 01
Gambar Instagram @scentreport01

Seiring dengan pelancaran single terbaharunya, Housewife, Tate McRae memperlihatkan sisi yang lebih matang dengan sentuhan women empowerment yang berani. Jika muzik menjadi medium untuk meluahkan emosi menerusi lirik penuh makna dan rentak pop bertenaga, TATE 01 pula hadir sebagai ekspresi baharu yang menyerlahkan personaliti serta sensualitinya. Mengimbangi kesegaran dan kehangatan aroma, wangian ini seolah-olah melengkapkan evolusi identiti Tate sebagai seorang bintang pop. Menurut temu bual bersama Who What Wear, penghasilan wangian ini turut membantunya membayangkan karakter dan estetika bagi album keempat semasa dalam pembikinan.

Wangian yang Menjadi Identiti

Menariknya, TATE 01 dihasilkan menerusi kolaborasi bersama Scent Beauty, syarikat wangian yang turut berada di sebalik kejayaan rangkaian minyak wangi Sweet Tooth milik Sabrina Carpenter. Penghasilan wangian ini melibatkan dua pakar minyak wangi ternama dari Givaudan, Adriana Medina, pencipta wangian ikonik Bombshell oleh Victoria’s Secret, serta Antoine Maisondieu, yang turut menghasilkan MYSLF bersama Yves Saint Laurent. Bekerjasama rapat dengan Tate sendiri, kedua-duanya menterjemahkan visinya menjadi sebuah aroma yang sensual dan segar. Diilhamkan daripada wangian era 90-an, seperti CK One (1994), Dior Dune (1991) dan lain-lain yang menggabungkan sentuhan nostalgia dengan identiti moden, menjadikan wangian sulungnya sebuah ekspresi kecantikan yang elegan.

TATE 01
Gambar Instagram @t8mcrae.feed

Mengangkat konsep second-skin fragrance, TATE 01 menawarkan aroma yang terasa intim, menyatukan bau semula jadi kulit. Keistimewaannya terletak pada penggunaan Iso E Super, molekul wangian sintetik yang menghasilkan nuansa berkayu, lembut dan sensual, dengan karakter aroma yang berbeza mengikut individu. Visi Tate jelas dengan menghasilkan wangian harian yang bersifat peribadi, tidak terlalu mendominasi namun tetap meninggalkan kesan tersendiri. Lebih menarik, meskipun dipasarkan dalam kategori wangian wanita, komposisinya yang seimbang menjadikan TATE 01 sesuai digayakan tanpa mengira jantina.

Ramuan Rahsia TATE 01

Bermula dengan top notes yang menggabungkan bergamot dan clary sage, TATE 01 merangsang aroma segar, sitrus dan aromatik yang memikat pada semburan pertama. Wangian ini kemudiannya berkembang kepada heart notes menerusi gabungan white florals, orange blossom dan Hedione yang menyerlahkan sentuhan floral lembut serta feminin. Sebagai pelengkap, base notes yang terdiri daripada amber, tonka bean, sandalwood, soft woods dan moss memberikan kemasan hangat, sensual dan berkayu. Tidak ketinggalan, kehadiran Iso E Super menyempurnakan keseluruhan komposisi dengan aroma lembut yang intim, menjadikan TATE 01 sebuah wangian yang elegan dan penuh karakter.

TATE 01
Gambar Instagram @t8mcrae.germany

TATE 01 hadir dalam pelbagai versi, daripada 10 ml hingga 100 ml, dengan harga antara USD30 hingga USD82 (sekitar RM122 hingga RM333). Bagi yang menggemari wangian lebih ringan, TATE 01 Hair & Body Spray turut ditawarkan dalam saiz 198 ml pada harga USD28 (sekitar RM114). Wangian sulung Tate McRae ini mula dipasarkan pada 1 Oktober 2026 menerusi laman rasmi TATE serta platform dalam talian Ulta Beauty pada 16 Oktober dan butik fizikalnya di Amerika Syarikat pada 25 Oktober. Bagaimanapun, TATE 01 masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, menjadikan wangian berkonsepkan second skin ini antara pelancaran kecantikan antarabangsa yang menarik untuk diperhatikan.

Dari Bintang Pop ke Empayar Kecantikan

TATE 01 memperlihatkan evolusi Tate McRae daripada seorang bintang pop kepada figura kreatif yang merentasi dunia muzik, kecantikan dan fesyen. Seiring dengan pembikinan album keempatnya, yang dikenali dalam kalangan peminat sebagai TM4, wangian ini menyuarakan hasrat Tate untuk terus mengembangkan jenama kecantikannya pada masa hadapan. Langkah ini mengingatkan kita kepada kejayaan penyanyi pop lain seperti Ariana Grande menerusi wangian ikonik Cloud dan Billie Eilish dengan rangkaian Eilish serta Eilish No. 2. TATE 01 menjadi titik permulaan kepada sebuah empayar wangian yang mampu berdaya saing bagi mengukuhkan kedudukan Tate dalam industri kecantikan global.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down