Romantisnya Paris sebagai kota cinta itu hal yang sudah cukup sinonim melambangkan sifat kota itu sendiri. Namun di sebalik cerita cinta yang sering digembar-gemburkan ada terselit kisah lain yang akan membuat setiap pengunjung jatuh cinta lagi dan lagi dengan Paris. ELLE membawakan senarai kafe dan restoran wajib singgah setiap pengunjung.
CALI SISTERS
Anda penggemar pancake, sandwic telur dengan keju juga meatball? Cali Sister menawarkan rangkaian makanan dengan citarasa fusion yang menyelerakan. Interior ilham bohemian dengan dekorasi berperincian gipsi menerbitkan ruang rasa yang cukup selesa untuk menikmati hidangan bersama teman dan orang tersayang.
THE CRYING TIGER
Gabungan citarasa Thai dan selera Eropah disatukan di The Crying Tiger. Menunya lengkap dengan citarasa berempah dan herba yang sesuai untuk anda yang mahukan sesuatu unik. Bagi yang mahukan menu sihat dengan citarasa fusion, The Crying Tiger is a must try!
DOUBLEVIE
Terletak di Montmartre, restoran ini menawarkan pengalaman gastronomi yang eksklusif dan mewah. Dengan barisan menu yang signatur seperti Beef Kefta yang memercik citarasa Mediterranean. Ambien restorannya cukup selesa, matahari pagi yang masuk menyinari menerusi tingkapnya yang besar benar-benar memberi satu tenaga berbeza ketika menikmati santapannya.
LA HALLE AUX GRAINS
Di tingkat tiga bangunan bersejarah Bourse de Commerce-Pinault Collection, Michel dan Sebastie Bras menjemput anda menikmati satu pengalaman menikmati hidangan dengan cara berbeza. Refleksi sejarah, seni bina dan gastronomi yang disatukan menjadikan pengalaman ke La Halle Aux Grains sesuatu yang wajib dirasai semua pengunjung yang ke Paris.
LA PLAGE PARISIENNE
Penggemar makan laut wajib berkunjung ke La Plage Parisienne. Hidangan ikan salmon, tuna, sotong, udang serta tiram yang dihidangkan di sini antara yang terbaik dikatakan ada di Paris. Dengan pemandangan menarik tepian Seine, restoran ini memberikan pengalaman yang pastinya akan membekas memori.
BERTHILLION
Mula diperkenalkan pada tahun 1954, kafe ini cukup dikenali dengan pilihan ais krim yang sudah pun dinobatkan antara yang terbaik ada di dunia. Terletak di Ile Saint-Louis ia menyajikan barisan manisan terbaik serperti pastri, ais krim dan sorbet.
POPELINI
Sebahagian review tentang kafe ini menyifatkan Popelini sebagai kafe yang menyediakan the most delicate cream puff! Datang dengan pilihan manisan dalam warna pastel dengan rasa berbeza yang begitu mengikat rasa ingin mencuba dan menikmatinya. Jangan lupa untuk cuba menu popular mereka iaitu Dark Chocolate juga Pistachio.
PIERRE HERMÉ
Dikenali dengan marcarons mereka, Pierre Herme merupakan antara yang paling banyak dikunjungi pelancong luar negara ketika ke Paris. Antara menu yang cukup popular adalah Cake Ispahan yang menyatukan rasa strawberi, ros, rasberi dan laici. Apa yang anda boleh jangkakan di sini? Pastinya pengalaman menikmati manisan bertaraf dunia.
CÉDRIC GROLET OPÉRA
Kafe milik chef pastri sensasi internet iaitu Cédric Grolet ini cukup digilai dengan pilihan Croissant dan Pain Au Chocolat. Kesemua pastrinya dibikin sendiri setiap hari dengan pilihan pastri lain seperti tat dan kek yang begitu menyelerakan.
LA PÂTISSERIE CYRIL LIGNAC
Cyril Lignac merupakan chef yang begitu diraikan di Paris. Kejayaannya menjadi inspirasi ramai chef lainnya yang turut mahu menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang kulinari. Antara menu yang cukup popular di sini adalah Light Bourbon Vanilla Cream, Caramel Heart dan Crispy Speculoos praline.